20
Thu, Jun
40 Artikel Baru

PAS isytihar tanding Permatang Pauh

Nasional
Typography

PERMATANG PAUH: PAS akan meletakkan calonnya bertanding di Parlimen Permatang Pauh pada PRU14, demikian isytihar Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Pengumuman itu dilafazkan beliau di hadapan lebih ribuan hadirin dalam program Amanat Presiden PAS, PAS Tawan Permatang Pauh di hadapan Masjid Jamek Kubang Semang, semalam.

Tegasnya, Permatang Pauh adalah milik PAS yang mana parti Islam itu menjadi pembangkang pertama menawan Parlimen tersebut pada tahun 1979 dengan meletakkan calonnya, Ustaz Zabidi Ali.

"Permatang Pauh sangat bersejarah kepada PAS. Malam ini pendek sahaja, saya nak isytihar PAS nak bertanding Permatang Pauh. Takbir!

"Ini nak isytihar, ini kawasan PAS, PAS dah ambil pada tahun 1979, nak ambil balik. Terpulang kepada pengundi-pengundi di kawasan ini berusaha dengan gigih untuk menangkan PAS, Insha-Allah," ucapnya.

Untuk rekod, Permatang Pauh satu-satunya parlimen yang dimenangi PAS selepas PAS kalah di negeri Kelantan dan Terengganu pada PRU mengejut tahun 1979.

Menurut beliau, apabila berlaku pilihan raya mengejut, PAS tidak menyangka tidak mendapat Kelantan dan Terengganu tetapi tiba-tiba menang di Permatang Pauh.

Hadir sama dalam program tersebut Timbalan Presiden Parti Cinta Malaysia (PCM), Dato' Huan Cheng Guan da pimpinan-pimpinan utama PAS Pulau Pinang.-HARAKAH 5/2/2018