20
Thu, Jun
39 Artikel Baru

Tun M, PH dan Raja-Raja Melayu

Nasional
Typography

MEMBACA laporan wawancara Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, yang disiarkan oleh akhbar The Sunday Star hari ini, di bawah tajuk “A royal balancing force”, saya teringat laporan portal berita The Malaysian Insight pada 3 Disember lalu, di bawah tajuk “Dr Mahathir, Wan Azizah proposed as leaders if opposition wins next general election”.

Laporan portal berita The Malaysian Insight menyebut satu sumber yang menghadiri retreat Pakatan Harapan pada 1 dan 2 Disember lalu sebagai berkata bahawa semua parti di dalam Pakatan Harapan, kecuali PKR, telah bersetuju untuk menamakan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri interim jika Pakatan Harapan memenangi PRU 14.

Laporan akhbar The Sunday Star pula, selain mendedahkan kemurkaan Sultan Selangor terhadap Tun Dr Mahathir di atas istilah ‘lanun Bugis’ yang beliau ungkapkan pada 14 Oktober lalu, memetik Sultan Selangor sebagai bertitah bahawa bukan Baginda sahaja yang tidak menyenangi tindak-tanduk Tun Dr Mahathir sejak beliau kembali aktif di dalam dunia politik.

Malah, Sultan Selangor, di dalam satu titah yang mengejutkan (“dropping a bombshell”), bertitah: “Semua sembilan Raja mempunyai perasaan yang sama mengenai Dr Mahathir sejak ahli politik berusia 92 tahun itu kembali aktif dalam politik” (“All nine Rulers feel the same way about Dr Mahathir since the 92-year-old politician’s return to active politics”).

Kedua-dua laporan ini menimbulkan satu persoalan menarik kepada kita: Bagaimanakah agaknya Pakatan Harapan hendak melantik Tun Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri interim jika Pakatan Harapan memenangi PRU 14 di dalam keadaan “semua sembilan Raja mempunyai perasaan sama (dengan perasaan Sultan Selangor) mengenai (beliau)”? - HARAKAHDAILY 10/12/2017