19
Thu, Sep
32 Artikel Baru

Al-Kahfi: Imuniti fitnah Dajjal akhir zaman (32)

Nasional
Typography

وَرَءَا ٱلۡمُجۡرِمُونَ ٱلنَّارَ فَظَنُّوٓاْ أَنَّهُم مُّوَاقِعُوهَا وَلَمۡ يَجِدُواْ عَنۡهَا مَصۡرِفٗا

"Dan ketika penjenayah itu melihat neraka, maka yakinlah mereka, bahawa mereka akan jatuh ke dalamnya dan mereka tidak akan mendapati sebarang jalan untuk mengelakkan diri daripadanya."

Penekanan utama ayat:

●      Ainul yaqin

Mengikut perbahasan ilmu tasauf, terdapat tiga kategori keyakinan pada diri seorang muslim:

1.    Ilmul yaqin (At-Takathur:5)

2.    Ainul yaqin (At-Takathur:7)

3.    Haqqul yaqin (Al-Waqiah:95)

Secara ringkas, ilmul yaqin bermaksud meyakini dengan pengetahuan. Ainul yaqin pula bermaksud meyakini dengan penglihatan. Manakala haqqul yakin adalah meyakini setelah merasainya.

●     Penjenayah

Dosa adalah jenayah. Semua pendosa adalah penjenayah di sisi Islam. Setiap penjenayah berhak untuk dihukum. Mereka yang menganggap orang yang melakukan dosa peribadi seperti meninggalkan solat, berzina dan minum arak sebagai bukan penjenayah adalah penganut fahaman Liberalisme.

Ibrah akhir zaman:

Akan tiba masanya, Allah akan tunjukkan kepada golongan yang ingkar terhadap Islam akan azab-azabNya. Pada ketika itu, semua orang bukan sahaja akan mempercayai, malah sedar dan insaf akan kemungkaran yang dilakukan. Walau bagaimanapun, tiada guna lagi sesalan kala itu.

Apa yang berlaku di akhir zaman ini daripada bala bencana dunia adalah sebagai mukaddimah azabNya, supaya manusia segera sedar dan insaf sebelum terlewat. Firman Allah S.W.T:

ظَهَرَ الْفَسَادُ فِي الْبَرِّ وَالْبَحْرِ بِمَا كَسَبَتْ أَيْدِي النَّاسِ لِيُذِيقَهُم بَعْضَ الَّذِي عَمِلُوا لَعَلَّهُمْ يَرْجِعُونَ

"Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat)."

[Ar-Room:41]

Dunia hari ini sudah dilanda berbagai-bagai malapetaka. Tsunami, gempa bumi, banjir, kebakaran, kemarau, kepanasan melampau, sambaran petir dan berbagai lagi. Sebagaimana ayat di atas, ia berlaku atas kecuaian manusia sendiri yang tidak menguruskan dunia secara lestari, mengejar keuntungan melalui pembangunan-pembangunan material hingga menjejaskan ekosistem lalu memberi impak kepada kesejahteraan hidupan bumi termasuk manusia sendiri.

Ayat Allah ini juga boleh difahami dari sudut metafizik, di mana kemungkaran yang dilakukan oleh manusia menjadi punca kerosakan langit dan bumi berlaku. Ia adalah sebahagian hukuman tuhan di dunia, supaya manusia yang berfikir dengan waras segera sedar dan kembali kepada tuhan, sebelum tiba masa taubat tidak akan lagi diterima.

Firman Allah S.W.T:

فَلَمَّا رَأَوۡاْ بَأۡسَنَا قَالُوٓاْ ءَامَنَّا بِٱللَّهِ وَحۡدَهُۥ وَكَفَرۡنَا بِمَا كُنَّا بِهِۦ مُشۡرِكِينَ

"Maka ketika mereka melihat azab Kami, mereka berkata: "Kami beriman kepada Allah semata-mata, dan kami kufur ingkar kepada benda-benda yang dengan sebabnya kami menjadi musyrik"."

فَلَمۡ يَكُ يَنفَعُهُمۡ إِيمَٰنُهُمۡ لَمَّا رَأَوۡاْ بَأۡسَنَاۖ سُنَّتَ ٱللَّهِ ٱلَّتِي قَدۡ خَلَتۡ فِي عِبَادِهِۦۖ وَخَسِرَ هُنَالِكَ ٱلۡكَٰفِرُونَ 

"Maka iman yang mereka katakan semasa melihat azab Kami, tidak berguna lagi kepada mereka; yang demikian adalah menurut "Sunnatullah" (undang-undang peraturan Allah) yang telah berlaku kepada hamba-hambaNya. Dan pada saat itu rugilah orang-orang yang kufur ingkar."

[Ghafir:84-85]

Perkara ini telah berlaku di zaman Firaun. Beberapa azab ditimpakan kepada mereka. Setiap kali satu azab menimpa, sebahagian mereka insaf dan memohon azab itu dihentikan. Namun setelah azab terhenti, mereka kembali kufur. Lalu Allah azabkan mereka dengan azab yang terus membinasakan. Firman Allah S.W.T:

فَأَرْسَلْنَا عَلَيْهِمُ الطُّوفَانَ وَالْجَرَادَ وَالْقُمَّلَ وَالضَّفَادِعَ وَالدَّمَ آيَاتٍ مُّفَصَّلَاتٍ فَاسْتَكْبَرُوا وَكَانُوا قَوْمًا مُّجْرِمِينَ
وَلَمَّا وَقَعَ عَلَيْهِمُ الرِّجْزُ قَالُوا يَا مُوسَى ادْعُ لَنَا رَبَّكَ بِمَا عَهِدَ عِندَكَ ۖ لَئِن كَشَفْتَ عَنَّا الرِّجْزَ لَنُؤْمِنَنَّ لَكَ وَلَنُرْسِلَنَّ مَعَكَ بَنِي إِسْرَائِيلَ
فَلَمَّا كَشَفْنَا عَنْهُمُ الرِّجْزَ إِلَىٰ أَجَلٍ هُم بَالِغُوهُ إِذَا هُمْ يَنكُثُونَ
فَانتَقَمْنَا مِنْهُمْ فَأَغْرَقْنَاهُمْ فِي الْيَمِّ بِأَنَّهُمْ كَذَّبُوا بِآيَاتِنَا وَكَانُوا عَنْهَا غَافِلِينَ

"Kami pun menghantarkan kepada mereka taufan, dan belalang, dan kutu, dan katak, dan darah, sebagai tanda-tanda dan bukti yang jelas nyata, maka mereka juga tetap berlaku sombong takbur dan menjadi kaum yang menderhaka.

"Dan apabila azab yang tersebut itu menimpa mereka, mereka (merayu dengan) berkata: "Wahai Musa! Pohonkanlah kepada Tuhanmu untuk kami dengan (kehormatan) pangkat Nabi yang diberikanNya kepadamu (yang menjadikan permohonanmu sentiasa makbul). Sesungguhnya jika engkau hapuskan azab itu daripada kami, tentulah kami akan beriman kepadamu, dan sudah tentu kami akan membebaskan kaum Bani Israil (pergi) bersamamu".

"(Tuhan berfirman): Setelah Kami hapuskan azab itu daripada mereka, hingga ke suatu masa yang tertentu yang mereka sampai kepadanya, tiba-tiba mereka mencabuli janjinya

"Maka Kami pun membalas mereka, lalu Kami menenggelamkan mereka di laut dengan sebab mereka mendustakan ayat-ayat Kami dan mereka sentiasa lalai daripadanya."

[Al-Aaraf:133-136]

Namun lumrah manusia, hanya akan mempercayai dan menyedari sesuatu setelah mereka melihatnya dengan mata kepala sendiri atau merasainya dengan pancaindera sendiri. Kepercayaan kepada tuhan dan segala rukun iman yang lain pula tidak dapat dikesan melalui panca indera. Hanya fenomena dan kejadian yang perlu dicerna melalui akal fikiran sahaja boleh menjadi bukti kewujudan dan kekuasaan tuhan Maha Esa.

Tuhan pula sengaja sembunyikan hakikat KetuhananNya daripada dikesan pancaindera sebagai satu ujian kepada manusia di dunia. Hanya mereka yang sanggup membuka akal fikiran bagi mempercayai perkara-perkara ghaib sahaja yang akan berjaya melepasi ujian ini, lalu selamat dunia dan akhirat.

Bagi yang tidak mempercayai, kemungkinan terpengaruh dengan zaman sains dan teknologi yang semuanya berasaskan pembuktian empirikal (evidence base), tuhan akan buktikan juga kepada mereka berasaskan method yang mereka pegang. Namun ketika itu, semuanya sudah terlambat. Apabila matahari naik daripada barat, dan apabila nyawa mereka berada di halkum, waktu itu baru mereka memahami kebenaran agama Islam yang selama ini mereka ingkari. Tetapi segalanya sudah terlambat. Pembuktian itu menjadi hukuman jiwa kepada mereka dalam bentuk ketakutan dan rasa putus asa.

Firman Allah S.W.T:

هَلۡ يَنظُرُونَ إِلَّآ أَن تَأۡتِيَهُمُ ٱلۡمَلَٰٓئِكَةُ أَوۡ يَأۡتِيَ رَبُّكَ أَوۡ يَأۡتِيَ بَعۡضُ ءَايَٰتِ رَبِّكَۗ يَوۡمَ يَأۡتِي بَعۡضُ ءَايَٰتِ رَبِّكَ لَا يَنفَعُ نَفۡسًا إِيمَٰنُهَا لَمۡ تَكُنۡ ءَامَنَتۡ مِن قَبۡلُ أَوۡ كَسَبَتۡ فِيٓ إِيمَٰنِهَا خَيۡرٗاۗ قُلِ ٱنتَظِرُوٓاْ إِنَّا مُنتَظِرُونَ 

"Apakah (yang ditunggu-tunggu oleh mereka yang tidak beriman itu?) mereka tidak menunggu melainkan kedatangan malaikat (yang mencabut nyawa mereka), atau kedatangan (azab) Tuhanmu, atau kedatangan sebahagian dari tanda-tanda Tuhanmu (yang menjadi alamat hari kiamat). Pada hari datangnya sebahagian dari tanda-tanda Tuhanmu itu, tidak berfaedah lagi iman seseorang yang tidak beriman sebelum itu, atau yang tidak berusaha mengerjakan kebaikan mengenai imannya. Katakanlah: "Tunggulah kamu (akan apa yang kamu berhak mendapatnya), dan kami pun sebenarnya menunggu (akan apa yang telah dijanjikan oleh Tuhan kepada kami)"."

[Al-An'am: 158]

Sabda Rasulullah S.A.W:

إِنَّ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ يَبْسُطُ يَدَهُ بِاللَّيْلِ لِيَتُوبَ مُسِيءُ النَّهَارِ ، وَيَبْسُطُ يَدَهُ بِالنَّهَارِ لِيَتُوبَ مُسِيءُ اللَّيْلِ ، حَتَّى تَطْلُعَ الشَّمْسُ مِنْ مَغْرِبِهَا

"Sesungguhnya Allah mendepakan tangannya di waktu malam bagi menerima taubat pesalah waktu siang, dan mendepakan tangannya di waktu siang bagi menerima taubat pesalah waktu malam, hinggalah terbitnya matahari dari arah Barat."

[HR Muslim]

Juga sabda Rasulullah S.A.W:

إِنَّ الله عزَّ وجَلَّ يقْبَلُ توْبة العبْدِ مَالَم يُغرْغرِ

"Sesungguhnya Allah menerima taubat seorang hamba selagi mana nyawanya tidak sampai ke halkum."

[HR Tirmizi]

(ALANG IBN SHUKRIMUN) - HARAKAHDAILY 14/6/2019