25
Sat, May
26 Artikel Baru

Usah ganggu kakitangan awam berdedikasi

Nasional
Typography

SAYA memandang serius kenyataan Presiden Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPECS), Datuk Azih Muda bahawa beliau menerima aduan daripada kakitangan awam bahawa terdapat pegawai lantikan politik yang mengganggu tugas mereka.

Perkara sebegitu tidak sepatutnya berlaku memandangkan tugas penjawat awam adalah amat penting untuk melancarkan pentadbiran Kerajaan seperti perancangan pembangunan dan merealisasikan apa jua yang telah dirancang Kerajaan.

Sepatutnya pegawai lantikan politik hendaklah bekerjasama dengan kakitangan awam untuk mendapatkan hasil yang lebih baik demi pembangunan negara dan kesejahteraan rakyat. Perkara sebegini jika berlarutan, dikhuatiri pula akan menjejaskan segala apa yang telah dirancang dan telah dijadikan dasar oleh Kerajaan.

Saya juga agak khuatir jika ianya akan menimbulkan tekanan kepada kakitangan awam jika ia dibiarkan berterusan, tambahan pula jika ia membabitkan perbezaan poltik dan pandangan mahupun keadah melaksanakan pekerjaan yang telah menjadi amalan kakitangan awam sejak sekian lama.

Perkara sebegini tidak wajar berlaku di masa PH menjadi Kerajaan memandangkan dahulu sewaktu BN menjadi Kerajaan, PH mengecam tindakan sama yang dilakukan. Jika benar seperti yang didakwa, maka transformasi dan pembaharuan Kerajaan yang dijanjikan adalah palsu semata-mata dan sekali lagi hanya gula-gula ketika pilihan raya untuk memancing undi.

Kita harus berterima kasih kepada kakitangan awam yang selama ini telah bertungkus lumus membantu Kerajaan dalam melaksanakan segala dasar, perancangan mahupun agenda pembangunan yang telah ditetapkan.

Saya berharap agar Kerajaan dapat memantau permasalahan ini dan bekerjasama dengan CEUPECS untuk menangani perkara ini agar tidak berulang. Kakitangan awam tonggak pentadbiran negara, mereka wajar dibela serta didengari aduan mereka.

MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia – HARAKAHDAILY 15/5/2019