20
Thu, Jun
39 Artikel Baru

Umat Islam mesti bangkit

Nasional
Typography

PILIHAN raya umum kali ke-14 pasti sahaja semakin hampir. Debarannya kian terasa. Ia sememangnya menjadi detik yang dinanti saban 5 tahun sekali bagi rakyat melakukan perubahan secara total.

Pilihan raya bukan sekadar aspek politik sehingga non partisan merasa cuak untuk membicarakannya. Sebaliknya pilihan raya memberi makna yang sangat besar kepada masa depan negara dan rakyat dari semua aspek termasuk sosial, ekonomi malah politik itu sendiri.

Meskipun kita bercakap soal ekonomi seperti kenaikan harga minyak, peningkatan kos sara hidup, kadar hutang isi rumah yang tinggi, peluang pekerjaan yang sukar, isu harga hartanah, isu rumah hanya mampu tengok dan sebagainya, ia juga adalah manifestasi dari dasar dan polisi negara yang dibentuk melalui kuasa politik.

Begitu juga isu sosial. Pergaulan bebas, zina yang berleluasa, judi bermaharajalela, buang bayi, dera, ragut, samun, pecah rumah, gelandangan dan sebagainya juga adalah menelur dari sebuah sistem politik yang tidak patuh syariah dan tekanan ekonomi yang meruncing.

Tidak kurang juga masalah negara yang terhasil dari penyimpangan agama dan akal yang songsang. Diskriminasi terhadap pekerja wanita muslimah yang memakai tudung. Permintaan pilot agar penumpang berdoa di atas kapal terbang detik kecemasan juga dikecam.

Cadangan supaya murid menunaikan solat berjamaah di sekolah sebelum pulang ke rumah juga diherdik. Bagaimanalah cadangan pelaksanaan syariat Islam dalam sistem pentadbiran negara? Melompat bergulinglah mereka memprotes pelaksanaan syariat.

Semua ini memberi isyarat jelas bahawa perubahan total mesti dilakukan. Pilihan raya umum kali ini adalah turning point untuk rakyat bertindak membuat perubahan melalui pemilihan pimpinan yang betul dan tepat.

Perubahan mestilah kepada suatu yang lebih baik. Kita mahu berubah dari sistem yang korup kepada sistem yang telus. Dasar yang menindas kepada dasar yang adil. Tentunya Islam adalah solusi. Islam adalah pilihan.

Menukar jahiliah lama kepada jahiliah baru tidak akan memberi erti dan nilai perubahan kepada negara dan rakyat. Sama lah menukar ranting dan dahan sahaja tidak akan memberi makna pertukaran jika pokok dan akar tunjangnya tidak ditukar.

Islam adalah penyelesaian. Ini layaknya diakui oleh semua muslim. Soalnya bagaimana sikap pengundi? Khasnya yang beragama Islam. Mereka harus berani bertindak memberi peluang kepada pihak yang serius dan mahu melaksanakan manhaj pemerintahan dan pentadbiran Islam dalam negara ini.

Umat Islam mesti bangkit buat perubahan. PAS menawarkan pelaksanaan syariat Islam dan manhajnya. Agar suara Islam makin subur dan hebat, tidak lagi berada di kelas kedua. – HARAKAHDAILY 10/12/2017