21
Sat, Sep
29 Artikel Baru

PTPTN: Senarai hitam tidak selesai masalah

Nasional
Typography
PEMUDA PAS Selangor melihat cadangan yang dikemukakan kepada PTPTN untuk menguatkuasakan semula senarai hitam kepada peminjam PTPTN yang culas dalam pembayaran adalah idea terkebelakang dan tidak akan menyelesaikan masalah yang membelenggu anak muda yang terpalit dalam isu PTPTN ini.
 
Sedangkan sebelum ini anak muda khususnya yang mengundi  PH dalam PRU 14 tempoh hari kerana dimomokkan dengan pandangan pimpinan-pimpinan PH yang ingin menghapuskan PTPTN. Namun janji entah ke mana kerana bak kata pimpinan mereka sendiri bahawa janji manifesto bukan "kitab suci". Sudah pasti ini amat mengecewakan khususnya pengundi kalangan anak muda.
 
Isu PTPTN ini isunya bukan sekadar mekanisme pembayaran balik pinjaman, tetapi keseluruhan ekosistem PTPTN meliputi aspek pendanaan, pembiayaan, pematuhan dan kesedaran. Sebab itu PTPTN ini perlu distruktur kembali agar menuju ke arah inisiatif pendidikan percuma yang layak diperolehi oleh anak muda. Ini kerana isu pendidikan jangan sampai menjadi orientasi keuntungan oleh pihak tengah tertentu. Jika demikian berterusan maka ekonomi yang masih berjalan adalah ekonomi kapitalis. 
 
Selain itu, Pemuda PAS Selangor juga menyokong penuh idea cadangan ke arah penubuhan Perbadanan Wakaf Pendidikan Tinggi seharusnya diberi perhatian sepenuhnya oleh kerajaan. Perkara ini telah banyak dijelaskan oleh pimpinan PAS sewaktu kempen PRU 14 dalam memberikan solusi PTPTN serta telah disebutkan oleh YB PAS dalam Dewan Rakyat ketika ucapan perbahasan bajet 2017. 
 
Pemuda PAS Selangor mendesak agar kerajaan perlu fokus kepada keseluruhan ekosistem PTPTN itu dan tidak hanya pada mekanisme pembayaran balik pinjaman sahaja. Dan Pemuda PAS Selangor yakin bahawa solusi yang telah dibentang dalam manifesto PAS mampu memberikan penyelesaian yang terbaik buat semua pihak sama ada peringkat kerajaan, institusi pendidikan dan anak muda itu sendiri. 
 
Justeru, cadangan penguatkuasaan semula senarai hitam peminjam PTPTN yang gagal membayar semula mesti ditarik semula kerana ia tidak mendatangkan faedah serta tidak menyelesaikan masalah yang sedia ada sejak dahulu. 
 
"Bangkit; Pemuda Perintis Kebangkitan Ummah"
 
USTAZ HANAFI ZULKAPLI
Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor
Tarikh : 12 Ramadhan 1440 / 17 Mei 2019 - HARAKAHDAILY 17/5/2019