20
Thu, Jun
39 Artikel Baru

Tiga waktu dilarang mandi?

Nasional
Typography

DISEBARKAN satu tulisan melarang mandi pada tiga waktu tertentu. Kononnya mandi selepas Asar, selepas Maghrib dan selepas Isyak akan menyebabkan penyakit tertentu. Mungkin ianya pengalaman yang berlaku kepada sesetengah orang, tetapi secara umumnya larangan tersebut tidak tepat dari sudut kesihatan.

drsuhazeli1Berikut adalah ulasan saya berkaitan dengan larangan mandi ini.

30 minit setelah solat Asar

Darah badan kita senantiasa panas dengan julat suhu 36.5 hingga 37.5 celcius, sesuai dengan spesies manusia sejenis mamalia yang berdarah panas. Jika kita mandi sekalipun, darah kita tidak akan berubah samaada sejuk atau terlalu panas. Keseimbangan akan tetap terjamin. Mandi tidak pada ketika ini dibolehkan dan tiada kesan kesihatan. Penat dan lelah secara lumrahnya boleh berlaku setelah kita bekerja sepanjang hari, tiada kaitan pun dengan mandi.

Setelah Maghrib

Jantung manusia bekerja sepanjang waktu, tidak mengenal penat dan lelah. Bagi orang yang normal degupannya berdetak antara 60-110 kali seminit. Tiada istilah jantung lemah kecuali orang yang diserang penyakit jantung lemah. Tiada kajian pun mengaitkan mandi selepas Maghrib atau mandi malam menyebabkan paru-paru berair. Mitos mandi malam penyebab paru-paru berair ini selalu disebarkan dalam masyarakat kita. Zaman dahulu, orang tua-tua melarang mandi malam kerana kesusahan untuk ke perigi yang berada di luar rumah. Elektrik pun tiada dan gelap malam yang menyusahkan untuk bergerak. Sekarang zaman sudah berubah.

Selepas Isyak

Jika jantung kita terhenti, pengsanlah kita atau tanda kematian. Tidak sesekali jantung kita akan istirehat atau berhenti melakukan tugasnya mengepam darah ke seluruh tubuh. Mandi selepas Isyak tidak mendatangkan mudarat kepada badan ataupun jantung berair. Malah mandi di awal pagi bukannya teknik untuk cas semula jantung. Allah jadikan jantung kita sesuatu yang unik, tidak perlu dicas atau diletakkan bateri kecuali penyakit tertentu seperti rithma jantung tidak menentu (cardiac arrytmia) yang memerlukan pacemaker.

Semoga dengan penjelasan ini boleh menghilangkan kerunsingan anda untuk terus membersihkan badan, seterusnya melakukan ibadah dengan sempurna.

Suhazeli Abdullah
Fb.com/drsuhazeli
KLIA   
9.9.2017 - HARAKAHDAILY 9/9/2017