20
Thu, Jun
40 Artikel Baru

Keutamaan berpolitik Islam berbanding hanya berzikir

Nasional
Typography

SABDA Rasulullah SAW:

سبعة يظلهم الله في ظله يوم لا ظل إلا ظله ، إمام عادل وشاب نشأ في عبادة الله ، ورجل قلبه معلق بالمساجد ، ورجلان تحابا في الله اجتمعا عليه وتفرقا عليه ، ورجل دعته امرأة ذات منصب وجمال فقال إني أخاف الله . ورجل تصدق بصدقة فأخفاها حتى لا تعلم شماله ما تنفق يمينه ، ورجل ذكر الله خالياً ففاضت عيناه
 
Tujuh golongan manusia yang akan mendapat naungan Allah
pada hari yang tidak ada naungan kecuali naungan-Nya
(1) Pemimpin yang adil,
(2) Pemuda yang menyibukkan dirinya dengan ibadah kepada Allah.
(3) Seorang yang hatinya selalu terikat pada masjid,
(4) Dua orang yang saling mencintai kerana Allah, berkumpul dan berpisah kerana Allah juga,
(5) Lelaki yang diajak zina oleh wanita yang kaya dan cantik tapi ia menolaknya sambil berkata ‘Aku takut kepada Allah’,
(6) Seseorang yang bersedekah dengan menyembuyikannya hingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang diinfaqkan oleh tangan kanannya, serta
(7) Seorang yang berzikir kepada Allah di kala sendiri hingga meleleh air matanya basah kerana menangis.

[HR Bukhari & Muslim]

Tujuh perkara ini sangat payah untuk dilakukan. Sebut sahaja mudah. Sebab itulah mereka layak mendapat naungan di hari akhirat kelak.

Disebut yang pertama sekali mendapat naungan Allah SWT pemimpin yang adil. Ini perkara yang paling payah sekali. Pemimpin ni urusan politiklah. Orang kata politik ini kotor, jahat, hodoh, rasuah dan sebagainya. Tapi berada di tempat pertama dalam senarai.

Hal ini kerana ia sangat sukar untuk dicapai. Nak naik jadi pemimpin payah, nak memerintah pun payah. Bila naik jadi pemerintah, dapat pangkat besar pula. Kedudukannya tinggi, terdedah kepada rasuah, terdedah kepada segala kemudahan dan segala kesenangan. Namun dia tetap teguh menegakkan syariat.

Orang yang berjuang di medan politik untuk menegakkan Islam, setelah diberi kemenangan oleh Allah taala dia menegakkan pula Islam itu dengan adil, maka ini orang pertama dipayung oleh Allah pada hari kiamat nanti.

Di antara mereka adalah Nabi SAW. Ini yang pertama sekali. Kemudian para khulafa ar-Rasyidin, seterusnya para khalifah dan pempin-pemimpin Islam yang adil.

(Selepas itu disebutkan baki enam golongan yang lain seperti di dalam hadis.)

Yang terakhir dalam senarai adalah golongan yang berzikir. Ini disebut nombor tujuh. Adapun nombor satu adalah yang berpolitik. Kita ingatkan yang duduk berzikir inilah nombor satu. Rupanya yang bergaul dengan orang.

Kenapa begitu?

Kerana bergaul dengan orang itu menunaikan tiga kewajipan yang menjadi sebab dijadikan manusia. Pertama beribadat, kedua berkhilafah dan yang ketiga menegakkan syariat Allah. Yang berzikir pula menunaikan hanya satu kewajipan iaitu beribadat sahaja.

Ada seorang sahabat ketika bermusafir di padang pasir, beliau bertemu satu tempat yang terdapat mata air yang tidak putus walaupun di musim kemarau. Lalu dia terfikir ada baiknya untuk beliau membawa anak isterinya ke sana. Buat rumah di sana, bercucuk tanam dan mendiami kawasan tersebut. Tak perlu bercampur dengan orang lain. Cukup dengan buat ibadat di sana sahaja.

Tetapi beliau ingin mengajukan perkara tersebut kepada Rasulullah terlebih dahulu. Setelah berjumpa baginda dan menyatakan hasratnya, Rasulullah SAW melarangnya. Menurut baginda, sesungguhnya sehari kamu berada bersama orang ramai, menghadapi ujian dan masalah, bertahan dengannya, menjalankan amar makruf nahi mungkar, adalah lebih baik daripada kami berada di sana 70 tahun.

Namun akan berlaku pula di akhir zaman, bencana dan fitnah dalam perkara agama sehingga seseorang itu tidak boleh menyelamatkan dirinya. Terlalu banyak maksiat dan kemungkaran. Tidak ada jemaah Islam sehingga boleh menggugat imannya jika dia meneruskan hidup. Maka boleh dia beruzlah, mengasingkan dirinya daripada orang ramai untuk menjaga agamanya seperti Ashabul Kahfi.

Itu dalam keadaan yang sangat lemah. Ini akan berlaku di mana-mana tempat di dunia. Tempat kita tak berlaku lagi. Tetapi ada negara yang menerima tekanan terhadap Islam sangat kuat sehingga nak mengajar atau belajar agama tidak dibenarkan. Akan ditangkap, dibunuh dan diapa-apakan. Maka bolehlah mereka menyembunyikan diri. Itulah dia beruzlah. – HARAKAHDAILY 24/11/2017

Petikan kuliah Jumaat Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, 5 Rabiul Awwal 1439 24 November 2017