25
Sat, May
26 Artikel Baru

Selamat Hari Belia Negara 2019

Nasional
Typography
GENERASI belia merupakan generasi terpenting dalam sesebuah negara dan menjadi tonggak ummah semasa. 
 
Generasi belia yang diharapkan dalam Islam ialah generasi yang melengkapkan diri dengan keimanan, kejujuran keikhlasan, semangat jitu dan beramal serta sanggup berkorban.
 
Hayatilah ucapan as-Syahid Hasan al-Banna di hadapan belia dan pemuda suatu ketika dahulu :
 
إنما تنجح الفكرة إذا قوي الايمان بها، وتوفر الإخلاص في سبيلها، وازدادت الحماسة لها، ووجد الاستعداد الذي يحمل على التضحية والعمل لتحقيقها. وتكاد تكون هذه الأركان الأربعة: الايمان، والإخلاص، والحماسة، والعمل من خصائص الشباب.
 
Maksudnya : “Sesungguhnya, sebuah fikrah akan meraih kejayaan apabila keimanan kepadanya kuat, tersedia keikhlasan di jalannya, semangat untuk memperjuangkannya semakin bertambah dan ada kesiapan untuk berkorban serta beramal dalam mewujudkannya. Keempat rukun ini yakni iman, ikhlas, semangat dan amal merupakan karakter pemuda."
 
Malah sirah menerusi hijrah Rasulullah S.A.W menunjukkan betapa peranan usia muda ini amat penting dalam menjayakan sesuatu tugasan yang berat dan mencabar. Posisi yang diberikan ialah : 
 
1.    Sayiduna Ali bin Abu Talib menggantikan Baginda S.A.W di tempat tidur yang menjadi fokus serangan bunuh yang dirancang oleh pihak musyrikin
2.    Abdullah bin Abu Bakr menjadi mata-mata dalam mendapatkan maklumat semasa pergerakan musyrikin sewaktu pagi dan pada tengah malam pergi menyampaikan info kepada Baginda SAW dan Abu Bakr di Gua Thur. 
3.    Amir bin Fuhairah gembala bagi Sayiduna Abu Bakr yang ditugaskan sebagai gembala kambing biri-biri menutupi jejak tapak ulang alik Abdullah bin Abu Bakr yang ulang alik dari Gua Thur. 
 
Pesanan dari Syeikh Dr Yusuf al-Qaradhawi juga menerusi kitabnya yang berjudul "Sehingga  Pemuda  Mengerti [حتى يعلم الشباب] kepada golongan ini untuk : 
 
1.    Mempelajari dan membentuk kefahaman agama Islam. 
2.    Mengamalkan ilmu dan menjalani kehidupan muslim yang hakiki. 
3.    Menyebarkan ilmu dan terlibat dengan kerja dakwah. 
4.    Bersabar menghadapi mehnah dalam kerja dakwah. 
 
Di peringkat Malaysia, belia seringkali disamakan dengan pemuda kerana belia di Malaysia ditafsirkan sebagai seseorang yang berumur 16 hingga 40 tahun. Sewajarnya sambutan hari belia negara ini membentuk plan pembangunan insan dalam diri belia yang diharapkan menjadi "batu-bata" pada binaan bangunan Islam. 
 
Pemuda PAS Selangor dalam kesempatan ini mengucapkan Selamat Hari Belia Negara 2019 kepada semua belia di Malaysia. Semoga golongan belia terus diberikan perhatian menerusi didikan tarbiyah Islam agar negara terus maju dan utuh kerana belia hari ini merupakan pemimpin masa hadapan. 
 
Pemuda PAS Selangor komited dalam apa jua aktiviti dan program yang dijalankan untum memberikan pendedahan mengenai Politik Islam kepada golongan belia agar mereka memahami kerangka pentadbiran negara Islam yang diperjuangkan oleh PAS. 
 
Dan dalam situasi sekarang ini, Pemuda PAS Selangor juga bersiap sedia sebagai perintis kebangkitan ummah dalam isu  penyatuan anak muda dari kalangan belia untuk bangkit melakukan perubahan ke arah kebaikan terhadap negara ini selepas kepincangan selama setahun kerajaan PH memerintah. 
 
"Bangkit; Pemuda perintis kebangkitan ummah"
 
USTAZ HANAFI ZULKAPLI
Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor
Tarikh : 10 Ramadhan 1440 / 15 Mei 2019