19
Mon, Aug
17 Artikel Baru

Pertanian gagal di kawasan Menteri Pertanian?

Nasional
Typography
KEMAMAN: Ahli Parlimen Kemaman, Dato' Sri Ahmad Shabery Cheek yang mengetuai Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani perlu serius terhadap isu-isu pertanian dan penternakan di kawasan beliau sendiri untuk tidak dilihat sebagai lemah dan gagal.
 
Demikian gesaan Pengerusi Lajnah Asas Tani dan Alam Sekitar (LATAS) PAS Pusat, Muhammad Sanusi Md Nor ketika membuat lawatan kerja dan meninjau aktiviti pertanian di sini kelmarin.
 
"LATAS berkunjung ke sini untuk meninjau kawasan padang ragut yang pernah diwartakan di zaman PAS memerintah Terengganu sebanyak 100 ekar, kini hanya berbaki lima ekar sahaja yang boleh diusahakan penternak.
 
"Lima ekar itu tidak mencukupi untuk 30 peserta (kerana) setiap seorang perlu diberikan sekurang-kurangnya satu ekar kawasan padang ragut untuk mencukupkan bekalan rumput makanan ternakan mereka," kata beliau.
 
Sanusi juga memberitahu, penternak di sini juga berdepan dengan risiko haiwan ternakan terkorban akibat dilanggar oleh kenderaan kerana bolos melepasi pagar Lebuh Raya Pantai Timur (LPT2).
 
Ujarnya, pagar di LPT2 begitu mudah roboh akibat pemasangan serta pembinaan tidak mengikut spesifikasi di mana kelihatan sana sini tiangnya telah tercabut.
 
"Tidak mungkin penternak sengaja mengambil risiko memotong pagar untuk melepaskan ternakan untuk dilanggar di LPT2.
 
"LATAS menyeru semua pihak, khususnya Lembaga Lebuh Raya Malaysia (LLM) yang menyelia LPT2 untuk mengambil tindakan segera membaiki pagar yang telah roboh," tambah beliau.
 
Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat turut dibawa oleh Yang DiPertua PAS Kawasan Kemaman, Ustaz Alias Hamid melawat projek tanaman jagung berkelompok Jabatan Pertanian Terengganu yang disifatkan beliau 'mahal rantai dari beruk'.
 
"Telaga tiub berharga hampir RM200,000 dibina, namun peserta hanya diberi suku ekar, berapa pokok boleh ditanam?" soal beliau. - HARAKAHDAILY 12/11/2017