23
Tue, Jul
30 Artikel Baru

Solidariti Wan Ji, mengguris Institusi Diraja

Nasional
Typography

DEWAN Pemuda PAS Negeri Kedah menyeru kepada semua pihak agar menghentikan segera sebarang bentuk solidariti terhadap Wan Ji Wan Hussain telah absahkan hukuman yang disabitkan oleh Mahkamah Sesyen sebelum ditambah hukuman dari 9 bulan kepada setahun penjara di atas kesalahan menghina DYMM Sultan Selangor oleh Mahkamah Tinggi.

Tindakan mengadakan solidariti itu dilihat tidak mencerminkan penghayatan dan kepatuhan terhadap rukun negara iaitu kesetiaan kepada Raja dan Kedaulatan undang-undang. Ia membawa kekeliruan di kalangan masyarakat dalam memahami matlamat hukuman yang dijatuhkan oleh mahkamah tersebut adalah untuk memelihara institusi Diaja.

Apa yang lebih mendukacitakan, solidariti ini datang daripada kalangan pimpinan Pakatan Harapan yang menjadi tonggak kerajaan namun insiden seumpama itu seolah-olah hendak memusnahkan Institusi Diraja yang sepatutnya dipelihara oleh kerajaan.

Kesan solidariti itu juga menunjukkan penghinaaan kepada institusi kehakiman dan diburukkan lagi dengan kenyataan pimpinan utama parti kerajaan yang dilihat mahu mencampuri bidangkuasa kehakiman. Keadaan ini mencerminkan undang-undang rimba cuba diamalkan oleh sesetengah pimpinan kerajaan sekarang.

Sewajarnya semua pihak mengambil sikap menghormati keputusan mahkamah dan berusaha agar perilaku penghinaan terhadap Sultan perlu dihindari pada masa akan datang.

Tindakan bersolidariti terhadap Wan Ji Wan Hussain adalah sangat tidak beretika, subjudis dan perlu dihentikan segera oleh semua pihak demi memelihara institusi Diraja kerana pesalah masih mempunyai peluang terakhir untuk merayu hukuman tersebut di Mahkamah Rayuan.

NURUL AMIN HAMID
Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Kedah
11 Julai 2019 / 8 Zulkaedah 1440 – HARAKAHDAILY 11/7/2019