Misteri hutang peneroka Felda

Nasional
Typography

MASALAH hutang peneroka Felda kini memakin rumit dan pelik. Penyelesaian isu ini dipayahkan dengan tiadanya mekanisma pengurusan penyata hutang yang mudah difahami peneroka dan anak-anak mereka. Penyata yang mereka terima menyebabkan mereka terkejut kerana tidak munasabah dan tiada bukti rekod penyebab hutang.

Beberapa bulan yang lalu peneroka mula menyemak baki hutang mereka di Pejabat Pengurusan Felda. Apa yang menjadi masalahnya jumlah hutang yang dicatatkan dipertikaikan dan kegagalan pihak pengurusan membuktikan dari mana datangnya jumlah yang tidak munasabah ini.

Salah seorang peneroka tampil membawa bukti perkara pelik yang berlaku ke atas beliau dan ramai lagi peneroka yang lain. Pengadu meminta kepada saya agar tidak ketengahkan namanya, ini satu lagi sikap atau mentaliti yang membelenggu sebahagian peneroka Felda. Alasan tidak mahu masalah lain datang kepadanya atau tekanan dari pihak berkaitan selepas ini.

NaraPengadu yang kebunnya dalam proses tanam semula kali kedua membawa dua helaian catatan hutang sebagai bukti dakwaan hutang 'misteri' direkodkan ke dalam akaun penyata hutang beliau. Penyata yang dikeluarkan (tarikh cetak) 4 April 2017 mencatatkan jumlah keseluruhan hutang RM64,504.53

Hutang ini adalah hutang lama sebelum proses tanam semula kali kedua dilakukan. Setelah berlaku pertikaian jumlah hutang ini, pegawai yang bertugas mencadangkan pengadu membuat surat penolakan kepada ibu pejabat Felda Kuala Lumpur.

Pengadu hanya bersetuju hutang dari akaun C atau dari akaun hutang baja yang berjumlah RM14,285.66 yang gagal dilunaskan dengan cara pemotongan dari hasil BTS yang dihantar melalui pengurusan Felda sejak dari hasil pertama selepas tanam semula kali pertama sekitar tahun 1993.

Pengadu menolak sepenuhnya dari akaun A atau akaun Pinjaman Pembangunan yang merekodkan RM50,000. Pengadu tidak boleh terima kerana adalah tidak masuk akal selama hampir 22 tahun hanya RM3000 sahaja dapat dipotong. Baki pinjaman direkodkan terkini berjumlah RM47,000.

Bayangkan jika dalam proses penolakan ini, beliau meninggal dunia. Apakah status hutang yang dipertikaikan ini akan terus kekal dalam akaunnya? Bagaimana anak-anaknya atau pewaris beliau nanti mampu menafikan hutang ini? Bagaimana pula peneroka yang sudahpun meninggal dunia? Apakah hutang yang direkodkan kepada akaun mereka akan ditanggung sepenuhnya pewaris mereka nanti tanpa ada ruang menolaknya.

Setelah meneliti rentetan isu hutang yang membelenggu sebahagian besar peneroka Felda dan pewaris-pewaris mereka, boleh dikatakan prinsip akaun hutang peneroka felda sekarang ini ada masalah besar. Jika sejumlah RM47,000 dari rekod atau kes pengadu diatas boleh dibuat penolakan kepada ibu pejabat Felda, tidak keterlaluan saya katakan Penyata Hutang Peneroka Felda telah melanggar prinsip perakaunan.

Sebagai jalan meredakan keadaan ini, pihak Pejabat Wilayah Felda Terengganu perlu turun kesemua tanah rancangan di Terengganu untuk menerangkan serta memberi kefahaman kepada peneroka Felda berkaitan masalah ini. Amalan sekarang, penyata yang dikemukan kepada peneka Felda akan dikeluarkan kepada pemeroka yang minta sahaja. Bagaimana dengan peneroka atau anak-anak mereka yang tidak berkesempatan menyemak baki hutang terkini mereka. Adakah mereka terpaksa menerima semua jumlah yang bukan hutang mereka?

Jangan sampai kaedah 'pukul locong' hutang-hutang dimasukan kedalam akaun Peneroka Felda secara begini. Jika benar ada bukti dan rekod tanggungan hutang mereka sewajanya peneroka atau waris melunaskannya, jika sebaliknya bukan hutang mereka tetapi direkodkan kedalam akaun mereka, perkara ini amat malang kerana melibatkan urusan lain yang tidak sewajarnya berlaku.

NARAZA MUDA
Pegawai Khas Seranta Felda PAS Terengganu
07hb Disember 2017 – HARAKAHDAILY 7/12/2017