19
Thu, Sep
52 Artikel Baru

Harap-PGU 3.6: Selamat Datang ke Kuala Berang

Nasional
Typography

ALHAMDULILLAH, setinggi-tinggi kesyukuran dipanjatkan kepada Allah SWT kerana masih lagi menghelakan nafas-nafas kita untuk sama-sama berdiri teguh bersama perjuangan Islam. Menghampiri separuh penggal pertama tahun ini, Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu sekali lagi akan menganjurkan Himpunan Harapan Semua, PAS Ganti Umno siri ke-3.6 (HARAP PGU 3.6). Himpunan siri ini akan membuka tirainya pada 18 hingga 20 Mei 2017 di bumi bertuah Kuala Berang, Hulu Terengganu.

Bertemakan ‘Terengganu Maju, Berkat dan Sejahtera’, himpunan kali ini dijangka lebih istimewa berbanding siri-siri sebelumnya. Tawaran khas untuk rakyat Terengganu sempena PRU14 bakal diumumkan. Bersama kita nantikan visi dan misi PAS untuk rakyat sebagai ‘ government in waiting’ khusus untuk rakyat Terengganu Darul Iman.

Memilih Kuala Berang sebagai tuan rumah merupakan satu ‘catalyst’ kepada masyarakat tempatan khususnya penyokong-penyokong dan ahli-ahli PAS untuk bersama-sama berganding bahu dalam memenangkan PAS di Dun Kuala Berang dalam pilihan raya yang akan datang. Terlalu banyak isu yang timbul khususnya di daerah ini sejak kebelakangan ini. Bermula di Tasik Kenyir sehinggalah ke bandar Kuala Berang. Kesemuanya penuh keraguan dan helah dari pemimpin-pemimpin parti politik BN hari ini. Isu-isu ini memerlukan kepada penilaian yang serius daripada masyarakat setempat terutama pemuda-pemuda generasi baru. Kini, HARAP 3.6 merupakan satu paluan semboyan, memanggil seluruh anak-anak muda agar berani membuat perubahan pada PRU yang akan datang.

Mewakili saf kepimpinan Dewan Pemuda PAS Kawasan Hulu Terengganu, saya amat berbesar hati untuk mengalu-alukan kedatangan tuan puan, para tetamu, dan seluruh rakyat Terengganu, terutamanya anak-anak muda seluruhnya untuk sama-sama ke perhimpunan ini. Banyak program-program menarik yang akan dianjurkan untuk semua peringkat umur. Ayuh bersama kita hangatkan himpunan ini dengan ruh cintakan perjuangan Islam sehingga Islam benar-benar dapat didaulatkan kembali di Terengganu atau secara umumnya di Malaysia.

Semoga keutuhan perjuangan Islam ini abadi terpateri dalam diri kita sebagaimana abadinya tamra Islam di permukaan batu bersurat Kuala Berang. Moga sinarnya kembali semula pada abad ini. Apalagi di bumi bertuah ini. Insya Allah.

SEJAHTERA BERSAMA ISLAM

Akhukum fil Islam,
Mohd Harun Esa
Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Hulu Terengganu