18
Fri, Oct
34 Artikel Baru

Pastikan pengusaha hotel fahami hak beragama

Nasional
Typography
DEWAN Ulamak PAS Wilayah Persekutuan (DUPWP) menyambut baik cadangan Kementerian Sumber Manusia yang berusaha membentangkan Akta Kerja 1955 di Parlimen dalam sidang pada bulan Mac 2018 bagi menangani diskriminasi di tempat kerja susulan isu larangan bertudung dalam sektor perhotelan. 
 
Pendedahan Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Richard Riot Jaem bahawa pemeriksaan yang dilakukan oleh kementerian ke atas 88 hotel di Semenanjung Malaysia sejak Disember 2017 mendapati 13 daripadanya menetapkan polisi dan mempunyai 'standard grooming' yang melarang pekerja wanita bertudung, khususnya bagi 'frontliners' dan mereka yang bertugas di bahagian 'food and beverages'.
 
DUPWP menganggap 13 pengusaha hotel yang dikenalpasti tersebut bersikap degil, sombong dan keras kepala kerana tidak memahami sensitiviti umat Islam serta menghormati ajaran Islam. Jika pemeriksaannya diluaskan, mungkin akan didapati banyak lagi hotel yang melarang pekerja wanita Islam daripada bertudung di sektor berkenaan. Mereka yang terlibat ini sengaja mencari polemik dengan mencetuskan isu yang boleh menyebabkan perbalahan dan persengketaan antara agama. Golongan yang engkar ini gagal memahami Malaysia adalah sebuah negara Islam seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Malaysia Perkara 3 (1).
 
Mengapa begitu sukar bagi pengusaha hotel terbabit mengamalkan toleransi agama dan budaya dengan membenarkan pekerja wanita beragama Islam bertudung dalam apa juga sektor termasuk sebagai ‘frontliners’ seperti yang dimaksudkan. Apa yang tidak kena wanita Islam bertudung dengan etika serta profesionalisme dalam pekerjaan? Adakah dengan bertudung sampai menggangu etika kerja, tugasan tergendala, menyebabkan kehilangan pelanggan atau kerugian kepada syarikat? 
 
DUPWP menegaskan, pemakaian tudung bagi wanita Islam tidak ada kena mengena dengan kerugian syarikat, pelanggan yang hilang dan perniagaan yang tidak berkembang luas. Sebaliknya, wanita Islam bertudung menampilkan adab yang baik dan akhlak yang mulia di mata orang ramai. Wanita Islam bertudung akan kelihatan lebih sopan serta terjaga maruah dan keselamatan diri mereka. Secara tidak langsung mereka dapat membantu menaikkan imej syarikat perhotelan di peringkat antarabangsa, menyebabkan negara lain merasa hormat dan memandang tinggi kepada negara Malaysia kerana begitu menjaga keselamatan dan kesopanan pekerjanya.
 
Oleh yang demikian, kami amat bersetuju pindaan Akta Kerja 1955 dibentangkan dan diluluskan bagi menjaga hak dan kepentingan wanita Islam. Ia juga sebagai peringatan kepada semua pihak agar sentiasa menjaga hak toleransi beragama, dan ketika ia sudah sampai keluar batasannya, maka umat Islam wajib membela agama dan penganutnya yang dinafikan hak tersebut.
 
UST DR (H) MOHD ALI JAMIL
Ketua Dewan Ulamak
PAS Wilayah Persekutuan 
28 Januari 2018 - HARAKAHDAILY 28/1/2018