19
Mon, Aug
15 Artikel Baru

Tahniah, selamat kembali Misbun Sidek

Nasional
Typography

DACS DPP Malaysia mengucapkan tahniah dan selamat kembali Datuk Misbun Sidek ke Persatuan Badminton Malaysia atau lebih dikenali dengan nama (BAM). DACS DPP Malaysia mendoakan agar kehadiran semula Datuk Misbun untuk mengetuai kejurulatihan badminton perseorangan lelaki akan dapat melahirkan lebih ramai pemain berpotensi dan juara di peringkat antarabangsa seperti Datuk Lee Chong Wei.

Sejak Datuk Misbun dilantik sebagai jurulatih skuad lelaki perseorangan kebangsaan dari 2003 hingga 2010, beliau telah banyak mencungkil bakat pemain negara seperti Datuk Lee Chong Wei, Roslin Hashim dan Hafiz Hashim. Sehinggakan beliau melahirkan pemain pertama memenangi semua kejuaraan Siri Super, dua pingat perak di sukan Olimpik dan tiga kejuaraan All England.

DACS DPP Malaysia mengharapkan Datuk Misbun dapat menggalas amanah ini dengan baik dan diberi sokongan penuh oleh BAM untuk memastikan beliau dapat melatih dan melahirkan lebih ramai juara bertaraf antarabangsa. Harapan yang diberikan oleh rakyat Malaysia cukup tinggi untuk melihat mutu pemain badminton kebangsaan ditingkatkan dan kejuaraan di peringkat antarabangsa dapat digandakan. Semoga Datuk Misbun tidak diganggu urusan kejurulatihannya dengan campur tangan yang tidak bermanfaat untuk kualiti badminton negara.

Rasulullah SAW pernah menyatakan bahawa Allah SWT menyayangi hamba-Nya yang sentiasa melakukan kerja dengan cara yang terbaik dan bersungguh-sungguh. Sabda Baginda SAW yang maksudnya: “Sesungguhnya Allah suka seseorang daripada kamu jika dia melakukan sesuatu kerja, dia melakukannya dengan bersungguh-sungguh.” (Hadis riwayat Muslim)

Semoga Datuk Misbun terus cemerlang melatih juara masa depan negara dan kami daripada DACS DPP Malaysia akan terus memberikan sokongan penuh untuk melihat masa depan badminton negara yang lebih cerah pada masa akan datang.

Majulah sukan untuk negara.

Muhammad Fadzli Abu Bakar
Pengarah Department of Arts, Culture and Sports (DACS)
Dewan Pemuda PAS Selangor
Dewan Pemuda PAS Malaysia.