19
Fri, Jul
21 Artikel Baru

Ratusan ribu meriahkan Fastaqim 2.0: Adakah rakyat kisah?

Nasional
Typography

"BASO natey tak reti baso....bare koho mahal,takdok hok koho muroh..harga minyak ,gas,ikey kering,bawey lado naik belako,,air hujan jah turun!, mapuhlah rakyat kalu puok-puok barisan ni merintah lagi trik nih" seorang lelaki separuh umur sedang memuntahkan amarahnya sambil mengunyah nasi kerabu. Kepulan asap kopi menjulang ke udara dengan aroma yang menjentik selera pagi. Guratan wajah penyokong kerajaan itu tidak bersahabat. Yang lain memasang telinga dengan cermat sambil menikmati sarapan pagi . Sepi, tidak berkutik.

Kedai papan daerah Besut itu sedikit lebih baik daripada kedai minum di Preap Ream Cambodia, beratap zink tanpa siling. Tamparan hujan itu mengasyikkan aku yang telah puluhan tahun bermukim di kotaraya, menjentik telinga seperti dentingan halpa. Hujan bermakna batang pokok getah berehat dan tulang belulang mereka turut menerima cuti rehat yang sangat perih. Golongan rakyat jembel ini sangat menderita dengan situasi ekonomi negara yang semakin menjerut leher, walaupun kaca televisyen jam 8.00 malam dengan wajah Pak Menteri separa dungu mendendangkan kepesatan lonjakan ekonomi negara.

"Aku trik nih ,tak ngundi BN doh, kecek pelawok. Anak-anak sekolah lima orey nih, rasa koho perit. Nok tukar seluar dalam pon payah loni, kalu pakat Unibasiti tak tahu lah nak buat guano kawe ni" tukas bekas pemuda Umno cawangan . Wajahnya berkerut sambil menyeranah parti yang didukungnya lebih dua dekad. Sambil menikmati pagi dia terus bercakap seolah berada di podium ceramah. Beberapa nama binatang berkaki empat turut diselitkan bersama seranahnya yang tajam pagi itu. Aku tak berani mencelah kerana bagiku rakyat jembel secara umumnya begitu terbeban dengan kos hidup. Aku teringat , jika dahulunya merekalah yang begitu berkarat biru. Jangan disentuh kebejatan kerajaan BN, pastilah mereka benteng utama pembela kebejatan rejim.

"Trik ning, kita pakat sokong PAS pulok. Lama dah BN merintah, bukey koho comel...negeri kito nih, pil kuda, maksiat pon koho galak...kalu tak ikut Isley ..mace ni lah balo Tuhey" sampuk seorang guru pencen daripada meja hujung. Bekas guru matematik itu di zaman mudanya pernah terlibat dengan PAS. Ditukar ke daerah pedalaman tetap tak berganjak pegangan akidah perjuangannya. Semua anak-anaknya lulusan universiti dalam dan luar negara. Rezeki datang daripada ar-Razak, bukan dihuluran tangan manusia!.

Seorang temanku, pegawai kerajaan membawa khabar dengan yakin,akan berlaku peralihan besar undi dalam PRU. Tsunami ini agak payah dikesan kerana kebanyakan pegawai-pegawai kerajaan bimbang risiko menunjukkan sokongan terbuka kepada parti bulan. Kelompok kelas menengah di Terengganu seperti juga ditempat lain, mereka akses maklumat daripada langit terbuka yang meruntuhkan jutaan kubik informasi. Diam bukan dengan erti tak melawan kebobrokan. Seorang teman alma materku, guru di sekolah menengah telah menutup akaun FB beliau. "Ada hantu yang memantau, ambe memilih berada dalam saff kedua..membantu YB kita melaksanakan program," katanya perlahan sambil kami menghirup hidangan teh petang.

Melihat kebangkitan kesedaran rakyat jembel ,juga pelbagai strata sosial masyarakat yang ingin merubah tampuk pemerintahan di negeri penyu menangis ini maka jangan diremehkan himpunan petugas PAS yang berkampung di Pantai Tok Jembal. Kibaran bendera hijau disepanjang jalan negeri ini mengukuhkan kepercayaan pengundi bahawa PAS adalah sebuah gerakan massa bernuansa Islam yang mempunyai jentera dan pendukung.

PAS berjaya menghimpunkan petugasnya dalam program skala besar. Mengerah segenap kudrat, pimpinan dan ahlinya menabung wang ringgit untuk memastikan FASTAQIM 2.0 berjaya mencapai matlamat. Ahli-ahli Umno di Terengganu pernah memberikan undi mereka kepada PAS dalam Pilihan raya tahun 1999, trend yang sama kini akan berulang. Bendera PAS hanya dicabut diatas Jambatan Sultan Mahmud oleh pihak PBT, ahli-ahli Umno tidak melakukan perkara yang sama kepada bendera PAS di sepanjang jalan di Terengganu.

Kepimpinan PAS Terengganu di bawah Dato' Husain Awang berusaha keras turun ke medan operasi masyarakat untuk memecahkan tembok kaca antara kedua belah penyokong. PAS dengan pengamalan budaya BPMS berjaya mengaut sokongan kelas menengah, kelompok non partisan, juga penyokong Umno. Jika hujan lebat, petir sambar menyambar pun pendokong PAS tetap tidak berganjak di tapak FASTAQIM 2.0 maka itulah gambaran segunung iltizam dan keteguhan hati abnaul harakah untuk memastikan Terengganu kembali kepada gerakan Islam tertua tanah air ini dalam PRU14. – HARAKAHDAILY 30/9/2017