21
Sat, Sep
42 Artikel Baru

DUPNS kesal lantikan transgender sebagai CCM

Nasional
Typography

DEWAN Ulamak PAS Negeri Selangor (DUPNS) kesal dengan lantikan seorang transgender iaitu Rania Zara Medina sebagai ahli Country Coordinating Mechanisme (CCM) 2019-2021 oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.

CCM merupakan badan ahli jawatankuasa yang mewakili negara untuk menyedia permohonan dan mendapatkan dana dari Global Fund untuk penyakit aids, malaria dan sebagainya. Mereka yang dilantik dalam jawatankuasa ini perlulah terdiri dari mereka yang mempunyai integriti yang boleh mewakili suara negara dengan bijak dan matang.

Apabila negara mengambil kelompok dari trangender, secara tidak langsung, ia mengiktiraf kelompok yang mempunyai kecelaruan identiti bagi mewakili negara. Cukup banyak orang yang jauh lebih layak untuk mewakili rakyat Malaysia, tetapi kenapakah kumpulan ini yang diutamakan.

Sebelum ini, DS Dr. Mujahid Yusof tampil ke udara bersama seorang ratu transgender, Nisha Ayub dalam satu siaran televisyen. Adakah ini aplikasi konsep Rahmatan lil Alamin yang akhirnya membawa kepada menggadaikan prinsip Islam dan nilai budaya Melayu Malaysia?

Dengan pelantikan ini, adakah kerajaan Malaysia di bawah Pakatan Harapan (PH) telah mengiktiraf kumpulan ini?

USTAZ RIZUAN RAHMAT
Ketua Dewan Ulamak PAS Negeri Selangor
9 Julai 2019 – HARAKAHDAILY 9/7/2019