17
Tue, Sep
32 Artikel Baru

Al-Kahfi: Imuniti fitnah Dajjal akhir zaman (20)

Nasional
Typography

وَٱتۡلُ مَآ أُوحِيَ إِلَيۡكَ مِن كِتَابِ رَبِّكَۖ لَا مُبَدِّلَ لِكَلِمَٰتِهِۦ وَلَن تَجِدَ مِن دُونِهِۦ مُلۡتَحَدٗا

"Dan baca serta turutlah apa yang diwahyukan kepadamu dari kitab Tuhanmu; tiada sesiapa yang dapat mengubah kalimah-kalimahNya; dan engkau tidak sekali-kali akan mendapat perlindungan selainnya."

[Al-Kahf, Ayah 27]


Penekanan utama ayat:

●     Bacalah

Digunakan lafaz واتل tilawah bermaksud bacalah. Namun maksudnya lebih luas daripada qiraah. Qiraah sekadar membaca sahaja. Tilawah bermaksud membaca dan mengikuti ajarannya. Tartil pula membaca dengan suara dan meraikan tajwid.

●     Tidak berubah

Al-Quran dijamin oleh Allah tidak akan berubah selama-lamanya. Tiada yang mampu merubah walau satu huruf daripadanya. Tidak seperti kitab Samawi lain yang sudah hilang keasliannya hari ini.

●     Perlindungan tuhan

Tiada yang mampu melindungi manusia selain tuhan. Namun perlindunganNya adalah menerusi hidayah daripada al-Quran. Untuk mendapat perlindungannya, maka perlulah menjadikan al-Quran sebagai panduan hidup.


Ibrah akhir zaman:

●     Batu yang sangat keras

Ayat ini dan beberapa ayat selepasnya merupakan pengajaran daripada cerita Ashabul Kahfi pada ayat-ayat terdahulu. Pengajaran utama adalah berpegang teguh dengan al-Quran. Ini ditegaskan dalam hadis yang lain. Sabda Rasulullah S.A.W dalam khutbah terakhirnya:

وَقَدْ تَرَكْتُ فِيكُمْ مَا لَنْ تَضِلُّوا بَعْدَهُ إِنِ اعْتَصَمْتُمْ بِهِ، كِتَابُ اللهِ، 

"Aku telah tinggalkan perkara yang tidak akan membuat kalian sesat selama-lamanya selagi berpegang padanya, iaitulah kitab Allah."

[HR Muslim]

Menurut Tuan Guru Abdul Hadi, Barat yang beragenda untuk menghancurkan Islam membuat satu kesimpulan setelah menerima laporan daripada kajian seorang orientalis, iaitu agama ini tidak akan dapat dihancurkan selagi terdapat dua batu besar yang menghalang. Dua batu tersebut adalah al-Quran dan Kaabah. Selagi umat ini masih membaca al-Quran lalu beramal dengannya, dan selagi umat ini masih berhimpun mengerjakan haji dan umrah di Makkah, maka selagi itulah Barat tidak mampu mengapa-apakan Islam.

Kerana itulah mereka sedang berusaha untuk memecahkan kedua batu besar ini walaupun orientalis tersebut menyatakan tiada kuasa mampu mengapa-apakannya. Menurut beliau jika ada armada perang cuba menghancurkannya, maka mereka yang akan hancur.

Usaha menyelewengkan al-Quran terus berjalan. Namun Allah terus memelihara kitab suci ini daripada cuba dirosakkan. Wahyu-wahyu yang turun lebih 1400 tahun lalu masih kekal sama sebagaimana yang ada di dalam mushaf hari ini.

Allah sendiri memberi jaminan sebagaimana FirmanNya:

إِنَّا نَحۡنُ نَزَّلۡنَا ٱلذِّكۡرَ وَإِنَّا لَهُۥ لَحَٰفِظُونَ

"Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan Al-Quran, dan Kamilah yang memelihara dan menjaganya."

[Al-Hijr: 9]

Hanya yang mampu musuh Islam lakukan adalah menyelewengkan maksud al-Quran dengan tafsiran dan takwilan yang sesat tanpa mengikut kaedah yang betul. Oleh kerana itulah kita dituntut untuk mempelajari kaedah yang betul dalam memahami maksud al-Quran. Ulamak menggariskan ilmu yang perlu ada kepada kita untuk menafsirkan al-Quran:

1.    Ilmu akidah yang sahih.

2.      Ilmu ulum quran: nasikh mansukh, asbab wurud, qiraat dan sebagainya.

3.     Ilmu dirayah hadis.

4      Ilmu bahasa arab: nahu, sorof, balaghah, mantiq, adab dan sebagainya.

5.    Ilmu sirah dan sejarah.

6.    Ilmu hal ehwal semasa.

7.    Pandangan ulama sahabat dan tabiin.

Kepada yang masih tidak mampu menafsirkannya, perlulah mereka bertaqlid dengan kefahaman para mufassirin di kalangan ulamak lama dan baharu. Disarankan agar meramaikan guru kerana ia lebih mematangkan pandangan kita dan meminimakan kemungkinan kita berpegang kepada pendapat yang salah.

●     Tidak melepasi kerongkong

Nabi S.A W menyebutkan bahawa di akhir zaman, al-Quran hanya dibaca sekadar dari sudut bacaan dan tajwid sahaja. Sabda Rasulullah S.A.W:

سَيَكُونُ فِي أُمَّتِي اخْتِلَافٌ وَفُرْقَةٌ قَوْمٌ يُحْسِنُونَ الْقِيلَ وَيُسِيئُونَ الْفِعْلَ يَقْرَءُونَ الْقُرْآنَ لَا يُجَاوِزُ تَرَاقِيَهُمْ يَمْرُقُونَ مِنْ الدِّينِ مُرُوقَ السَّهْمِ مِنْ الرَّمِيَّةِ

"Akan berlaku di kalangan umatku perselisihan berpecahnya kaum yang baik kata-katanya namun buruk perbuatannya. Mereka membaca al-Quran tidak melepasi kerongkongnya. Mereka mengoyakkan agama ini ibarat anak panah mengoyakkan sasaran."

[HR Abu Daud]

Kerongkong atau pangkal leher adalah makhraj huruf al-Quran yang paling dalam (huruf hamzah dan ha'). Isyarat bahawa al-Quran hanya ditumpukan bab tajwid semata-mata. Sedangkan tujuan al-Quran adalah sebagai panduan hidup manusia, laksana manual guide yang biasa disediakan oleh pencipta produk.

Allah terangkan 3 sifat al-Quran. FirmanNya: 

شَهۡرُ رَمَضَانَ ٱلَّذِيٓ أُنزِلَ فِيهِ ٱلۡقُرۡءَانُ هُدٗى لِّلنَّاسِ وَبَيِّنَٰتٖ مِّنَ ٱلۡهُدَىٰ وَٱلۡفُرۡقَانِۚ

"Bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi:

1. petunjuk bagi sekalian manusia, dan
2. menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan
3. (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah."

[Al-Baqarah:185]

Perlu ditegaskan bahawa al-Quran tidak difahami secara jelas hanya dengan membaca terjemahannya sahaja. Tidak ada bahasa yang lebih kaya dari Bahasa Arab terutama dari sudut perbendaharaan kata, balaghah, mantiq dan adabnya.

Berusahalah untuk memahami Bahasa Arab. Ia adalah bahasa tuhan, bahasa wahyu dan bahasa syurga. Bak kata Tok Guru Nik Aziz, al-Quran adalah surat yang tuhan pos untuk kita. Patutkah kita tidak memahami surat tuhan itu?

(ALANG IBN SHUKRIMUN) - HARAKAHDAILY 25/5/2019