19
Mon, Aug
15 Artikel Baru

Tuduhan UG jadi senjata untuk menyerang

Nasional
Typography

SETAKAT bergiat dalam politik, saya belum pernah lagi kena tahan, kena gari atau kena reman. Makan asap dan mandi dengan air kimia itu biasa.

Seboleh-bolehnya kita cuba untuk bergerak berdasarkan peraturan dan undang-undang yang berkuatkuasa. Nak buat ceramah atau himpunan, kita hantar surat dan pergi bincang dengan polis. Nak konvoi juga kita maklumkan kepada polis dan mendapat nasihat serta pandangan mereka. Biasa juga polis menawarkan anggotanya untuk mengiringi konvoi bagi memastikan keselamatan.

Setakat yang mampu, kita jadikan Polis sebagai kawan kerana sebenarnya antara kita saling memerlukan. Ada majlis di pihak PAS, kita jemput mereka hadir. Pernah Majlis Program Rumah Terbuka Aidilfitri PAS Jabi dihadiri oleh OCPD Besut bersama pegawai-pegawai kanan IPD Besut. Bila dijemput juga kita cuba untuk hadir. Ketika sambutan hari polis, kita pergi hantar cenderahati tanda ingatan. Malah kita turut duduk bersama polis berbincang dan memberikan pandangan berkaitan dengan masalah jenayah dan sosial setempat.

Ada ketikanya bila program kita tak dibenarkan, pandai-pandailah kita 'ambil line'. Program Pra-Himpunan Bersih 2.0 yang kita adakan di Masjid Jabi tak dibenarkan oleh polis walaupun tak ada sebarang surat hitam putih dari mereka. Tapi kita tetap dengan keputusan untuk nak teruskan juga kerana mengikut pertimbangan kita, ia hanya satu himpunan skala kecil selepas solat Jumaat untuk mengajak orang ramai hadir ke Bersih 2.0 di Kuala Lumpur yang dijadualkan diadakan kira-kira seminggu selepas itu. Malah kita sangat yakin tak akan ada sebarang ketegangan atau kekecohan.

Pagi Jumaat tersebut, kita terkejut juga dengan kehadiran beberapa buah trak dan land rover merah FRU berhampiran Pondok Polis Jabi. Bagi saya kehadiran FRU dari Kuala Terengganu ini melebihi keperluan atau mungkin mereka mendapat maklumat yang kurang tepat. Saya kenal beberapa orang anggota polis hadir solat Jumaat bersama kita di masjid, dengar saya berkhutbah dan turut mengaminkan doa. Selepas solat Jumaat, kita berhimpun sekitar 15 minit di depan masjid dan kemudiannya bersurai. Itu sahaja.

Bersurai dari himpunan, kami pergi minum di sebuah warung berhampiran masjid. Anggota Polis yang bertugas di Pondok Polis Jabi datang minum bersama dan berbual mesra macam biasa sambil berbisik minta maaf kepada saya atas kehadiran anggota FRU tadi. Tak ada apa-apa. Kita faham bahawa Polis menerima arahan untuk menjalankan tugas.

Himpunan Bersih 2.0 di Kuala Lumpur memang kita tahu tak ada permit Polis. Kita tetap patuh kepada arahan pimpinan untuk hadir malah  sebuah bas disewa untuk peserta dari Jabi ke Kuala Lumpur. Bila dah tahu perhimpunan ini tak ada permit, persedian yang sepatutnya perlu untuk berhadapan sebarang kemungkinan yang tak dijangka. Janganlah datang dengan kain pelikat berselipar Jepun.

Kesudahannya semasa Bersih 2.0, memang kita kenyang makan asap dan dimandikan dengan air pedih dan gatal dari water canon FRU! Semasa drama kejar mengejar, saya dikejar oleh seorang anggota Polis berpakaian preman dengan gari plastik di tangan. Kita memang dah siap ready dengan kasut sukan. Tambahan pula Pak Lebai ini memang  seorang atlit di sekolah dulu dan sehingga sekarang masih sentiasa berjoging sekitar 4 km sehari kecuali kalau ada program lain. Polis tersebut kejar dan terkam saya sehingga dia jatuh tertiarap, tapi ternyata stamina larian dia perlu dipertingkatkan sedikit lagi. Mungkin dia ambil mudah sebab menyangka Pak Lebai ini mampu dicekup dengan mudah. Hahaha...

Kembara Oren Selamatkan Felda pada tahun 2012 disekat oleh Umno Jabi dari memasuki Felda Selasih. Kita runding yang terbaik dengan pihak Polis demi kepentingan semua pihak walau ada kawan-kawan yang nak rempuh saja sekatan tersebut. Syukur kepada Allah kerana perhimpunan selesai aman dengan bacaan doa yang turut diaminkan oleh anggota Polis. Dari asalnya kita disekat untuk memasuki Felda Selasih, sekarang PAS Jabi telah berjaya membuka Cawangan PAS di Felda Selasih yang kini berusia 2 tahun. Kalau sekatan tersebut kita rempuh dulu lalu berlakunya perkara yang tak diingini seperti pergaduhan dan kecederaan, mungkin sampai sekarang kita akan terus bermusuhan dengan orang Felda.

Ketika Dun Jabi menjadi tuan rumah Himpunan Mega PGU 5.0 pada tahun 2012 yang dijadualkan dirasmikan oleh Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat, saya hadir mewakili panitia program berunding dan berbincang dengan Polis Besut bagi menyelaraskan beberapa perkara berkaitan lalu-lintas dan ketenteraman serta keselamatan. Kebetulan satu dari acara perasmian program ialah konvoi mengiringi Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz ke tapak program di Dataran PGU Jabi. Polis Besut menawarkan diri untuk menyediakan kereta peronda bagi mengiringi Tok Guru dari sempadan Kelantan-Terengganu di Bukit Yong sehingga ke tapak program. Tapi Timbalan OCPD Besut kata, Tok Guru biasanya menolak untuk diiringi.

BPMS memang melonjakkan perjuangan PAS ke satu tahap baru yang dicemburui pesaing kita. Sebolehnya musuh politik PAS akan terus berusaha untuk membina tembok pemisah antara PAS dan masyarakat yang menjadi mad'u kita sehingga PAS berterusan dimusuhi dan dimomokkan dengan pelbagai tohmahan palsu.

Robohnya tembok pemisah ini membuatkan mereka tak mampu tidur lena. Lantas tuduhan UG menjadi senjata untuk menyerang. Kita hadir ke majlis kerajaan dituduh UG. Kita berunding dengan Polis dituduh UG. Kita bekerjasama dengan SPR ditohmah UG. UG! UG! dan UG!

Bagi mereka, wira sebenar adalah mereka yang ditangkap dan digari Polis! Kalau tak kena gari pun, berlakonlah macam kena gari. Lalu isytiharkan kepada dunia bahawa akulah wira rakyat sejati!

Dr Azman Ibrahim
12 Jun 2017 - HARAKAHDAILY 12/6/2017