PRU 14: PAS Selangor isytihar tarikh siap siaga

Nasional
Typography

PAS Negeri Selangor telah menetapkan tarikh 16 September 2017 bersamaan 25 Zulhijah 1439 sebagai tarikh di mana seluruh jentera pilihanraya PAS negeri meliputi 22 kawasan Parlimen dan 56 kawasan Dewan Negeri berada pada tahap persediaan tertinggi bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 bila-bila masa.

Pada hari ini PAS di negeri Selangor di pelbagai peringkat sudah bersedia dengan jentera yang terlatih dan tenaga yang mencukupi bagi menghadapi cabaran baru Pilihan Raya Umum Ke-14 di bawah panji-panji Gagasan Sejahtera dan bertekad untuk membawa kemenangan bermakna sebagaimana diingini rakyat khasnya di negeri ini.

Untuk itu pada hari bersejarah ini selaku Pesuruhjaya PAS Negeri Selangor saya mengisytiharkan bahawa slogan bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 ini buat PAS di Negeri Selangor adalah "Menerajui Kesejahteraan Selangor".

Dan saya tegaskan sekali lagi bahawa PAS bersedia bertanding di sekurang-kurangnya 42 kerusi Dewan Negeri dan seberapa banyak kerusi Parlimen yang mungkin di Selangor bagi merealisasikan cita-cita perjuangan "Menerajui Kesejahteraan Selangor" itu.

PAS beriltizam untuk meneruskan kemakmuran dan kesejahteraan negeri yang telah dicapai bersama melalui kerajaan Pakatan Rakyat Selangor bagi dua penggal berturut-turut bermula 2008 dan 2013 dan akan berusaha serta mengambil inisiatif dan pelbagai langkah serta pendekatan Islam untuk mempertingkatkan lagi pencapaian yang ada.

Semoga Selangor Darul Ehsan kekal dikurniakan kesejahteraan dengan izin Allah SWT dengan diterajui oleh PAS selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 nanti.

USTAZ SALLEHEN MUKHYI
Pesuruhjaya PAS Negeri Selangor
16 September 2017/25 Zulhijah 1439.– HARAKAHDAILY 16/9/2017