17
Wed, Jul
40 Artikel Baru

Segerakan undang-undang anti-evangelicalism di Malaysia

Nasional
Typography

UNDANG-undang Anti-Evangelicalism perlu diwujudkan ke arah meneguhkan lagi martabat kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan, selari dengan peruntukan di bawah Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan. Malah, cadangan diutarakan Pengarah Eksekutif Pusat Penyelidikan dan Advokasi Hak Asasi Manusia (Centhra), Azril Mohd Amin itu perlu diberikan penilaian yang serius secara menyeluruh dan pelaksanaan sesegera mungkin, memandangkan isu murtad di kalangan rakyat Malaysia beragama Islam sudah dibangkitkan sejak 2008 lagi

Ini mengambil kira keadaan semasa dari laporan akhbar dan portal atas talian bahawa gerakan evangelical semakin giat di Malaysia, serta dipelopori paderi-paderi Kristian berbangsa Melayu sendiri di mana mereka aktif di negeri Kedah dan juga Johor. Hingga terdapat laporan menyatakan bahawa, mengikut rekod Mahkamah Syariah, seramai 863 kes telah dirujuk kepadanya antara tahun 2000 hingga 2010 bagi tujuan menukar status agama Islam, selain anggaran sesetengah pihak bahawa hampir suku juta umat Islam telah dimurtadkan.

Keadaan ini sangat menggemparkan walau pun Perkara 11(4) jelas menyatakan bahawa agama lain tidak boleh didakyahkan kepada seorang Muslim. Selain, di negeri-negeri juga telah diadakan enakmen untuk mengawal hal ini seperti di Selangor yang wujud Enakmen Agama Bukan Islam (Kawalan Pengembangan Di Kalangan Orang Islam) 1988. Meskipun Enakmen ini sudah wujud sekian lama, namun ia didapati tidak mencukupi kerana telah gagal menjaga akidah umat Islam dan menyekat gerakan evangelisme yang kian menular di kalangan bangsa Melayu.

Gerakan-gerakan ini tetap menjalankan aktiviti mereka tanpa menghiraukan peruntukan Enakmen ini dan malah, telah mencabar peruntukan Enakmen ini mengenai larangan menggunakan kalimah Allah sepertimana kenyataan-kenyataan dikeluarkan mereka dalam media massa. Seperti yang dilaporkan oleh portal media tertentu, meskipun kononnya mereka takut akan peruntukan undang-undang sedia ada, tetapi masih berani mengharunginya untuk mengembangkan dakyah mereka demi kesetiaan mereka pada ajaran agama mereka.

Kami percaya, bahawa dalam hal ini bukan sahaja Perkara 11(4) malah Perkara 11(5) Perlembagaan juga terpakai kerana ia membenarkan pengecualian terhadap kebebasan agama dalam sebarang perihal menjaga ketenteraman awam. Kami percaya bahawa cadangan Centhra ini adalah terpakai di bawah pengecualian seperti yang diperuntukkan dalam Perkara 11(5) ini. Justeru, suatu undang-undang Persekutuan adalah diperlukan bagi menterjemahkan maksud sebenar Perlembagaan Persekutuan berhubung pencabulan dakyah ke atas akidah orang Islam.

WAN ROHIMI WAN DAUD
Pengarah
Jabatan Undang-Undang & Hak Asasi Manusia (JUHAM)
Dewan Pemuda PAS Malaysia
20 Jun 2017 | 25 Ramadan 1438 – HARAKAHDAILY 20/6/2017