20
Mon, May
28 Artikel Baru

JITN: PAS sokong penuh bantahan SPRM

Nasional
Typography

TINDAKAN Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Dzulkifli Ahmad mempersoal pendirian Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Paul Low Seng Kuan yang tetap berhasrat menubuhkan Jabatan Integriti dan Tadbir Urus Negara (JITN) adalah tepat.

tuan ibrBagi PAS, penubuhan JITN tiada keperluan sama sekali sama ada dalam konteks siasatan atau penguatkuasaan bagi mencegah gejala rasuah di dalam negara.

Lagipun penerangan Paul Low mengenai penubuhan JITN ini sangat samar. Apa kaitannya dengan Program Transformati Kerajaan ataupun membantu dalam usaha membasmi rasuah adalah amat tidak jelas sekali.

Isu utama yang dihadapi dalam membanteras rasuah negara ialah ketidaksungguhan pihak kerajaan bagi membasmi politik wang dan pembiayaan politik yang menjadi punca meluasnya gejala politik dalam kalangan pimpinan politik.

Bilamana pimpinan gagal menjadi model kepada masyarakat, maka budaya rasuah ini akan menular ke segenap segmen.

Lagipun, penubuhan JITN, meskipun ia dinaik taraf daripada Bahagian Integriti dan Tadbir Urus di bawah Jabatan Perdana Menteri kepada sebuah jabatan penuh, dalam suasana kerajaan memotong semua bajet kementerian dan jabatan-jabatan kerajaan ternyata bertentangan dengan sikap berjimat cermat dan 'arahan' ikat perut oleh kerajaan sendiri.

Sekiranya kerajaan mempunyai peruntukan yang lebih, PAS mencadangkan ia adalah lebih bermanfaat untuk disalurkan bagi penambahan peruntukan dan kakitangan SPRM sebagai sebuah agensi utama bagi mencegah jenayah rasuah dalam negara.

Apapun, PAS melihat cadangan penubuhan JITN dipersetujui Kabinet pada 28 Julai suatu usaha mengawal SPRM sebagai satu langkah undur ke belakang di dalam usaha membebaskan SPRM sebagai sebuah badan yang benar-benar bebas.

Lupakan JITN, Datuk Paul Low. Adalah lebih baik untuk Datuk Paul Low melakukan sesuatu agar kabinet dapat bersetuju untuk mempercepatkan penggubalan Akta Sumbangan dan Perbelanjaan Politik. Semestinya akta ini jauh lebih membantu daripada JITN dalam membasmi rasuah.

Tuan Ibrahim Tuan Man
Timbalan Presiden PAS
2 Oktober 2017 – HARAKAHDAILY 2/10/2017