Kaji semula Enakmen Negeri Taman Negeri P. Pinang

Nasional
Typography

PERSATUAN Pengguna Pulau Pinang (CAP), dalam mengalu-alukan langkah untuk mewujudkan satu badan berkanun untuk menguruskan Taman Negeri termasuk Kebun Bunga Pulau Pinang, tetapi kecewa kerana tiada rundingan awam berhubung peruntukan yang terkandung dalam undang-undang penubuhan Perbadanan itu.

Undang-undang itu dikemukakan dan diterima oleh Dewan Undangan Negeri tanpa perbincangan yang mencukupi. Selepas bacaan pertama, jawatankuasa khas perlu ditubuhkan untuk mendapatkan pandangan daripada orang ramai, dan hanya kemudian, selepas pandangan itu diambil kira, undang-undang itu perlu diundi. Tiada alasan untuk mempercepatkan proses.

Kami bimbang oleh beberapa peruntukan dalam undang-undang yang mungkin akan membuka pintu kepada penyalahgunaan kuasa dan manipulasi politik dan akan menukar ciri-ciri Kebun Bunga Pulau Pinang sedia ada.

Berhubung keahlian Perbadanan, Seksyen 9 memperuntukkan bahawa ia seharusnya terdiri daripada Ketua Menteri Pulau Pinang sebagai Pengerusi, Timbalan Pengerusi, tiga ahli exco, Pengurus Besar dan tidak lebih daripada 20 ahli yang dilantik oleh Pihak Berkuasa Negeri termasuk tidak lebih daripada dua ahli dengan kepakaran dalam pengurusan botani, hortikultur, atau kepakaran yang sesuai.

Perbadanan mestilah mempunyai autonomi dengan kebebasan dalam membuat keputusan dan bebas daripada campurtangan politik. Pengerusi seharusnya tidak datang daripada mana-mana parti politik dan ahli mestilah tidak dilantik berasaskan kaitan politik sepertimana yang berlaku dengan perlantikan ahli majlis pihak berkuasa tempatan. Pengerusi dan ahli seharusnya daripada penduduk Pulau Pinang dengan rekod perkhidmatan awam yang tidak mementingkan diri sendiri dan berkhidmat untuk melindungi alam sekitar semula jadi, dan bukan ahli politik.

Tambahan pula, menurut Seksyen 15(3), Pengurus Besar, yang bertanggungjawab bagi persediaan dan menjalankan semua program atau projek, hanya bertanggungjawab kepada Pengerusi Perbadanan, yang mengikut undang-undang adalah Ketua Menteri. Peruntukan ini memberikan Ketua Menteri kuasa yang sangat besar, dan ia bukan urus tadbir yang baik. Pengurus Besar perlu bertanggungjawab kepada ahli Perbadanan dan tidak kepada orang perseorangan.

Seksyen 13 memperuntukkan bagi bayaran gaji atau elaun kepada ahli adalah seperti yang ditetapkan oleh pihak berkuasa negeri. Telah menjadi satu amalan di Malaysia melantik calon yang kalah dalam pilihan raya atau penyokong parti dan penderma ke lembaga syarikat berkaitan kerajaan dan badan berkanun dan perbadanan dan membayar elaun yang besar walaupun mereka mempunyai pendapatan yang banyak daripada perniagaan atau kerjaya mereka. Kita perlu menghentikan amalan kroni dan menggalakkan kesukarelaan. Ahli boleh dibayar elaun tidak lebih daripada RM500 bagi kehadiran mesyuarat.

Seksyen 3(3) memberikan kuasa kepada pihak berkuasa negeri untuk membatalkan atau mengubah rizab kawasan sebagai Taman Negeri. Mestilah terdapat mekanisme untuk menyemak penyelewengan. Kita mempunyai kes di Malaysia di mana hutan yang dilindungi telah ditukar kepada tanah bangunan tanpa orang ramai menyedarinya. Kita perlu mencegah penyelewengan seperti itu. Seksyen ini perlu dipinda untuk memasukkan rundingan awam sebelum pembatalan status.

Seksyen 5 memberikan kuasa kepada pihak berkuasa negeri untuk membenarkan penggunaan atau pendudukan Taman Negeri bagi pembinaan dan penyelengaraan jalan, bangunan dan kemudahan awam. Ini merupakan peruntukan yang berbahaya kerana ia membuka pintu kepada kemusnahan Taman Negeri dan suasananya melalui pembinaan jalan dan bangunan.

Belajarlah daripada kemusnahan Taman Tasik di Kuala Lumpur. Sehingga 1960-an, ia merupakan sebuah taman hijau yang cantik dengan banyak pokok dan persekitaran yang sunyi untuk orang ramai berehat dan menikmati alam semula jadi. Ramai keluarga yang tidak menjadi ahli kelab persendirian yang ekslusif, menghabiskan masa sewaktu cuti dengan anak-anak mereka di sana. Kini ia bertukar kepada jaluran lebuh raya yang bising.

Kemusnahan warisan alam semula jadi yang amat bernilai menyebabkan pihak berkuasa terpaksa membelanjakan berjuta ringgit untuk memajukan taman.

Seksyen 21 memperuntukkan satu daripada fungsi Perbadanan ialah untuk memperkenalkan Pulau Pinang sebagai Negeri yang kaya dengan sumber semula jadi dan pusat tarikan pelancong. Seksyen 22 memperuntukkan perbadanan mempunyai kuasa untuk menyediakan antara lain aktiviti, kemudahan dan perkhidmatan dalam Taman Negeri bagi tujuan tarikan pelancong. Menggalakkan pelancongan akan membawa kepada kemerosotan taman memandangkan kajian yang ditunjukkan ke atas kesan pelancongan terhadap taman negara dan negeri.

Sebagai tambahan, Seksyen 22 juga membenarkan Perbadanan untuk “mengawal kemasukan orang ramai ke Taman Negeri dan mengenakan bayaran bagi kemasukan dan menikmati kemudahan dan perkhidmatan yang disediakan”. Ini tidak seharusnya berlaku, memandangkan seharusnya tiada sebarang bayaran yang dikenakan bagi penggunaan Kebun Bunga, yang amat terkenal digunakan oleh penduduk Pulau Pinang dan orang awam. Taman seharusnya ditempatkan bagi rakyat kita dan tetamu untuk menikmati alam semula jadi dan untuk memperolehi pengetahuan mengenai tumbuhan, haiwan dan mikroorganisma, dan untuk memelihara kekayaan biodiversiti kita, dan bukannya untuk memperolehi hasil pelancongan. Peruntukan ini akan membawa kepada komersialisasi Kebun Bunga, sebagai satu lagi usaha untuk membuat keuntungan.

Seterusnya, Seksyen 40 memperuntukkan penubuhan syarikat untuk membolehkan pembinaan stesen kereta kabel di Kebun Bunga Pulau Pinang yang akan menghubungkannya ke Bukit Bendera. CAP menentang sepenuhnya rancangan ini, memandangkan projek kereta kabel akan menyebabkan kesan sosial dan alam sekitar yang serius di Kebun Bunga serta Bukit Bendera.

Kami menggesa Kerajaan Negeri Pulau Pinang menubuhkan satu jawatankuasa untuk menjalankan rundingan awam berhubung undang-undang yang diluluskan baru-baru ini untuk mentadbir Taman Negeri dan untuk meminda peruntukan yang sewajarnya bagi menyesuaikan dengan hasil daripada rundingan itu. – HARAKAHDAILY 6/12/2017