19
Mon, Aug
15 Artikel Baru

Keputusan kes Ridhuan perlu selesai ikut Islam

Nasional
Typography
DEWAN Ulamak PAS Wilayah Persekutuan (DUPWP) merasa terpanggil berkongsi rasa prihatin dan bimbang dengan keputusan Mahkamah Persekutuan semalam yang membatalkan penukaran agama tiga anak Muhammad Ridhuan Abdullah kepada Islam dan tidak sah di sisi undang-undang kerana tidak mendapat persetujuan ibunya, M Indira Gandhi.
 
Dalam hal ini, DUPWP tidak berhasrat mempertikaikan keputusan Mahkamah Persekutuan semalam yang telah menetapkan keputusan tersebut. Cuma, sebagaimana banyaknya pandangan yang dikemukakan pada hari ini, timbul kebimbangan bahawa kes ini akan menjadi rujukan di masa akan datang. Ia bakal menjadi polemik yang mengeruhkan keharmonian agama dan perpaduan kaum di negara ini.
 
Dalam konteks negara ini, Perlembagaan Persekutuan Perkara 3(1) telah menyatakan secara jelas bahawa Islam adalah agama Persekutuan. Bahkan Mahkamah Syariah pindaan pada Perlembagaan Persekutuan 1988 dengan memasukkan perenggan 1A Perkara 121 di bawah Perlembagaan Persekutuan yang menghadkan Mahkamah Sivil tidak boleh mencampuri perkara-perkara yang berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah. Bagaimana umat Islam yang mengikuti perkembangan kes ini boleh berdiam diri dari memberi pandangan bahawa kedudukan perenggan 1A Perkara 121 seperti tidak terpakai dalam kes yang berlaku semalam.
 
Semangat yang terkandung dalam Perenggan 1A Perkara 121 adalah tidak lain bagi memelihara umat Islam di negara ini serta mengangkat kedudukan agama Islam di negara ini. Dalam maksud yang lain, kedudukan Mahkamah Sivil tidak dipertikaikan, tetapi dalam masa yang sama kedudukan Mahkamah Syariah perlu dijulang dan dihormati sebaiknya. 
 
Bagaimana nantinya kes ini berpanjangan dengan banyak lagi tuntutan dari pelbagai pihak yang akhirnya jika kes ini dirujuk, ia akan menyebabkan kerugian dan kekalahan kepada umat Islam. Ia menjadi ketakutan kepada ibu bapa yang mahu memeluk Islam, kerana bimbang kehilangan hak terhadap anak-anak, serta tidak mempunyai kuasa untuk membawa anak-anak bersama memeluk Islam. Dalam konteks dakwah, keputusan ini membantutkan hasrat murni mereka yang mahu memeluk Islam kerana bimbang halangan dan kehilangan terhadap keluarga, isteri dan anak-anak.
 
Justeru, DUPWP mengharapkan campurtangan kerajaan dengan memastikan polemik ini tidak berpanjangan dengan penyelesaian terbaik untuk umat Islam. Kita tidak mahu Islam dipandang hina, diperlekeh dan direndahkan sehingga ianya tidak ada nilai dalam sebuah negara yang mengaku sebagai sebuah negara Islam. 
 
 
UST DR (H) MOHD ALI JAMIL
Ketua Dewan Ulamak
PAS Wilayah Persekutuan - HARAKAHDAILY 30/1/2018