Sukan dan risiko kematian

Nasional
Typography

AKHIR-AKHIR ini banyak kedengaran dalam berita kematian di padang golf. Kebanyakan punca kematian adalah serangan jantung mengejut. Fenomena sebegini bukan sahaja berlaku di negara kita tetapi seluruh dunia.

dr suhazeliMungkin isu kematian ini agak tidak popular untuk dibincangkan. Saya tidak menafikan bahawa sukan golf ini mempunyai manfaat tersendiri dalam menjaga kesihatan mental dan fizikal. Namun saya terbaca satu kajian analisa meta yang menghubungkaitkan kategori sukan dan kematian.[1] Laporan dari Samitz G dan rakan-rakan ini (2011) mengumpulkan sebanyak 80 data kajian yang melibatkan 1,338,143 peserta di mana 118,121 menemui ajal. Risiko kematian dari sukan yang berkategori kurang pergerakan aktif lebih tinggi berbanding dengan kategori sukan yang pergerakan aktif atau lasak. Sukan yang aktif melebihi 150 minit seminggu mencatatkan pengurangan kematian yang ketara. Kesimpulan yang mereka berikan semakin meningkat keaktifan melakukan sukan semakin kurang risiko kematian yang boleh terjadi.

Manakala laporan kajian dari Dr Oja dan rakan-rakan (Institut Kajian Promosi Kesihatan Finland) mendapati sukan yang berkategori lasak seperti sukan berakit, berenang dan senaman aerobik boleh mengurangkan risiko kematian akibat serangan jantung.[2] Perbandingan ini dibuat dengan kategori sukan yang tidak lasak atau yang tidak bersukan langsung. Ianya sama dengan kefahaman kita sebelum ini bahawa gaya hidup aktif dan sihat amat penting bagi menjamin kesihatan fiikal dan mental. Gaya hidup tidak sihat lain seperti tidak bersenam, merokok, minum arak dan tekanan minda (stres) boleh mejadi penyumbang kepada peningkatan risiko kematian.

Mungkin pemerhatian saya kurang tepat, sukan yang kurang lasak atau tidak menggunakan sangat kekuatan fizikal seperti golf ini termasuk dalam kategori yang berisiko tinggi kematian. Tambahan lagi pemain golf tidak memanfaatkan khasiat berjalan kaki, mereka lebih suka bergerak dari satu lubang ke satu lubang lain dengan kereta "buggy". Saya juga kurang pasti sama ada pemain golf menjalankan sesi regangan sebelum bersukan atau tidak. Akan tetapi jika ingin dibandingkan dengan individu yang tidak bersukan langsung, sukan golf adalah lebih baik.

Oleh yang demikian sayugia saya sarankan beberapa panduan untuk mengurangkan risiko ini.

1) Jauhi gaya hidup tidak sihat seperti merokok, minum arak, tidak bersenam dan kehidupan sedentari.

2) Sebelum bersenam, pastikan badan anda disaring dan diperiksa oleh doktor terutamanya bagi individu yang melebihi umur 40. Setidak-tidaknya anda mengetahui status kesihatan semasa anda seperti paras gula, tekanan darah, tahap kolesterol dan seumpamanya.

3) Ambil makanan yang berzat dan baik. Minum air secukupnya terutama sebelum, semasa dan selepas senaman.

4) Adakan sesi pemanasan dan regangan badan sebelum bersukan. Begitu juga sesi penyejukan badan selepas itu.

5) Memakai pakaian sukan yang sesuai dengan kategori sukan yang akan dijalankan.

Suhazeli Abdullah
fb.com/drsuhazeli

Pautan
[1] Samitz G, Egger M, Zwahlen M. Domains of physical activity and all-cause mortality: systematic review and dose-response meta-analysis of cohort studies. Int J Epidemiol. 2011 Oct;40(5):1382-400. doi: 10.1093/ije/dyr112. Epub 2011 Sep 5. Online https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pubmed/22039197
.
[2] Oja P, Titze S, Kokko S, et al. Health benefits of different sport disciplines for adults: systematic review of observational and intervention studies with meta-analysis. Br J Sports Med 2015;49:434-440. Online http://bjsm.bmj.com/content/49/7/434.short and http://edition.cnn.com/…/swimming-aerobics-racqu…/index.html