21
Sat, Sep
28 Artikel Baru

Tambah pemfokusan universiti lebih wajar

Nasional
Typography

ISU syor penggabungan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) menzahirkan keputusan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan amat tergesa-gesa.

Hal ini demikian kerana, berdasarkan kenyataan Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Tan Sri Halim Mohammad, beliau sendiri masih belum mendapat maklumat lanjut berkenaan penggabungan ini.

Meskipun kerajaan hanya bersetuju secara prinsip atas penggabungan tersebut namun jelas sekali pandangan pihak berkepentingan tidak diambil kira sebelum Kerajaan membuat keputusan tersebut sehinggakan mahasiswa-mahasiswa turut turun membanah.

Isu ini bukan sahaja memberi kesan kepada kampus utama, ia turut memberi kesan terhadap kampus-kampus cawangan seperti kampus UniSZA cawangan Tembila, Setiu.

Alasan yang dikeluarkan bagi mengambil langkah penjimatan hanya menzahirkan ketidakseriusan kerajaan dalam mengambil kira kepentingan kepelbagaian pemfokusan institusi-institusi di Malaysia.

Kerajaan sewajarnya mencari jalan bagi menambah pemfokusan setiap universiti untuk melahirkan lebih ramai rakyat mahir dalam bidang-bidang tertentu, khususnya Negeri Terengganu yang terkenal dengan negeri pelancongan.

Sehingga kini, masih belum wujud sebuah universiti awam yang memberi tumpuan kepada bidang perlancongan semata-mata sedangkan pemfokusan sebeginilah mampu melahirkan rakyat yang mahir dalam bidang yang diceburi.

Saya berharap agar kerajaan mampu mengemukakan kebaikan dan keburukan hasil kajian yang diperolehi sebelum memutuskan keputusan ini agar ia tidak hanya menguntungkan pihak kerajaan pada masa yang sama memperjudikan nasib pelajar universiti-universiti yang terlibat.

Justeru, saya menggesa kerajaan agar penggabungan yang memangsakan mahasiswa ini dihentikan dan digantikan dengan menambah bilangan institusi berfokus serta tidak sama sekali meminggirkan pihak berkepentingan untuk turut serta dalam membuat keputusan agar kenyataan-kenyataan tarik balik ataupun ‘u-turn’ tidak berulang.  

“Islam Memimpin Perpaduan”

YB SHAHARIZUKIRNAIN ABDUL KADIR
Ahli Parlimen Setiu
13 September 2019 | 13 Muharram 1441- HARAKAHDAILY 13/9/2019