21
Sat, Sep
29 Artikel Baru

Isu Dr Zakir Naik: Seruan solat hajat seluruh negara

Nasional
Typography

SABDA Rasulullah SAW:

عن النُّعْمَانِ بْنِ بَشِيرٍ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: ( مَثَلُ الْمُؤْمِنِينَ فِي تَوَادِّهِمْ وَتَرَاحُمِهِمْ وَتَعَاطُفِهِمْ مَثَلُ الْجَسَدِ؛ إِذَا اشْتَكَى مِنْهُ عُضْوٌ تَدَاعَى لَهُ سَائِرُ الْجَسَدِ بِالسَّهَرِ وَالْحُمَّى)

Dari An Nu’man bin Basyir dia berkata; Rasulullah SAW bersabda: “Perumpamaan orang-orang mukmin dalam hal saling mencintai, mengasihi, dan menyayangi bagaikan satu tubuh. Apabila ada salah satu anggota tubuh yang sakit, maka seluruh tubuhnya akan ikut terjaga (tidak boleh tidur) dan panas (turut merasakan sakitnya”. (HR Muslim)

Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP) meneliti secara serius dan cermat tekanan dan usaha yang berterusan dari pihak-pihak tertentu untuk menghantar pulang Dr Zakir Naik serta desakan untuk menyekat beliau dari menyampaikan ceramah dalam mana-mana majlis di seluruh negara.

DUPP juga melihat kewajaran semua pihak menerima secara positif tiga aspek yang telah dikemukakan oleh Presiden PAS, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang berkaitan isu Dr Zakir Naik, iaitu menghormati budaya debat dan dialog sebagai ruang demokrasi, memelihara perpaduan masyarakat majmuk serta menjaga jaminan keselamatan tanpa mengira agama dan bangsa.  

Walaubagaimanapun, DUPP melahirkan rasa dukacita dengan perkembangan terkini melibatkan Dr Zakir Naik walapun ramai tokoh dan ahli agama menyuarakan pandangan menyokong pendekatan dakwah Dr Zakir Naik serta menganggap pelbagai tuduhan dan fitnah yang dilontarkan kepada Dr Zakir Naik adalah berpunca dari kebencian terhadap Islam semata-mata. Namun desakan dan tekanan kepada beliau semakin bertambah, bukan sahaja dari kelompok non-Muslim, tetapi juga dari kelompok Muslim sendiri.      

Sehubungan dengan itu, menjiwai dan menghayati Sabda Rasulullah SAW dalam hal berkasih-sayang sesama orang-orang beriman, DUPP merayu dan menyeru umat Islam di seluruh negara untuk:

1.    Bersama-sama menyokong usaha Dakwah Dr Zakir Naik serta mempertahankannya dari perancangan jahat pihak-pihak tertentu untuk menyekat usaha dakwah beliau.

2.    Bersama-sama menunaikan solat hajat dan bermunajat untuk mendapatkan pertolongan Allah SWT dalam memastikan usaha-usaha jahat untuk menyekat perkembangan dakwah Islam digagalkan oleh Allah SWT.

3.    Bersama-sama meyakini janji Rasulullah SAW bahawa tiada hijab antara doa org yang dizalimi dengan Allah SWT sebagaimana sabdanya:

عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بَعَثَ مُعَاذًا إِلَى الْيَمَنِ  فَقَالَ: (اتَّقِ دَعْوَةَ الْمَظْلُومِ فَإِنَّهَا لَيْسَ بَيْنَهَا وَبَيْنَ اللَّهِ حِجَابٌ)  

Yang bermaksud: Dari Ibnu ‘Abbas radliallahu ‘anhuma bahwa Nabi SAW mengutus Mu’adz ke negeri Yaman lalu bersabda: “Takutlah (berhati-hatilah) kamu terhadap doa orang yang dizalimi karena antara doanya dan Allah tidak ada apa-apa penghalang”. (HR Bukhari)

DUPP juga memberikan arahan khusus kepada Dewan Ulamak PAS negeri-negeri dan Urusan Ulamak kawasan-kawasan untuk mengadakan program Solat Hajat dan Munajat serta tazkirah dengan mengumpulkan semua umat Islam setempat.

“Ulamak Memimpin Penyelesaian Islam”

DATO' DR. NIK MUHAMMAD ZAWAWI SALLEH
Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat
Bertarikh: 19 Zulhijah 1440 / 20 Ogos 2019 – HARAKAHDAILY 20/8/2019