22
Tue, Oct
28 Artikel Baru

Assabiqun-Veteran Paya Besar lakar sejarah

Nasional
Typography

PAYA BESAR: Assabiqun PAS dan Veteran Umno Parlimen Paya Besar telah berhimpun dalam Majlis Bersama Piagam Muafakat Nasional di Dewan Orang Ramai Taman Tas, di sini malam tadi.

Majlis dihadiri oleh Setiausaha Agung Veteran Umno Malaysia, Datuk Mustapha Yaakub dan Ketua Penerangan PAS NegeriPahang, Ustaz Mohd Tarmizi Yahaya serta Ketua Umno Bahagian Paya Besar, Dato' Tajuddin Sulaiman.

Datuk Mustapha dalam ucapannya berkata, program yang menghimpunkan lebih 200 veteran parti ini adalah julung kali diadakan selepas termeterai piagam Muafakat Nasional pada 14 September lalu.

"Penyatuan ini bukanlah sekadar agenda politik, tetapi ini adalah demi Islam dan perjanjian persefahaman di PWTC pada 14 September adalah hidayah Allah kepada kita semua.

"Tugas kita veteran dan Assabiqun adalah untuk menjelaskan kepada semua ahli tentang penyatuan ini dan bekerja dengan seikhlas hati," ujar beliau.

Mengulas lanjut, beliau optimis penyatuan kedua-dua parti terbesar di Malaysia ini bakal terpahat dalam sejarah negara dan pastinya akan membentuk kerajaan yang kuat selepas PRU15 nanti.

Manakala Ustaz Tarmizi yang juga Adun Panching merangkap Yang Dipertua PAS Kawasan Paya Besar berkata, seelah 'pergaduhan' lebih 60 tahun ikatan hari ini adalah iktibar daripada sejarah kaum Aus dan Khazraj.

"Saya pasti tangan-tangan Yahudi sangat mencemburui, walaubagaimanapun kita wajib taat serta patuh dengan keputusan ini demi ummah dan negara kita," jelas beliau.

Namun serunya, ahli-ahli PAS dan Umno hendaklah sentiasa berlapang dada terhadap perkara lalu dan kini memperbanyakkan aktiviti bersama demi ummah.

Kerajaan PH hari ini pula bidasnya semakin menyusahkan rakyat dengan janji-janji yang tidak dipernah ditepati. - HARAKAHDAILY 4/10/2019