19
Thu, Sep
33 Artikel Baru

STL hanya bentuk jaguh kampung?

Nasional
Typography

KALAH dengan Thailand suatu perkara biasa kepada pasukan sepak takraw negara, namun pernah pada dua tahun lalu regu yang dibarisi Shahir Rosdi, Khairul Zaman Hamid Akhbar, Farhan Adam (Mohd Hanifah Dolah -simpanan) menjadi juara Istaf Super Series 2014 di Melaka menewaskan regu Thailand.

Kemenangan itu nyata menyuntik dan mengembalikan semangat para peminat sepak takraw untuk terus menyokong sukan tradisi ini.

Ia menjadi kemenangan bersejarah kerana mereka menundukkan pasukan yang dibarisi suatu masa lalu, nama Adnan Saidin, Norani Adnan, Rehan Mat Din, Ku Halim Ku Musa, Nordin Sabarudin kemudian Zabidi Shariff, Iskandar Arshad menggegar negara dan dunia. Mereka adalah lagenda sepak takraw yang sangat dikenali.

Siapa tak kenal kehebatan Adnan melibas, gulungan Zabidi Sharif, pukulan viper dan stroke Rehan Mat Din dan umpanan bola kedua Ku Halim yang cantik memudahkan Rehan Mat Din melibas deras.

Thailand atau siapa sahaja yang bertemu Malaysia pasti akan ada kegerunan, apatah lagi sistem kiraan mata ketika itu tidak kepada tiap servis atau bola mati adalah mata bagi pasukan.

Pernah permainan berlarutan berjam-jam lamanya hanya menantikan set penentuan, dan balasan servis berulang kali di mata yang sama.

Hari ini kita menyaksikan format mata yang berbeza yang menjadikan permainan tidak lagi panjang tempoh seperti dulu.

Apapun ada kesan positif dan negatif berdepan dengan sistem mata yang dibina sejak beberapa tahun lalu itu.

Persembahan pasukan negara bagaimanapun pada peringkat awal penentuan mata mengikut format baharu sedikit terjejas kerana ketika itu, Thailand mula menguasai kedah sepakan servis kuda di samping tidak dinafikan negara jiran itu memiliki perejam yang sangat berkaliber dan berbakat.

Kini nama Shahir Rosdi menjulang naik, apatah lagi servis kudanya menjadi kegerunan kepada lawan, tidak kira siapa sahaja sama ada di peringkat nasional mahupun internasional.

Tekong utama pasukan Penang Black Panthers ini menjadi antara sebutan tekong terbaik rantau ini apatah lagi banyak melayangkan servis 'ace' ke posisi lima dan tujuh yang sukar diambil lawan.

Aksinya semasa liga Sepak Takraw League (STL) bersama Azlan Ismail menarik perhatian ramai, malah menjadi kegerunan lawan.

Nama beliau dan Khairol Zaman naik tatkala STL memulakan aksinya dua tahun lalu sebagai medan mencungkil bakat pemain takraw negara.

Malah tidak dinafikan aksi mereka di STL menggamit kenangan peminat kepada lagenda seperti Adnan Zaidin, Rehan Mat Din dan Zabidi Shariff.

Bakat mereka teserlah, malah menjadi pemangkin kepada minat anak muda hari ini bermula di bangku sekolah untuk menyertai sukan tradisional ini.

Namun pada Sukan SEA di ibu negara dua minggu lepas, 'servis' Shahir seakan tidak menjadi, ditambah libasan kurang kemas Khairol Zaman menyebabkan Malaysia hanya berada di tempat kedua tewas perlawanan akhir dengan Thailand.

Meskipun merangkul emas dalam Round Robin, namun rata-rata peminat sukan ini agak terkejut dengan prestasi hambar yang ditonjolkan pasukan negara apatah lagi bermain di laman sendiri.

Entah apa yang dihadapi mereka, semestinya pengurus pasukan dapat membuat rumusan dan segala kelemahan bakal menjadi pertimbangan untuk pasukan ini berdepan dengan banyak lagi kejohanan dunia pada tahun ini dan tahun hadapan, sementara menanti Sukan SEA di Manila 2019.

Pada 29 September ini aksi STL akan berjalan semula, maka satu lagi babak menarik akan disaksikan peminat sukan ini.

Namun apakah akan ada lagi jaguh dilahirkan dari program ini, atau akhirnya nanti mereka sekadar menjadi jaguh kampung yang gagal beraksi di pentas antarabangsa.

Apapun harapan rakyat Malaysia pastinya mahu mereka menyerlah, dan sukan ini menjadi penyeri kepada kilauan emas yang akan dikumpul negara di Manila tahun 2019. - HARAKAHDAILY 9/9/2017