17
Tue, Sep
32 Artikel Baru

Calon pemilihan Muktamar PAS sepi, tak menonjol?

Nasional
Typography

BERBAKI kurang dua hari lagi, Muktamar Tahunan PAS kali ke-65 akan berlangsung di Kuantan, Pahang. Bahangnya kurang terasa walaupun tahun ini adalah tahun pemilihan barisan kepimpinan sesi 2019/2021, ini berkemungkinan daripada isu-isu panas politik yang sedang menaufan negara ini. Alam maya sedang menggelegak dengan isu "kunyit dan lengkuas" politisi yang memualkan, rakyat bosan dan kecewa dengan kerajaan PH yang gagal merealisasikan tawaran manifesto sehingga bertindan tindih derita rakyat.

Insya-Allah, muktamar berlangsung dengan damai dan harmoni walaupun adanya pemilihan kepimpinan jamaah, bahtera PAS yang menampung kepelbagaian ahli ini akan memilih pemimpin, empat calon Naib Presiden menawarkan diri untuk tiga kerusi Naib Presiden, manakala 29 calon AJK PAS Pusat bertanding untuk 18 kerusi AJK Pusat. Pengerusi tetap menang tanpa bertanding, Cikgu Husin Ismail. Anak Terengganu yang lama bergulat di medan kebajikan dan dakwah sehingga benua Afrika, beliau juga pengasas Jabatan Amal Malaysia di zaman pemudanya. Timbalan Pengerusi tetap juga menang tanpa bertanding, Ustaz Kamal Saari yang juga tokoh pendidikan dan dakwah yang piawai.

Selain calon yang juga penyandang jawatan, muktamar pada kali ini membariskan calon-calon baru dan tokoh baru yang memancing perhatian perwakilan dan pemerhati. Ustaz Khalil Abdul Hadi, mantan Ketua Dewan Pemuda yang mencuba nasib kali ini. Anak butir Presiden PAS ini adalah Adun Batu Buruk yang mendapat pendidikan di Pakistan, Yaman, United Kingdom dan sedang menyiapkan ijazah kedoktoran. Ustaz Yusni Mat Piah, anak Memali yang kini menggalang jawatan Adun Penaga di Pulau Pinang. Mantan Ketua Pemuda Pulau Pinang ini mendapat pendidikan di Pakistan dan Mesir, seorang aktivis bantuan kemanusiaan yang aktif didalam dan luar negara bersama wadah Muslim Care Malaysia dan YAM.

Dr Mohd Mazri Yahya, anak Johor yang merupakan doktor pakar perubatan antara calon berlatarbelakang profesional. Beliau memimpin Badan Perhubungan PAS Johor beberapa sesi. Siti Zailah Yusuf, Ahli Parlimen Rantau Panjang adalah mantan Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat. Seorang tokoh muslimah yang semenjak muda bergulat di medan jamaah. Alumni UiTM dan juga mendapat pendidikan pondok, wanita besi ini terkenal kerana reputasinya membantu rakyat di Kelantan.

Dr Ahmad Yunus Hairi, Adun Sijangkang Selangor dan wakil tunggal PAS dalam Dun Selangor. Beliau adalah aktivis misi bantuan kemanusiaan di banyak negara serta mantan Exco Agama Kerajaan Selangor pada sesi lepas. Ahli Parlimen Pendang Kedah, Haji Awang Solahudin Hashim adalah antara muka baru dalam pemilihan kali ini. Anggota legislatif yang aktif mengambil bahagian dalam perbahasan di Parlimen dengan latarbelakang pendidikan Perakaunan yang piawai. Ustaz Ahmad Marzuk Shaary, Ahli Parlimen Pengkalan Chepa antara calon baru sesi ini. Beliau mendapat pendidikan tinggi di Jordan dan juga MA daripada Universiti Sains Malaysia. Mantan Ahli Parlimen Bachok ini juga bekas pimpinan pemuda Kelantan.

Dr Fadzli Hassan bekas pensyarah UIAM lahir daripada rahim tarbiah PAS semenjak remaja dan mendapat doktorat daripada Universiti Birmingham United Kingdom dalam bidang undang-undang Perlembagaan. Dr Khairuddin at-Takiri pula bekas pensyarah UKM yang mendapat ijazah MA daripada Universiti Jordan serta mempunyai doktorat daripada UKM.

Dr Zuhdi Marzuki mantan Timbalan Presiden GAMIS, tokoh muda radikal di zaman kampus yang menjadi dalang bantahan konsert Sheila Majid. Beliau pelajar pintar yang diasuh semenjak remaja sebagai pimpinan PAS. Mendapat doktorat daripada Universiti of Wales, UK. Dr Ahmad Fakhruddin Sheikh Fakhrurazi, Pesuruhjaya PAS Negeri Kedah pula merupakan anak kepada tokoh ilmuwan Kedah. Beliau memperolehi Ijazah Sarjana Muda Syariah Undang-Undang daripada UKM, dan MA dalam Undang-Undang Perbandingan di UIAM. Manakala, mantan Ketua Dewan Ulamak PAS Kedah ini berdoktorat Pengajian Islam di UKM. Haji Razman Zakaria, bekas Pengarah Kastam mempunyai MA dalam bidang pentadbiran awam daripada UM.

Ustaz Salehen Mukhyi, mantan Exco kerajaan Selangor adalah tokoh gerakan mahasiswa di zaman mudanya. Bergraduan daripada UKM, seterusnya ke kampus Jordan dan UM. Ustaz Dato' Nasuruddin Daud mencicip ilmu di Universiti al-Azhar merupakan Exco Kerajaan Kelantan yang dijoloki sebagai "Singa PAS". Tokoh agama ini juga adalah pemimpin pemuda di zamannya.

Dr Rosni Adam pengamal perubatan muslimah bergraduan daripada Universiti Malaya. Anak Melaka ini mantan aktivitis pelajar di zaman kampus seterusnya terjun aktif bersama Dewan Muslimat. Beliau juga merupakan Timbalan Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia. Dr Halimah Ali dilahirkan di Marudi, Sarawak, mantan Ketua Urusan Muslimat Persatuan Mahasiswa Islam Tasmania, mendapat pendidikan di Elizabeth Matriculation College, Hobart Tasmania, seterusnya memperolehi Ijazah Perubatan daripada Universiti Tasmania. Mantan Exco Selangor dan mantan Adun Selat Klang ini juga mempunyai Diploma Tasawwur Islam ILHAM.

Ustaz Mokhtar Senik mendapat pendidikan tinggi di Universiti Pakistan dan juga di Makkah. Beliau juga merupakan pengasas kepada Kompleks Pendidikan An-Nur di Kuantan, Pahang. Muhtar Suhaili As-Sarawaki merupakan anak Sarawak yang bertugas sebagai jurutera kanan di sebuah syarikat minyak dan gas antarabangsa dan berpengalaman bertugas di beberapa tempat dalam dan luar negara. Beliau berkelulusan Sarjana Muda Kejuruteraan Mekatroniks dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Sarjana Master Teknologi Petroleum dari Curtin University Australia.

Ustaz Misbah Munir Masduki, mantan Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat dan juga aktivis Yayasan Amal Malaysia merupakan lulusan Universiti Malaya untuk Ijazah Pertama. Mendapat MA (Sains Politik) daripada UKM. Calon PhD ini juga ialah Mudir Pusat Dakwah Serantau yang aktif mencetak kader-kader dakwah. Dr Azman Ibrahim, anak muda kelahiran Besut, Terengganu pula mendapat pendidikan di Matrikulasi Universiti Malaya. Mendapat Ijazah Pergigian di Universiti Baghdad, Iraq, seterusnya berkhidmat dengan hospital kerajaan sebelum mempunyai kliniknya sendiri di Kubang Kerian, Kelantan.

Dr Najihatussalehah Ahmad, merupakan AJK Dewan Muslimat PAS Pusat yang aktif. Beliau bergraduat daripada Universiti Malaya dalam bidang Perubatan dan aktif dengan gerakan mahasiswa Islam semenjak di alam kampus. Kamaruzaman Mohamad, mantan Ketua Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan ialah penggerak utama bantahan awam di negara ini. Beliau memiliki ijazah Sains Pendidikan daripada kampus UPM serta Ijazah Sarjana daripada Universiti yang sama dalam bidang Pengurusan Teknologi Maklumat. Usahawan berjaya ini juga adalah calon PhD di sebuah universiti tempatan.

Ustaz Abdullah Hussin, bekas ahli legislatif daripada Johor ini merupakan tokoh pendidikan Islam di negeri tembuni Umno ditanam. Mendapat pendidikan di Universiti al Azhar Mesir, pulang ke tanah air menjadi pengasas pusat pendidikan Islam. Ustaz Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz, Ahli Parlimen Bachok yang juga mantan Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia ialah satu-satunya anak almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz yang terlibat secara aktif dalam PAS diperingkat nasional. "Anak butir" tok guru ini mendapat pendidikan tinggi di Deoband India, seterusnya ke Universiti al-Azhar Mesir.

Naib-Naib Presiden pula mempunyai latarbelakang pendidikan yang piawai serta penglibatan sosiopolitik yang mapan semenjak remaja. Ustaz Idris Ahmad bekas pensyarah UiTM, calon doktorat universiti tempatan dan johan pidato kebangsaan semasa belajar di KIK. Beliau memimpin pelajar di UKM di zaman kampus. Ustaz Idris calon paling popular dan pernah menjadi Ahli Parlimen Bukit Gantang pada sesi lepas. Suami kepada seorang isteri ini memimpin Lujnah Tarbiah Dan Perkaderan PAS, seorang jurubina amal tarbawi yang komited semenjak remaja.

Dato’ Mohd Amar Nik Abdullah, bekas Ketua Pelajar Maahad Muhammadi Kelantan. Anak tokoh PAS, Ustaz Nik Abdullah Arshad, beliau mempunyai M(Phil) daripada Universiti Birmingham UK. Nik Amar adalah mantan pensyarah UIAM. Dato’ Iskandar Samad adalah alumni MCKK serta belajar dalam bidang senibina daripada Universiti Humberside UK. Exco kerajaan Selangor ini terasuh cermat dengan sistem tajnid PAS.

Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, Menteri Besar Terengganu sebagai calon Naib Presiden. Mantan Setpol Presiden PAS ini ialah pakar aeroangkasa Malaysia, mendapat pendidikan tinggi di UKM dan berdoktorat daripada Universiti Leeds United Kingdom.

Memilih kepimpinan yang kompeten, berdaya saing, mampu mendepani cabaran dan krisis dengan pemikiran analitikal adalah tanggungjawab perwakilan. Setiap calon mempunyai pakej kepimpinan dan teruji di medan dakwah dan siasah, sebahagian mereka semenjak zaman muda terlibat aktif di pelbagai sektor kepimpinan jamaah. Jamaah Islam ini dengan sejuta ahli dan dua juta penyokong memerlukan pasukan qiadah yang hebat dan qawwiy, dengan nakhoda jamaah yang senior dalam gerakan Islam antarabangsa, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang. Selamat memilih dan selamat bermuktamar! – HARAKAHDAILY 19/6/2019

Penulis ialah AJK PAS Pusat, aktivis bantuan kemanusiaan tanpa sempadan, PhD UKM.