19
Thu, Sep
52 Artikel Baru

Apa ada pada Muktamar PAS?

Nasional
Typography

PAGI yang cerah. Senyuman yang melimpah, berdesakan para tetamu, perwakilan, pemerhati, pencandu politik bahkan kelompok manusia yang sentiasa ingin meramaikan majlis yang baik. Pahang negeri di koridor Pantai Timur yang tidak pernah diperintah oleh PAS, bahkan dekad 1980-an adalah tempat buangan kepada aktivis PAS terutama di perdesaan pedalaman Jerantut, Raub dan Lipis.

Pahang kali ini menjadi tuan rumah muktamar harakatul ummah yang telah berusia 68 tahun ini untuk pertama kalinya. Pada awalnya diunjurkan Kompleks PAS Pahang di Kerdau akan menjadi lokasi muktamar, namun takdir telah terpahat, muktamar berlangsung di tengah mood penyatuan ummah. Lokasi Muktamar PAS ke-65 ditukarkan ke Stadium Tertutup SUKPA, Indera Mahkota. Berpindah lokasi ini bukan sekadar memudahkan usaha ke arah pemuafakatan strategik parti-parti pembangkang dan jaringan sivil di negara ini namun memudahkan untuk berhimpun seluruh aktivis dan penyokong usaha perpaduan ummah.

Sejak jam 7.00 pagi, lokasi SUKPA yang strategik telah dikerumuni oleh perwakilan dan pemerhati, bukan sekadar berjubah, bersampin dengan sut baju Melayu berwarna hijau, juga sut baju Melayu bewarna merah. SUKPA dipadati ribuan manusia dengan belasan wakil pelbagai negara sebagai tetamu khas muktamar. Pihak media begitu obses memburu berita, menyorot lensa ke arah pelbagai sudut, kelihatan anak-anak muda berbusana Melayu seperti pahlawan Melayu silam menyambut kedatangan tetamu. Unik dan luar biasa!

Tuan Guru Presiden melangkah masuk ke dewan utama dengan langkah gagah sebagai lambang harakatul ummah ini telah matang berpencak di medan siasah dan dakwah. Sang murabbi itu membuka ucapan dasar dengan dua rangkap pantun yang indah:

Gunung Tahan sama didaki,
Sungai Pahang sama direnang,
Jikalau kita bersatu hati,
Kerja yang susah menjadi senang.

Mari mengukur apa yang berlalu,
Jangan menjadi orang yang latah,
Mari kita membujur lalu,
Semua yang melintang wajib dipatah.

Ucapan dasar Presiden dengan tema "Islam Memimpin Perpaduan" dirangka sebagai garis panduan dan pentarjihan selama setahun mendatang arah tuju bahtera perjuangan Islam ini. PAS diletakkan harapan untuk memimpin perubahan dan alternatif kepada perubahan dengan kondisi kehiruk-pikukan pasca 9 Mei 2018. Menurut Presiden PAS, Islam menegaskan wujudnya kepelbagaian, perbedaan, perselisihan dan pertembungan adalah fitrah kejadian manusia. Tidak mungkin manusia hidup secara individualistik, semuanya memerlukan kerjasama dan perkongsian kemahiran untuk menyempurnakan kehidupan.

PAS melihat pasca 9 Mei 2018 adanya ancaman terhadap Islam dan pribumi, kontrak sosial yang dicabar dan cuba dirombak. PAS terbuka untuk menjaring rangkaian kerjasama dengan pelbagai pihak termasuk dengan bukan Islam. Islam bersikap adil kepada semua, menjaga kepentingan semua ras dan etnik. Dalam sejarahnya, Islam melindungi penganut agama lain dan tidak menindas. PAS tidak bercakap kosong, sejarah negara ini menyaksikan darah tumpah 13 Mei 1969 di Lembah Klang, namun negeri Kelantan di bawah pemerintahan PAS, tidak ada satu titik pun darah yang tumpah!

PAS dengan penuh keseriusan untuk mentadbir negara dalam PRU15 merangka jalan dan peta kemenangan. Usaha berstrategik untuk melebarkan pengaruh dengan penambahan ahli-ahli baru, usaha mendaftarkan pengundi-pengundi baru untuk PRU15, penguasaan media dengan berkesan. PAS dengan kekuatan ahli yang paling berdisiplin di kalangan seluruh parpol di negara ini, mempunyai jaringan sivil yang lengkap, beroperasi di seluruh sektor dan medan masyarakat. Jabatan Amal, ARC, DACS, Nisa', Ameerah, PASTI, SRITI, SMITI dan puluhan entiti dan proksi PAS untuk merengkuh sokongan dan dokongan rakyat.

Menurut Presiden PAS, perhatian mesti diberikan kepada saiko politik yang metentasi kaum, menumpukan juga elemen pendidikan politik kepada genetasi muda, berusaha mematangkan anak muda kepada geopolitik negara ini. PAS dalam memburu sokongan domestik juga memandang dengan prihatin nasib masyarakat antarabangsa umat Islam. Darah yang tumpah di Palestin, Syria, Rohingya dan pelbagai peta luka umat Islam yang lain. PAS akan terus menjadi jurubicara ummah yang tegas dan prihatin.

PAS harus meningkatkan kompetensi kepimpinan untuk mengambil alih kepimpinan negara. Pengundi dan rakyat sedang memerhatikan keupayaan dan kemampuan PAS. Dengan aroma kebobrokan dan kebejatan yang menikam kalbu di bawah rejim PH pasca PRU14, tidak pelik untuk rakyat melakukan perubahan politik dalam pilihanraya akan datang. Tak pelik jika PH menjadi kerajaan sepenggal paling singkat seperti BJP di India. Teruskan menumpah keringat, meratakan kefahaman dan menaufan ombak perubahan kepada rakyat terutama anak-anak muda yang merupakan agen transformasi sosial yang paling berkesan. - HARAKAHDAILY 21/6/2019

Penulis adalah AJK PAS Pusat, Pengerusi LESTARI.