22
Tue, Oct
27 Artikel Baru

Belanjawan 2020: Tujuh cabaran

Nasional
Typography

“SESUNGGUHNYA Tuhanmu yang meluaskan rezeki bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya, dan Dia juga yang menyempitkannya; Sesungguhnya Dia Maha Mendalam pengetahuan-Nya, lagi Maha Melihat akan hamba-hambaNya.” (Maksud Surah Al-Isra’: 30)

Belanjawan terpenting

Belanjawan 2020 yang bakal dibentangkan pada 11 Oktober 2019 akan menjadi titik permulaan kepada Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) yang telah dilancarkan oleh Perdana Menteri pada 5 Oktober 2019 yang lalu.

Belanjawan yang bertemakan ‘Kemakmuran Bersama’ ini juga adalah peluang terbaik untuk kerajaan mengemukakan sebuah belanjawan yang bukan lagi ‘populis’ tetapi perlu bersifat ‘realistik’ bagi mempersiapkan negara mendepani cabaran mendatang, antaranya:

1. Ekonomi global dijangka berkembang pada kadar sederhana pada tahun 2019 dan 2020, berpunca daripada memuncaknya pertikaian perdagangan di antara US dan China, ketidakpastian yang berterusan dalam rundingan Brexit, volatiliti pasaran kewangan global, dan perubahan harga komoditi dunia seperti minyak mentah.

2. Sumber pendapatan kerajaan yang terhad. Pelaksanaan semula rejim cukai SST telah menyebabkan kerajaan kehilangan sejumlah besar pendapatan, dan terpaksa ditampung dengan dividen khas Petronas berjumlah RM30 bilion pada tahun 2019.

Kutipan SST sehingga Jun 2019 mencecah RM13.1 bilion, dan dijangkakan akan mencapai sasaran kutipan RM22 bilion setahun. Beberapa ahli ekonomi telah mencadangkan kerajaan melaksanakan semula GST ataupun mengkaji pelaksanaan sistem cukai yang lebih ‘bijaksana’.

3. Hutang kerajaan yang terus meningkat. Kementerian Kewangan dalam suatu jawapan di Parlimen menyebut sejumlah RM81.3 bilion bon kerajaan telah diterbitkan dalam tempoh enam bulan pertama 2019, melibatkan RM31 bilion sekuriti kerajaan (MGS), RM36 bilion terbitan pelaburan kerajaan (MGII), RM6.5 bilion bill perbendaharaan dan RM7.8 bilion pinjaman luar termasuklah Bon Samurai daripada Jepun.

4. Jurang ekonomi (inequality) di kalangan rakyat semakin melebar sama ada dari kumpulan pendapatan, etnik, wilayah mahupun dalam rantaian bekalan.

Jurang di antara kumpulan berpendapatan 20 peratus teratas dengan kumpulan 40 peratus terbawah semakin melebar dari perbezaan RM2,000 pada 1990 menjangkau lebih RM10,000 secara tahunan pada 2016. Malah jurang ekonomi antara bandar dan luar bandar dan jurang antara Semenanjung serta Sabah dan Sarawak juga menunjukkan pelebaran yang semakin ketara.

5. Rakyat masih berdepan dengan tekanan kos sara hidup yang tinggi, peluang pekerjaan yang terhad dan hutang isi rumah yang tinggi.

Kajian Institut Penyelidikan Khazanah (KRI) mendapati kumpulan isi rumah berpendapatan 20 peratus terendah (B20) adalah mereka yang hanya mampu memenuhi barangan keperluan asas (iaitu makanan, rumah dan pakaian), dan lebih memerlukan bantuan kebajikan secara langsung seperti bantuan tunai dan subsidi.

Manakala kumpulan isi rumah 50 peratus pertengahan (M50) pula masih berdepan kekangan untuk berbelanja, terutama jika menghadapi situasi kecemasan yang tidak dijangka dan terdedah kepada risiko hutang yang membebankan.

6. Penggunaan teknologi di Malaysia masih terperangkap di dalam kitaran ekonomi nilai rendah, berbanding persaingan ekonomi digital, hab kewangan dan revolusi industri 4.0. Nilai tambah kepada pembuatan dan perkhidmatan juga tidak berkembang, terbukti apabila lebih 60 peratus penciptaan pekerja yang dihasilkan pada dekad lalu adalah pekerjaan berkemahiran asas dan rendah dengan purata gaji kurang sekitar RM2,000 sebulan.

7. Kestabilan politik negara yang terjejas dengan ‘pergolakan dalaman’ di antara parti komponen Pakatan Harapan, bayangan peralihan kuasa jawatan Perdana Menteri menjelang Mei 2020, di samping permuafakatan politik di antara parti pembangkang khususnya PAS dan Umno.

Melihat kepada cabaran yang menanti menjelang 2020, fokus perlu diberikan untuk meningkatkan penyampaian dan keberhasilan ekonomi, sebagaimana yang dihasratkan dalam Wawasan Kemakmuran Bersama 2030, tanpa perlu disibukkan dengan persaingan politik yang berlebihan dan tidak menguntungkan rakyat.

Justeru antara pengumuman yang dinantikan bagi menyelesaikan isu yang melingkari hidup rakyat pada masa kini adalah pemberdayaan ekonomi dan sosial terhadap golongan B40 dan M40, khususnya untuk menangani permasalahan hidup miskin bandar dan luar bandar, pengangguran belia dan siswazah, keluhan petani dan nelayan, di samping kesungguhan kerajaan untuk memenuhi segala janji manifesto Pakatan Harapan yang masih belum tertunai.

Sewajarnya rakyat tidak melepaskan peluang setahun sekali ini untuk menilai komitmen dan perancangan kerajaan dalam mengurus kewangan negara, demi kebaikan rakyat dan negara secara keseluruhannya.

#belanjawan2020
#kemakmuranbersama

SYAHIR SULAIMAN
10 Oktober 2019 – HARAKAHDAILY 10/10/2019