Oktoberfest: Kesal memo dipulang semasa sidang media

Nasional
Typography

PARTI Islam SeMalaysia (PAS) Negeri Johor telah berkunjung ke Hotel Mutiara Johor Bahru pada petang tadi bagi tujuan mengadakan perbincangan dan menghantar memorandum kepada pihak pengurusan hotel tersebut kerana PAS Johor telah menerima aduan daripada masyarakat Islam mengenai akan adanya 'Oktoberfest' yang digembar-gemburkan sebagai program pesta arak seperti mana yang ditularkan di dalam media.

Delegasi Badan Perhubungan  PAS Negeri Johor (BPPNJ) diketuai oleh Timbalan Pesuruhjaya, Khairul Faizi Ahmad Kamil, Ustaz Azlisham Azahar (Ketua Dewan Ulamak PAS Johor),  Ustaz Juwahir Amin (Ketua Dewan Pemuda PAS Johor), Ustaz Haji Salehudin Dahiran (Bendahari BPPNJ), Samsuddin Jaafar (Ketua Penerangan BPPNJ) dan beberapa pimpinan yang lain.

PAS Johor yang mengamalkan Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS) mengambil sikap untuk mendapatkan penjelasan daripada pihak hotel tentang perkara tersebut bagi mengelakkan salah faham dan akan memberikan pandangan berkaitan dengan perkara ini.

Walaupun pada peringkat awal, pihak pengurusan hotel telah bersetuju untuk menerima kunjungan kami namun pertemuan tersebut telah dibatalkan dengan alasan Pengurus Besar ada urusan di Kuala Lumpur.

Namun lebih malang lagi, ketika kami berada di hotel tersebut, kami telah dimaklumkan bahawa tidak ada sesiapapun dibenarkan menerima memorandum daripada kami.

Perbincangan telah berjaya dibuat bersama Ketua Keselamatan hotel dan beberapa input telah kami terima berkaitan dengan penganjuran program tersebut. Namun, perbincangan tersebut terhenti apabila beliau juga dihubungi oleh pihak pengurusan hotel untuk menghentikan perbincangan dan seterusnya tidak dibenarkan oleh pihak pengurusan melayan dan menerima memorandum bagi pihak hotel.

Akhirnya, memorandum tersebut telah berjaya juga diserahkan kepada "Manager On Duty" yang bertugas berdekatan dengan lobi hotel dengan baik.

Namun, sekali lagi kami dikejutkan apabila sidang media sedang berlangsung di luar perkarangan hotel, memorandum tersebut telah dikembalikan kepada kami sambil disaksikan oleh para wartawan yang sedang membuat liputan.

Kami sangat kesal dengan apa yang telah berlaku kerana pihak pengurusan hotel telah bersikap kurang professional berhadapan dengan pihak luar seperti kami.

Perbincangan yang harmoni sebenarnya mampu untuk menjernihkan suasana namun tindakan pihak pengurusan hotel menghalang mana-mana pekerja menerima memorandum tersebut adalah satu tindakan yang terkebelakang dalam sebuah negara yang bertamadun.

Walau bagaimanapun, PAS Johor akan terus berusaha untuk menyerahkan memorandum tersebut kepada pihak pengurusan dan perkembangan lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa. – HARAKAHDAILY 11/10/2017