25
Sun, Aug
26 Artikel Baru

Khat Jawi: Sambut baik ketegasan PM

Nasional
Typography

PAS konsisten menyokong penuh sebarang usaha mengangkat dan memartabatkan tulisan Jawi serta khat dalam mata pelajaran Bahasa Melayu di semua jenis sekolah seluruh negara seperti yang diumumkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia, baru-baru ini.

Bahkan PAS menyambut baik ketegasan Tun Dr Mahathir Mohamad mempertahankan isu berkenaan yang cuba dimanipulasi oleh pihak-pihak tertentu untuk kepentingan peribadi tanpa melihat hal berkenaan dari sudut positif membina negara sejahtera.

Umum mengetahui bahawa bahasa dan tulisan itu mampu mengikat ikatan perpaduan dan keharmonian sesebuah negara berbilang bangsa. Maka pengenalan bahasa melayu tulisan Jawi dan khat merupakan satu tindakan tepat bagi memupuk rasa kebersamaan serta memelihara jati diri bangsa yang terdiri dari masyarakat majmuk.

Dalam hal ini, PAS menolak sifat perkauman melulu, ekstrem dan fanatik yang berpotensi mewujudkan persekitaran tidak selesa akibat kedegilan mereka yang mempertikai dan mengapi-apikan  pengenalan subjek matapelajaran tersebut.

Sehubungan itu, PAS juga turut kesal apabila terdapat di kalangan pemimpin DAP yang tidak peka, cuba merendah-rendahkan seni tulisan jawi seperti mengaitkannya dengan tulisan lucah dan sebagainya.

Justeru itu, Kerajaan Pakatan Harapan digesa tegas dengan keputusan awal mereka memperkenalkan dasar terbabit supaya tidak dilihat bersandiwara atau 'test market' dalam menangani hal ini serta  jangan pula buat 'U-turn' di pusingan terakhir.

DR AHMAD FAKHRUDDIN SHEIKH FAKHRURAZI
Timbalan Pengerusi Lajnah Pendidikan PAS Pusat
13 Ogos 2019 – HARAKAHDAILY 13/8/2019