20
Thu, Jun
40 Artikel Baru

Tetapkan harga siling minyak dengan kembalikan subsidi

Nasional
Typography

PUSAT Penyelidikan PAS (PPP) mengulangi sekali lagi desakan PAS supaya Kerajaan Malaysia menetapkan harga siling bagi petrol dan diesel dengan mengembalikan semula subsidi barangan petroleum tersebut. PAS melalui Ahli Parlimen PAS Temerloh, Ustaz Nasruddin Hassan, telah menyuarakan desakan tersebut sejak 1 November 2016 setahun yang lalu. Desakan tersebut diulangi sekali lagi oleh Ahli Parlimen PAS Kuala Nerus, Dr Khairuddin Aman Razali, pada 22 Februari 2017.

Desakan kedua-dua Ahli Parlimen PAS tersebut sepatutnya telah diambil perhatian oleh Kerajaan Malaysia, tetapi sehingga hari ini tiada langkah positif yang telah diambil.

Berdasarkan kepada trend harga minyak mentah dunia mutakhir ini, PPP melihat harga tersebut akan terus stabil di atas paras USD60 setong menjelang awal tahun 2018. Trend peningkatan tersebut adalah disebabkan permintaan yang semakin tinggi khususnya daripada kuasa ekonomi China.

Pada ketika yang sama bekalan yang semakin terkawal oleh OPEC, di samping situasi di Timur Tengah yang semakin tidak menentu ekoran kemelut politik dalaman Arab Saudi akan menolak harga minyak mentah terus meningkat. Sehubungan dengan itu, Kerajaan Malaysia perlulah mengunjurkan pelan seimbang sekiranya harga minyak mentah tersebut terus melambung.

PPP menjangkakan Kerajaan Malaysia akan mendapat faedah yang lumayan sekiranya harga minyak mentah tersebut terus meningkat, sehingga ia boleh mengisi semula kantung kerajaan selepas hasil dari sumber petroleum tersebut merosot dengan mendadak sejak Bajet 2016.

Bagaimanapun, sekiranya tiada kawalan terhadap harga petrol dan diesel ekoran dari kenaikan harga minyak mentah dunia, rakyat sebagai pengguna akan terjejas teruk. Selain daripada situasi ini akan menjejaskan pendapatan boleh berbelanja rakyat, kesan berangkainya akan menyebabkan peningkatan kadar inflasi dan kos hidup.

Menyedari kesan positif dan negatif tersebut, pelan seimbang perlulah dikemukakan oleh Kerajaan Malaysia terutamanya ketika perbahasan tentang Bajet 2018 masih berlangsung di Dewan Rakyat. Salah satu kaedah untuk mengimbangi kesan positif dan negatif ini, Kerajaan Malaysia perlulah menentapkan harga siling bagi petrol dan diesel untuk mengurangkan bebanan kepada rakyat.

PPP melihat tiada kaedah yang paling sesuai melainkan dengan mengembalikan semula subsidi ke atas barangan tersebut. Subsidi tersebut boleh diambil daripada pertambahan pendapatan kerajaan hasil daripada peningkatan sumber yang datang dari industri minyak dan gas ini.

DR MOHD ZUHDI MARSUKI
Pengarah PPP
9 November 2017/20 Safar 1439 – HARAKAHDAILY 9/12/2017