Kenyataan dan perjuangan Mahathir tidak konsisten

Nasional
Typography

TUN Dr Mahathir Mohamad memang terkenal dengan kaki putar dan ahli politik yang licik. Kerana kepintarannya itu, beliau mampu membelit dan menyusup masuk mana-mana lorong politik. Tindakan Pakatan Harapan (PH) yang dibarisi pembangkang, yang suatu ketika begitu musuhinya kini mengangkatnya sebagai pemimpin utama membuktikan Tun Dr Mahathir Mohamad adalah raja politik belit di negara ini.

drriduanKenyataannya terbaharu mengenai kutipan tol dengan mempertahankan langkah pentadbirannya dahulu mengenakan kutipan tol amat membingungkan rakyat. Malah beliau membandingkan kadar tol di negara ini dengan negara lain dengan menganggap ia sebagai termurah di dunia. Perbandingan harga tol di negara ini dengan negara lain dibuat seakan-akan menegaskan bahawa tindakan pentadbirannya dahulu adalah betul dan tepat sekali. Mungkin benar PM sekarang menggelarnya ‘bapa segala tol’. Maka sukar bagi rakyat meneka apakah pendiriannya dalam membela dan memperjuangkan rakyat, sedangkan tol adalah sebahagian daripada bebanan yang menimpa rakyat.

Meskipun begitu beliau berjaya ‘menyihir’ PH dengan kepintarannya bermain politik apabila tidak ada suara pemimpin mereka mahu menyanggah kenyataannya mengenai tol itu. Jika begini pendiran seorang pemimpin yang dianggap memperjuangkan rakyat di negara ini, apakah beza perjuangan beliau dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sekarang? Bukankah nada dan suara mereka hampir sama? PM juga menyatakan harga barangan dan kos sara hidup di negara ini antara terendah berbanding negara lain, harga barang termurah, harga minyak paling rendah, GST paling sedikit, dan lain-lain lagi. Beliau banyak mengambil contoh negara-negara lain yang mengenakan kesemua cukai, GST, harga minyak, barangan dan lain-lain lagi berbanding negara ini.

Jika harga tol di negara ini termurah di dunia, lalu perlu dipertahankan, apakah dasar perjuangan Pakatan Harapan dalam membela rakyat terbanyak khususnya mereka yang terhimpit dengan pelbagai tekanan hidup? Bukankah agenda PH adalah membela dan membantu rakyat, khususnya melepaskan mereka dari tekanan dan bebanan hidup termasuk usaha menghapuskan konsesi tol dengan alternatif bagi meringankan rakyat.

Bayangkan hampir kesemua lebuh raya di negara ini mempunyai tol, dan setiap pengguna yang melaluinya perlu membayarnya. Tiada makna jika harga tol termurah tetapi pengguna perlu membayar banyak kali tol (kerana banyak lebuh raya perlu dilalui) dan membayarnya pula setiap hari. Pada hakikatnya, Tun adalah seorang pemimpin elit yang hidup kaya raya dan tidak merasai keperitan hidup rakyat di bawah, justeru beliau tidak tahu bebanan yang rakyat hadapi sekarang.

Bayangkan jika Tun Dr Mahathir sekali lagi menjadi Perdana Menteri, mungkin apa yang disanggahnya sekarang pun akan terbalik. Beliau pula akan membela dan mempertahankan segala dasar dan cukai yang diperkenalkan oleh kerajaan BN sekarang, dengan pelbagai alasan yang tidak munasabah. Maka pada ketika itu, pemimpin PH dan seangkatan dengan mereka akan sekali lagi tergigit oleh pemimpin yang menipu dan memperdaya rakyat.

DR RIDUAN MOHD NOR
Ahli Jawatankuasa PAS Pusat
11 Januari 2018 – HARAKAHDAILY 11/1/2018