19
Thu, Sep
32 Artikel Baru

Pendidikan: Bahasa kebangsaan sebagai pengantar semua peringkat

Nasional
Typography

KAMI mengusulkan supaya sistem pendidikan negara menggunakan bahasa kebangsaan dalam semua peringkat serta aliran kebangsaan hanya dibenarkan di peringkat sekolah rendah sahaja.

Isu kegagalan sistem pendidikan sedia ada mewujudkan perpaduan antara kaum yang dibangkitkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi baru-baru ini adalah akibat dari kegagalan dalam mendidik erti kehidupan antara kaum dan agama. Bukan sahaja pelajar terpisah dalam persekitaran sekolah malah polarisasi antara kaum berlaku dalam  dengan nyata sehingga di peringkat pengajian tinggi.

Isu perpaduan kaum juga ada kaitan dengan faktor sosial, ekonomi dan politik persekitaran yang terbina dalam masyarakat. Lantaran itu pendidikan tidak formal juga harus dikaji supaya pengukuhan perpaduan antara kaum berlaku di semua medan, institusi pendidikan dan institusi masyarakat.

Puncanya ialah pihak kerajaan telah tunduk kepada kehendak parti politik berasaskan kaum sehingga sekolah aliran pelbagai bahasa wujud di negara ini. Sehingga sekarang, akibat sistem itu sudah berjalan sekian lama pihak yang berkenaan mempertahankan dan mengukuhkan sekolah vernikular ini yang berjalan bertahun-tahun sejak kemerdekaan.

Kami berpendapat akibat aliran sekolah yang berbeza, kanak-kanak di peringkat prasekolah itu lagi tidak mengenal erti bergaul dengan bangsa lain.

Soal mengguna satu aliran di peringkat sekolah menengah sepatutnya menjadi polisi kebangsaan sejak dahulu lagi.

Malaysia sudah mendekati usia 60 tahun sejak mencapai kemerdekaan. Jika perpaduan antara kaum gagal dilakukan secara benar dan bersunggguh, negara ini akan mundur ke belakang untuk mencapai sebuah negara model pelbagai kaum.

Kami berpendapat Rancangan Integrasi Murid Perpaduan (RIMUP) yang diwujudkan sebelum ini oleh Kementerian Pendidikan yang bertujuan memupuk perpaduan antara kaum di kalangan pelajar dengan program yang menggabungkan beberapa sekolah termasuk daripada aliran berbeza, hendaklah disegarkan dan dikembangkan agar berkesan dalam pelaksanaan.

Kami mengusulkan agar sekolah aliran agama menerapkan kurikulum dan aktiviti kokurikulum yang berkaitan dengan pengenalan dengan kaum lain kerana realiti kepelbagaian kaum di Malaysia akan kekal menjadi realiti Malaysia dan pelajar aliran agama perlu berinteraksi dengan realiti itu. Elemen "Litaaruf"  iaitu saling berkenalan dan saling hormat antara kaum dalam kehidupan perlu diperkenalkan di sekolah dalam sistem pendidikan di sekolah agama. - HARAKAHDAILY 15/4/2017

Penulis ialah Presiden Mapim.