19
Thu, Sep
52 Artikel Baru

Perpaduan Melayu: Tun dijangka diserang PH

Nasional
Typography

MENURUT akhbar The Star gara-gara Tun mencadangkan pengukuhan kuasa politik Melayu beliau dijangka akan diserang dan didera dalam Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan, hari ini.

Bukan menjadi rahsia lagi bahawa PH menang melalui sokongan lebih 90 peratus pengundi bukan Melayu yang dikuasai DAP dalam PRU14 lalu.

DAP punya pengaruh dan kuasa besar dalam kerajaan Persekutuan dan sebahagian besar kerajaan-kerajaan negeri hari ini. Impian mereka sekian lama terkabul apabila politik Melayu berpecah mengakibatkan mereka muncul berkuasa.

Dengan kemenangan dan pengaruh ini DAP sedang menyusup masuk agenda mereka dalam kerajaan. Melahirkan sebuah Malaysia yang sekular serta menghidupkan gagasan "Malaysian Malaysia" sedang giat dilaksanakan.

Mana mungkin DAP mahu izinkan kuasa politik Melayu kembali bertapak menghancurkan impian mereka selama ini.

PKR pula melihat langkah Tun itu sebagai usaha mematikan peluang Anwar menjadi PM. Bila Bersatu kuat mereka boleh tuntut jawatan PM dikekalkan pada mereka, maka meloponglah Anwar.

PKR hari ini cuma ada satu agenda iaitu melihat Anwar jadi PM. Nasib dan masa depan negara apatah lagi orang Melayu tiada dalam radar keutamaan mereka. Yang penting Anwar jadi PM.

PAN pula yang diberi nyawa dan tenaga oleh DAP mustahil berani melawan tuannya. Menurut laporan The Star Presiden PAN Mat Sabu dilihat cenderung pada Tun, namun Mat dalam PAN sekadar pasu bunga. Di belakang PAN adalah tokoh-tokoh yang satu hati dan jiwa dengan DAP.

Jadi demikianlah nasib Tun, kiranya berkeras akan bertemu asakan, kiranya berlembut naiklah Anwar sebagai PM.

Baru mahu cadang mengukuhkan kuasa politik Melayu Tun berhadapan suasana tegang begini, lalu apalah nak diharap sangat pada PH.

Selagi DAP berkuku selama itulah bumi dipijak milik orang. – HARAKAHDAILY 8/7/2019