19
Mon, Aug
16 Artikel Baru

Pembohongan LGE cuba 'lindungi' kegiatan judi?

Nasional
Typography

JAWAPAN sambil lewa Ketua Menteri, Lim Guan Eng berhubung isu kegiatan perjudian di Pulau Pinang ini menunjukkan beliau cuba 'cuci tangan' seolah-olah tidak berkait langsung dengan kuasa kerajaan negeri.

Sikap jengkel itu sebenarnya cuba menyembunyikan perolehan mewah yang diraih dari bertambahnya kegiatan tersebut. Ini sebagaimana banyaknya kegiatan itu berselindung di premis perniagaan di negeri ini.

Apakah sinikal Guan Eng kepada PAS sebenarnya untuk menutup kesungguhan beliau 'memayungi' aktiviti yang menyumbang kepada hasil negeri di bawah tadbirnya? Beliau seakan melindungi kegusaran dari isu yang dibangkitkan itu.

Kegiatan perjudian di Pulau Pinang sebenarnya menunjukkan ikatan atau persekongkolan DAP dan BN. Kerajaan DAP Pulau Pinang menyediakan premis untuk 'menyempurnakan' lesen judi yang diberi Kerajaan Persekutuan hingga kegiatan dapat dijalankan.

Hakikatnya tidak perlu menuding jari kepada pihak polis untuk melakukan penguatkuasaan. Kerana fakta yang berlaku, tangkapan dan rampasan dibuat oleh pihak polis menunjukkan peningkatan semasa ia di bawah pentadbiran Guan Eng.

Statistik peningkatan tersebut bukan sahaja kerana keberkesanan penguatkuasaan dilakukan polis, tetapi sememangnya telah bercambah kegiatan judi di negeri ini. Walhal kerajaan negeri boleh mencegah dengan tidak membenarkan premis digunakan untuk kegiatan tersebut.

Guan Eng tidak perlu angkuh menyelar pihak lain untuk belajar mengenai pemerintahan dan pentadbiran kerajaan. Apakah penyelewengan dan skandal yang sedang meliputi pentadbirannya satu perkara untuk dibanggakan beliau?

Guan Eng juga perlu sedar diri dan beliau tidak mungkin dapat menutup kenyataan bahawa kerajaan negeri pernah berjanji untuk menangani kegiatan judi dalam mengekang masalah sosial yang semakin berleluasa di Pulau Pinang.

Mengapakah pengakuan yang pernah dilafaz dulu kini sudah dilupakan? Apakah ertinya ini kalau bukan ia satu pembohongan, atau Guan Eng telah nyanyuk? Insya-Allah kami akan kemukakan dokumen pendedahan berkaitan sikit masa lagi.

ISZUREE IBRAHIM
Setiausaha
Badan Perhubungan PAS Negeri Pulau Pinang
14 Jun 2017 | 19 Ramadan 1438 - HARAKAHDAILY 14/6/2017