17
Tue, Sep
32 Artikel Baru

Al-Kahfi: Imuniti fitnah Dajjal akhir zaman (13)

Nasional
Typography

۞وَتَرَى ٱلشَّمۡسَ إِذَا طَلَعَت تَّزَٰوَرُ عَن كَهۡفِهِمۡ ذَاتَ ٱلۡيَمِينِ وَإِذَا غَرَبَت تَّقۡرِضُهُمۡ ذَاتَ ٱلشِّمَالِ وَهُمۡ فِي فَجۡوَةٖ مِّنۡهُۚ ذَٰلِكَ مِنۡ ءَايَٰتِ ٱللَّهِۗ مَن يَهۡدِ ٱللَّهُ فَهُوَ ٱلۡمُهۡتَدِۖ وَمَن يُضۡلِلۡ فَلَن تَجِدَ لَهُۥ وَلِيّٗا مُّرۡشِدٗا

"Dan engkau akan melihat matahari ketika terbit, cenderung ke kanan dari gua mereka; dan apabila ia terbenam, meninggalkan mereka ke arah kiri, sedang mereka berada dalam satu lapangan gua itu. Yang demikian ialah dari tanda-tanda (yang membuktikan kekuasaan) Allah. Sesiapa yang diberi hidayah petunjuk oleh Allah, maka dia lah yang berjaya mencapai kebahagiaan; dan sesiapa yang disesatkanNya maka engkau tidak sekali-kali akan beroleh sebarang penolong yang dapat menunjukkan (jalan yang benar) kepadanya."

وَتَحۡسَبُهُمۡ أَيۡقَاظٗا وَهُمۡ رُقُودٞۚ وَنُقَلِّبُهُمۡ ذَاتَ ٱلۡيَمِينِ وَذَاتَ ٱلشِّمَالِۖ وَكَلۡبُهُم بَٰسِطٞ ذِرَاعَيۡهِ بِٱلۡوَصِيدِۚ لَوِ ٱطَّلَعۡتَ عَلَيۡهِمۡ لَوَلَّيۡتَ مِنۡهُمۡ فِرَارٗا وَلَمُلِئۡتَ مِنۡهُمۡ رُعۡبٗا

"Dan engkau sangka mereka sedar, padahal mereka tidur; dan Kami balik-balikkan mereka dalam tidurnya ke sebelah kanan dan ke sebelah kiri; sedang anjing mereka menghulurkan dua kaki depannya dekat pintu gua; jika engkau melihat mereka, tentulah engkau akan berpaling melarikan diri dari mereka, dan tentulah engkau akan merasa sepenuh-penuh gerun takut kepada mereka."

Penekanan utama ayat:

●      Konsep kawalan suhu

Tuhan menceritakan bagaimana matahari dikawal daripada terlalu banyak memanah cahayanya ke arah gua. Pengawalan suhu dan cahaya ini penting bagi memastikan Ashabul Kahfi dalam keadaan baik dan bertahan lama. Keseimbangan antara panas dan sejuk mengawal kelembapan dan pengeringan di samping membekalkan keperluan cahaya kepada kulit manusia.

●     Hidayah milik mutlak Allah

Allah telah tetapkan sejak azali siapa hambaNya yang beroleh hidayah dan siapa yang sesat. Kerja pendakwah hanyalah mengajak kepada jalan Islam. Kita tidak mampu menentukan siapa yang beroleh hidayah walau sehebat manapun usaha yang dilakukan. Justeru kita tidak akan dipersoalkan kenapa sasaran dakwah kita tidak beroleh hidayah.

●     Pergerakan mengelak rosak

Bagi menjamin keadaan jasad Ashabul Kahfi, mereka dibalik-balikkan kiri dan kanan. Tujuannya agar tidak berlaku tindak balas mikroorganisme apabila kulit terlalu lama melekat pada lantai, juga bagi mengelakkan jangkitan di samping memastikan kelancaran peredaran darah ke seluruh urat saraf. Kaedah ini dipraktikkan di pusat perubatan sebagai cara penjagaan mereka yang lumpuh atau tidak sedarkan diri.

●     Menakutkan musuh

Perasaan takut dalam diri musuh adalah bantuan yang tuhan berikan kepada umat Nabi Muhammad S.A.W. Walau bagaimanapun, di akhir zaman perasaan takut tersebut kian pudar di hati musuh berpunca daripada merebaknya penyakit wahan; cinta dunia dan benci kematian - hadis.

Ibrah akhir zaman:

Dua ayat di atas menceritakan bagaimana kaedah saintifik dapat mengekalkan keadaan tubuh badan manusia sehingga mencecah 309 tahun. Konsep pengawalan suhu dan pergerakan jasad Ashabul Kahfi adalah satu pendekatan yang seiring dengan kaedah saintifik yang digunapakai hari ini.

Menjadi suatu perkara yang penting di akhir zaman untuk umat Islam memahami fenomena alam dari perspektif sains. Ini kerana umat Islam perlu bersedia untuk hidup berdikari tanpa bantuan Timur dan Barat demi kelangsungan kehidupan. Walaupun perkembangan sains hari ini sudah berada pada era revolusi industri 4.0 yang berasaskan kepada kebijaksanaan buatan (articial intelligence), namun asas fundamental sains tulen perlu menjadi ilmu yang wajib ada bagi umat Islam.

Tidak dinafikan IR4.0 banyak membantu manusia mempermudahkan lagi urusan seharian. Mesin-mesin, peranti dan jentera robotik yang dipacu dengan data (data-driven). Namun tanpa sedar, teknologi ini sedang membantutkan keupayaan manusia tanpa sedar membuatkan manusia bergantung penuh kepada alatan moden.

Dunia dikelilingi mesin, jentera dan peranti robotik yang bukan sahaja membantu manusia, malah sudah mula menggantikan peranan manusia. Tanpa disedari, manusia terpaksa bersaing dengan robot dalam memenuhi pasaran kerjaya. Ditambah dengan cengkaman sistem ekonomi kapitalisme, kapitalis yang hanya memikirkan keuntungan mengabaikan aspek kebajikan sehingga meletakkan manusia sebagai buruh lebih rendah daripada martabat alat.

Cukup sukar bagi mengelak daripada menggunakan teknologi hari ini. Nanti kita akan dianggap kera sumbang dan tersisih dari masyarakat moden. Walau bagaimanapun, kita seharusnya meminimakan kebergantungan dengan alatan moden supaya apabila tiba masa teknologi ini dimanipulasi oleh Dajjal, kita mudah untuk meninggalkan dan hidup secara primitif jika keadaan memerlukan.

Beberapa persiapan yang perlu ditekankan untuk menjamin kelangsungan (survival) di akhir zaman:

1.    Membina kekuatan fizikal dengan latihan, seni beladiri dan riadah.

2.    Belajar sains terutama yang berkait dengan alam sekeliling.

3.    Belajar hidup secara primitif tanpa bergantung kepada alatan moden.

4.    Didik diri hidup secara sederhana (minimalis).

5.    Sediakan bekalan makanan, ubatan, pakaian dan tempat berteduh secukupnya.

Apa yang dikesali hari ini, negara-negara umat Islam terpengaruh dengan Barat dari sudut pandang pembangunan dan kemajuan. Negara Islam berlumba membangunkan negara berasaskan pengindustrian, sehingga tidak sedar menjadi pengguna yang bergantung sepenuhnya kepada teknologi dan bahan daripada negara asing. Sedang bahan mentah dari negara kita sendiri tidak dimanfaatkan sepenuhnya dalam membina industri huluan dan hiliran, tetapi lebih berminat untuk eksport keluar.

Lebih menakutkan, bekalan makanan asas seperti beras yang ada hanya mampu menampung 70 peratus keperluan rakyat sahaja. Situasi ini bukan sahaja mencetuskan isu keselamatan makanan (food security), tetapi telah membawa kepada kedaulatan makanan (food sovereignty). Bayangkan bila berlaku kegawatan yang membantutkan transaksi import-eksport, adakah negara kita mampu menjamin kelangsungan hidup rakyat keseluruhannya?

18 Mei 2019
13 Ramadhan 1440

(ALANG IBN SHUKRIMUN) - HARAKAHDAILY 18/5/2019