19
Mon, Aug
15 Artikel Baru

Kempen 'Undi Rosak' bukti golongan muda tolak PH

Nasional
Typography

DEWAN Pemuda IKATAN Malaysia tertarik dengan kempen yang tular di media sosial, terutama di kalangan anak-anak muda yang menggunakan hashtag 'UndiRosak' kerana tidak berpuas hati dengan tawaran yang dibuat oleh Pakatan Harapan (PH) yang mencalonkan Tun Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri Malaysia sekiranya PH menang Pilihan Raya Umum Ke-14.

Sesungguhnya kami di IKATAN dan PAS menerusi Gagasan Sejahtera amat faham dengan manifestasi kekecewaan golongan muda yang memulakan kempen ini apabila Malaysia yang kita sayangi ini akan kembali ke zaman pemerintahan kuku besi Tun Dr Mahathir sekiranya PH menang pilihan raya nanti.

Atas dasar itulah, Gagasan Sejahtera membuka satu lembaran baru dalam dunia politik negara, di mana anak-anak muda tidak terikat untuk memilih PH atau BN.

Gagasan Sejahtera merupakan wadah baru untuk anak-anak muda untuk memilih IKATAN, sebuah parti yang membawa aspirasi bangsa Malaysia, bekerjasama dengan parti PAS, sebuah parti dominan di Malaysia yang membawa konsep Islam mensejahterakan umat manusia, tanpa mengira agama dan bangsa.

Dewan Pemuda IKATAN Malaysia menyokong kenyataan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang menghuraikan bahawa Islam meletakkan politik sebahagian daripada agama dan adalah menjadi kewajipan umatnya mengundi.

Undi kalian adalah tanggungjawab seorang rakyat untuk menghidupkan proses demokrasi di Malaysia. Setiap undi dari anak-anak muda ini amat bernilai harganya.

Dewan Pemuda IKATAN Malaysia menyeru dan menggesa anak-anak muda yang kecewa dengan senario politik hari ini untuk bersama-sama kami di IKATAN dan mengundi calon-calon Gagasan Sejahtera pada Pilihan Raya Umum Ke-14 nanti.

Ayuh bersama kami! Undi Gagasan
Sekian.

Shahir Adnan adalah Timbalan Ketua Pemuda Gagasan Sejahtera merangkap Ketua Pemuda Parti IKATAN Bangsa Malaysia

HARAKAHDAILY 30/1/2018