21
Sat, Sep
28 Artikel Baru

Keluar dari Statut Rom adalah kejayaan rakyat

Nasional
Typography
PEMUDA PAS Selangor mengucapkan jutaan tahniah kepada seluruh rakyat yang telah bangkit khususnya pada himpunan 4 Mei 2019 baru-baru ini dalam mempertahankan kedaulatan negara termasuk membantah kerajaan Malaysia dalam meratifikasikan Statut Rom Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC). 
 
Pemuda PAS Selangor juga mengucapkan terima kasih kepada empat ahli akademik yang berani menyuarakan pandangan akademik dengan membentangkan rumusan eksekutif kepada majlis raja-raja berhubung Statut Rom Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC). Mereka ialah Profesor Undang-undang Universiti Teknologi Mara (UiTM) Rahmat Mohamad, profesor undang-undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Shamrahayu Abdul Aziz dan pensyarah undang-undang Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) Fareed Mohd Hassan dan Hisham Hanapi.
 
Pemuda PAS Selangor memberi amaran kepada pihak Kerajaan PH agar tidak mengambil sebarang tindakan yang membelakangi Perlembagaan Negara serta Kontrak Sosial yang sudah puluhan tahun diamalkan sejak kemerdekaan demi menjaga kesejahteraan masyarakat majmuk serta menghormati hak istimewa yang melibatkan kesucian agama Islam, institusi Raja dan kaum Melayu di negara Malaysia ini.
 
Pemuda PAS Selangor menyifatkan keputusan rasmi yang diterima pada 16 Mei 2019, semalam, menerusi surat yang tersebar bahawa Malaysia telah dikeluarkan secara rasmi dari senarai negara yang meratifikasikan Statut Rom adalah hasil gabungan suara semua pihak yang terbentuk menerusi perpaduan ummah di negara ini yang jelas memberi isyarat kepada kerajaan PH agar tidak sewenang-wenangnya salah guna pakai kuasa kemenangan yang diperolehi dalam PRU 14.
 
"Bangkit; Pemuda Perintis Kebangkitan Ummah"
 
USTAZ HANAFI ZULKAPLI
Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor
Tarikh : 12 Ramadhan 1440 / 17 Mei 2019