21
Mon, Oct
21 Artikel Baru

Ucapan Hamzah Zainudin tikam PM dari belakang?

Nasional
Typography

AHLI Majlis Tertinggi UMNO merangkap Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hamzah Zainudin mungkin sedang menyindir Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak atau sedang berusaha bersama pemimpin UMNO lainnya berpakat menjatuhkan PM dalam PRU14 secara halus dengan mengeluarkan kenyataan-kenyataan tidak masuk akal. Kenyataan beliau dalam Perhimpunan Agung UMNO beberapa hari lepas jelas menggambarkan inilah mentaliti dan pemikiran pemimpin UMNO sekarang.

HamzahZainuddinBeliau berhujah dengan menyandarkan hadis Rasulullah SAW bahawa peningkatan kos sara hidup adalah kehendak Allah. Dalam erti kata lain, Rasulullah SAW dalam hadis tersebut berpesan agar tidak mencampuri hak berhubung ketetapan harga barang. Konteks hadis itu diguna pakai oleh Menteri ini di negara kita sekarang dan polemik kos harga barangan dan keperluan yang semakin meningkat. Apa yang lebih melucukan, beliau menyimpulkan tindakan pemimpin kerajaan hari ini sudah selari dengan tuntutan baginda.

Secara tidak langsung Datuk Seri Hamzah sedang meletakkan tanggungjawabnya kepada PM dengan sindiran halus untuk difahami. Beliau juga berusaha menaikkan kemarahan umat Islam apabila menyamakan semua tindakan kerajaan khususnya menaikkan harga barangan dengan apa yang dilakukan oleh Rasulullah SAW. Justeru secara tidak langsung umat Islam bangkit menyatakan kemarahan seolah-olah PM melaksanakan sunnah Rasulullah SAW, sedangkan umum mengetahui beliau sedang memusnahkan negara.

Budaya menikam belakang secara halus pemimpin tertinggi negara mungkin sedang menjalar sekarang, sama ada disedari atau tidak. Membodek tidak kena tempat, mengampu setingginya sehingga menenggelamkan realiti dengan khayalan setinggi langit, memuji umpama dewa kayangan adalah budaya ‘menikam halus’ pemimpin tertinggi UMNO. Sekali gus pemimpin tertinggi ‘mati perlahan-lahan’ dengan tikaman ini tanpa sedar, kerana seronok dengan pujian yang diberikan.

Isu lain boleh juga diperhatikan, bagaimana rendahnya mentaliti dan pemikiran pemimpin UMNO. Cakap tidak berfikir dan buat kajian dahulu, serta cakap tak serupa bikin mudah memakan diri. Amat mudah dengan meletakkan segala-galanya kepada ketentuan Allah, sedangkan beliau adalah Menteri yang bertanggungjawab dalam urusan penentuan harga barangan keperluan. Jika begitu, apa gunanya kerajaan melantik beliau sebagai Menteri dan mewujudkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri? Lebih baik Kementerian ini tidak perlu wujud dengan segala-galanya diserahkan kepada Allah yang menentukan. Duit kerajaan akan jimat, duit rakyat juga tidak membazir dengan membayar gaji beliau.

Jika inilah pemikiran pemimpin negara yang bertaraf menteri, bagaimana agaknya mereka mampu memimpin negara dengan kecerdikan, kebijaksanaan dan kepimpinan. Jika pemikiran dan mentaliti pun lemah, bagaimana lagaknya pemimpin ini mampu memimpin negara di saat negara dilanda gawat seperti sekarang? Tidak adakah pemimpin yang cerdik, bijak, cermat dan berfikiran jauh dalam UMNO sekarang?

Rakyat ‘memerlukan’ ucapan-ucapan pemimpin seperti ini di saat menjelang PRU14. Ia menjadi koleksi berharga dan bukti besar bahawa sememangnya pemimpin UMNO bertemu di titik akhir perjuangan dan kepimpinan mereka, kerana pemimpin bongkak, sombong, bodoh dan mentaliti lemah tidak layak menjadi pemimpin negara usai PRU14. – HARAKAHDAILY 11/12/2017