19
Thu, Sep
41 Artikel Baru

Al-Kahfi: Imuniti fitnah Dajjal akhir zaman (22)

Nasional
Typography

وَقُلِ ٱلۡحَقُّ مِن رَّبِّكُمۡۖ فَمَن شَآءَ فَلۡيُؤۡمِن وَمَن شَآءَ فَلۡيَكۡفُرۡۚ إِنَّآ أَعۡتَدۡنَا لِلظَّٰلِمِينَ نَارًا أَحَاطَ بِهِمۡ سُرَادِقُهَاۚ وَإِن يَسۡتَغِيثُواْ يُغَاثُواْ بِمَآءٖ كَٱلۡمُهۡلِ يَشۡوِي ٱلۡوُجُوهَۚ بِئۡسَ ٱلشَّرَابُ وَسَآءَتۡ مُرۡتَفَقًا

"Dan katakanlah (wahai Muhammad): "Kebenaran itu ialah yang datang dari Tuhan kamu, maka sesiapa yang mahu beriman, hendaklah ia beriman; dan sesiapa yang mahu kufur ingkar, biarlah dia mengingkarinya". Kerana Kami telah menyediakan bagi orang-orang yang berlaku zalim itu api neraka, yang meliputi mereka laksana khemah; dan jika mereka meminta pertolongan kerana dahaga, mereka diberi pertolongan dengan air yang seperti tembaga cair yang membakar muka; amatlah buruknya minuman itu, dan amatlah buruknya neraka sebagai tempat bersenang-senang."

إِنَّ ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ وَعَمِلُواْ ٱلصَّٰلِحَٰتِ إِنَّا لَا نُضِيعُ أَجۡرَ مَنۡ أَحۡسَنَ عَمَلًا

"Sebenarnya orang-orang yang beriman dan beramal soleh sudah tetap Kami tidak akan menghilangkan pahala orang-orang yang berusaha memperbaiki amalnya."

أُوْلَٰٓئِكَ لَهُمۡ جَنَّٰتُ عَدۡنٖ تَجۡرِي مِن تَحۡتِهِمُ ٱلۡأَنۡهَٰرُ يُحَلَّوۡنَ فِيهَا مِنۡ أَسَاوِرَ مِن ذَهَبٖ وَيَلۡبَسُونَ ثِيَابًا خُضۡرٗا مِّن سُندُسٖ وَإِسۡتَبۡرَقٖ مُّتَّكِـِٔينَ فِيهَا عَلَى ٱلۡأَرَآئِكِۚ نِعۡمَ ٱلثَّوَابُ وَحَسُنَتۡ مُرۡتَفَقٗا

"Mereka itu, disediakan baginya syurga yang kekal, yang mengalir di bawahnya beberapa sungai; mereka dihiaskan di dalamnya dengan gelang-gelang tangan emas, dan memakai pakaian hijau dari sutera yang nipis dan sutera tebal yang bersulam; mereka berehat di dalamnya dengan berbaring di atas pelamin-pelamin (yang berhias). Demikian itulah balasan yang sebaik-baiknya dan demikian itulah Syurga tempat berehat yang semolek-moleknya."


Penekanan utama ayat:

●     Katakan kebenaran dari tuhan

Islam memerintahkan kita menyampaikan kebenaran bagi melawan kebatilan. Paksi kebenaran pula adalah kalam-kalam Allah. Justeru untuk menentukan mana benar mana salah, lihatlah yang mana paling dekat dengan ajaran al-Quran, bukan melihat melalui siapa yang berkata-kata.

●     Pilihan iman dan kufur

Tuhan jadikan manusia ini makhluk yang boleh memilih. Dengan akal, mereka bebas menentukan jalan yang mereka mahu. Mereka dibekalkan dengan petunjuk ke jalan benar, tetapi tidak dipaksa untuk mengikutnya. Terpulang atas diri masing-masing.

●      Tidak sia-siakan orang baik

Ayat ke 30 menyatakan bahawa tuhan tidak sia-siakan kebaikan yang dilakukan. Ia adalah kenyataan sokongan kepada ayat 28 yang meminta bersabar dalam bersama orang beriman. Walaupun merugikan keduniaan, tetapi semua itu dihitung untuk dibalas dengan ganjaran akhirat yang setimpal.

●     Balasan iman dan kufur

Sebagaimana manusia bebas memilih iman dan kufur, manusia juga sebenarnya bebas menentukan nasib mereka di akhirat. Tetapi penentuannya perlu dilakukan di atas dunia. Jika mahu selamat akhirat, maka perlulah beriman di atas dunia serta melakukan kebaikan. Jika tidak mahu, tuhan tidak memaksa. Tetapi rasailah sendiri balasannya di akhirat kelak.

Ibrah akhir zaman:

Ayat terakhir daripada resolusi kisah Ashabul Kahfi, sebelum masuk ke cerita seterusnya iaitu Sahibul Jannatain. Menyeru supaya menyatakan kebenaran secara jelas dan berani, laksana pemuda Ashabul Kahfi yang tegas menyatakan kebenaran dan menyanggahi kebatilan ajaran kaum mereka (ayat 14 dan 15). Berani juga menyatakan akibat daripada perbuatan mereka. Walau bagaimanapun, tetap tidak memaksa mereka menerima seruan kita kerana tiada paksaan dalam beragama.

Tiga elemen dakwah yang dilakukan adalah:

1.    Cerita hakikat agama yang sebenar.

2.    Serah kepada mereka untuk menerima atau tidak.

3.    Ceritakan balasan daripada pilihan yang mereka ambil.

Pendekatan dakwah khususnya di akhir zaman ini tidak boleh mengabaikan tiga perkara ini. Inilah konsep amar maaruf nahi mungkar bagi mereka yang tidak memiliki kuasa sebagaimana Ashabul Kahfi. Dakwah tidak boleh hanya cerita benda baik sahaja tanpa menceritakan benda buruk sebagai akibat daripada menolak Islam. Keseimbangan antara ancaman dan tawaran itu perlu ada.

Tidak boleh bersikap apologetik pada perkara akidah. Tidak boleh menggunakan alasan "demi masa depan politik Islam", "takut timbul fitnah", "nanti orang kafir tak sokong" dan sebagainya. Itu semua menggambarkan kelemahan jati diri Islam kita dalam berhadapan dengan masyarakat awam. Belum seteguh Ashabul Kahfi.

Ketegasan ini dimiliki oleh seorang lelaki yang akan muncul berhadapan dengan Dajjal. Sabda Rasulullah S.A.W:

يَأْتِي الدَّجَّالُ ، وَهُوَ مُحَرَّمٌ عَلَيْهِ أَنْ يَدْخُلَ نِقَابَ المَدِينَةِ ، فَيَنْزِلُ بَعْضَ السِّبَاخِ الَّتِي تَلِي المَدِينَةَ ، فَيَخْرُجُ إِلَيْهِ يَوْمَئِذٍ رَجُلٌ ، وَهُوَ خَيْرُ النَّاسِ - أَوْ مِنْ خِيَارِ النَّاسِ - فَيَقُولُ أَشْهَدُ أَنَّكَ الدَّجَّالُ الَّذِي حَدَّثَنَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ حَدِيثَهُ ، فَيَقُولُ الدَّجَّالُ: أَرَأَيْتُمْ إِنْ قَتَلْتُ هَذَا ، ثُمَّ أَحْيَيْتُهُ ، هَلْ تَشُكُّونَ فِي الأَمْرِ؟ فَيَقُولُونَ: لاَ ، فَيَقْتُلُهُ ثُمَّ يُحْيِيهِ ، فَيَقُولُ: وَاللَّهِ مَا كُنْتُ فِيكَ أَشَدَّ بَصِيرَةً مِنِّي اليَوْمَ ، فَيُرِيدُ الدَّجَّالُ أَنْ يَقْتُلَهُ فَلاَ يُسَلَّطُ عَلَيْهِ

"Dajjal datang dan diharamkan baginya memasukinya terowong ke Madinah, maka dia pergi ke beberapa kawasan bergaram berhampiran Madinah, maka pada suatu hari seorang lelaki yang dikira sebaik-baik manusia pada waktu itu pergi kepada Dajjal lalu berkata: aku bersaksi bahawa kamulah Dajjal yang Rasulullah S.A.W ceritakan pada kami! Lalu Dajjal membalas dengan berkata kepada pengikutnya: Sekiranya aku membunuh dia, kemudian aku hidupkannya kembali, adakah kalian akan meragui diriku? Jawab pengikutnya, tidak. Maka Dajjal membunuhnya dan menghidupkannya kembali. Lelaki itu berkata: Demi Allah, semakin jelas benarnya bahawa kamu adalah Dajjal! Lalu Dajjal ingin membunuhnya semula tetapi lagi mampu."

[HR Bukhari dan Muslim]


Malangnya dunia Islam hari ini sedang dibentuk ke arah menjadi umat yang bersikap apologetik. Gerakan Liberalisasi menggunakan alasan hak asasi manusia bagi menghalang Islam daripada bersuara menyatakan kebenaran atau membuka ruang untuk perbincangan antara agama secara ilmiah berlaku.

Rand Corporation telah mengeluarkan satu kajian polisi pada tahun 2006 bertajuk Building Moderate Muslim Network. Kononnya sebagai reaksi kepada keganasan yang dilakukan oleh umat Islam kerana mengikut ajaran Islam sebenar. Muslim yang bertegas dengan agama dan menyatakan kepalsuan agama lain dilabel sebagai ekstrimis dan jahat. Lalu diasaskan ajaran alternatif kepada Islam yang fundamental.

Mereka mahu membina pemikiran umat Islam yang diistilahkan sebagai moderate. Dari segi bahasa ia bermaksud pertengahan ataupun wasatiyyah. Wasatiyyah sememangnya ciri-ciri Islam. Walau bagaimanapun, istilah ini cuba dimanipulasi kononnya ajaran Islam yang terkandung di dalam al-Quran dan Sunnah belum cukup moderate (wasatiyyah) sehingga mereka memperkenalkan beberapa ajaran baru yang bercanggah dengan al-Quran dan Sunnah.

Jaringan Muslim Moderate ini mempertikaikan ajaran Islam seperti dalam isu hudud, riba, ikhtilat, poligami dan sebagainya. Menganggap yang masih berpegang kepada ajaran Islam sebagai kolot dan jumud.

Inilah fenomena yang dinyatakan Rasulullah lebih 1400 tahun dahulu. Sabda Baginda:

 يَأْتِيْ عَلَىْ النَّاسِ زَمَانٌ يُخَيَّرُ الرَّجُلُ فِيْهِ بَيْنَ العَجْزِ وَالفُجُوْرِ، فَمَنْ أَدْرَكَ ذَلِكَ مِنْكُمْ فَلْيَخْتَرِ العَجْزَ عَلَىْ الفُجُوْرِ

"Akan tiba suatu masa seseorang terpaksa memilih antara digelar kolot ataupun menjadi pelaku kemungkaran. Barangsiapa yang sempat dengan masa tersebut maka pilihlah untuk digelar kolot."

[HR Ahmad dan Al-Hakim]

Penyakit ini turut melanda gerakan Islam seluruh dunia. Fitnah Islamophobia awal abad ini melahirkan ideologi post-Islamism. Oleh kerana masyarakat sudah ditanam dengan doktrin Islam agama ekstrim, maka gerakan Islam cuba untuk membuktikan mereka tidak ekstrim dengan terma-terma yang lebih inklusif.

Walau bagaimanapun, reaksi ini melahirkan sikap apologetik gerakan Islam sehingga tidak mahu membicarakn mengenai ajaran Islam, bimbang dilabel ekstrimis ataupun bimbang keberadaan mereka menjadi tidak popular di medan persaingan demokrasi. Terbitlah alasan seperti "biar menang dahulu baru fikir ban syariat" dan "selesaikan masalah ekonomi dahulu baru fikir syariat".

(ALANG IBN SHUKRIMUN) - HARAKAHDAILY 27/5/2019