23
Tue, Jul
30 Artikel Baru

JAKIM: Bukti PH tiada komitmen daulat Islam

Nasional
Typography
MENONTON Sidang Media Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) oleh Pengerusi PH, Tun Dr Mahathir Mohamad, tengahari tadi, 6 Februari 2018, menampakkan dengan nyata betapa PH tidak ada komitmen jelas untuk mendaulatkan Islam di Malaysia.
 
Di dalam sidang media ini, Tun Dr Mahathir ditanya oleh seorang wartawan mengenai kenyataan Tengku Razaleigh Hamzah dalam portal berita Free Malaysia Today 
pada 1 Februari lalu bahawa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) tidak berperlembagaan.
 
Disebabkan JAKIM ditubuhkan sewaktu Tun Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri Malaysia, wartawan itu bertanya, “apa pendirian PH dengan JAKIM, adakah sekiranya PH memerintah JAKIM itu diperlukan lagi pada pengamatan Tun?”
 
Agak mengejutkan bila Tun Dr Mahathir gagal mempertahankan JAKIM yang ditubuhkan oleh beliau sendiri dengan hanya menyebut: “Itu (sama ada JAKIM itu diperlukan lagi) terpulang kepada kita kalau kita jadi kerajaanlah, nothing is permanent (tiada yang kekal)”.
 
Malah jawapan Tun Dr Mahathir bahawa “nothing is permanent (tiada yang kekal)” dalam konteks kewujudan JAKIM ini boleh ditafsirkan sebagai membawa maksud bahawa beliau sendiri pun boleh bersetuju dengan cadangan beberapa pihak supaya JAKIM dihapuskan.
 
Selain itu, turut ditanya adalah dakwaan Tengku Razaleigh bahawa penubuhan JAKIM ini adalah antara usaha Tun Dr Mahathir “untuk menjadikan Umno lebih Islam daripada PAS” di mana ini dinafikan oleh beliau yang menyatakan “kita buat yang ini bukan kerana PAS”.
 
Kata Tun Dr Mahathir: “Kita buat kerana kita nak dekatkan kerajaan dengan ajaran-ajaran Islam. Bukan kita nak ambik semua masuk, cuma so that what we do is not in contradiction with the teachings of Islam (supaya apa kita buat tidak bertentangan dengan ajaran Islam)”.
 
Tidak syak lagi, kenyataan Tun Dr Mahathir ini mengesahkan bahawa pendekatan Islam beliau tidak selaras dengan kesyumulan Islam seperti yang tertera dalam Ayat 208 Surah al-Baqarah, “Wahai orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam secara keseluruhan”.
 
Kegagalan Tun Dr Mahathir mempertahankan kewujudan institusi Islam seperti JAKIM yang yang ditubuhkan oleh beliau sendiri ini sebenarnya tidak begitu sukar untuk difahami jika kita teliti susur-galur kewujudan cadangan beberapa pihak supaya JAKIM dihapuskan.
 
Mengikut rekod, orang yang pertama mempersoalkan kewujudan JAKIM ini adalah Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat DAP merangkap Ahli Parlimen Bukit Bendera, iaitu Zairil Khir Johari, yang berbuat demikian dalam portal berita Malay Mail Online pada 27 Jun 2015.
 
Kata Zairil Khir Johari: “Why do we even have JAKIM (Malaysia’s Federal Department of Islamic Development) when Islam is a state issue? That’s a fundamental question because the authority of JAKIM appears to go against the 9th schedule of the Federal Constitution.”
 
Ini diikuti oleh satu kenyataan lain oleh Ahli G25, Tawfik Tun Dr Ismail, dalam portal berita The Malaysian Insider pada 9 November 2015 yang mencadangkan JAKIM dihapuskan dengan berkata: “I think JAKIM should be abolished. I don't think JAKIM should exist.”
 
Menariknya, kedua-dua kenyataan Zairil dan Tawfik ini dikongsi oleh Penasihat DAP merangkap Ahli Parlimen Gelang Patah, Lim Kit Siang, di dalam facebook dan blog beliau yang membawa maksud cadangan penghapusan JAKIM ini turut dipersetujui oleh beliau.
 
Cadangan Tawfik ini didokong oleh Jurucakap G25, Datuk Noor Farida Ariffin, melalui portal berita The Star pada 24 November 2015, malah oleh Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi PPBM, Tariq Ismail, melalui portal berita The Rakyat Post pada 11 November 2015.
 
Selepas inilah baru cadangan penghapusan JAKIM ini disahut oleh individu-individu lain seperti aktivis-aktivis hak asasi manusia pro-PH, termasuk bekas Timbalan Pengerusi BERSIH, Sarajun Hoda Hassan, dan peguam kontroversi, Siti Zabedah Kasim.
 
Berdasarkan susur-galur kewujudan cadangan supaya JAKIM dihapuskan, yang dimulai dan didokongi oleh pemimpin DAP, malah oleh pemimpin PPBM sendiri, selain oleh individu-individu yang menyokong PH, inilah kenyataan Tun Dr Mahathir perlu dilihat.
 
Jika seseorang pemimpin itu mempunyai harga diri maka sudah tentulah beliau akan mempertahankan secara mati-matian apa-apa inisiatif yang dibuat oleh beliau yang beliau fikirkan betul, apatah lagi di dalam mewujudkan institusi Islam seperti JAKIM ini.
 
Malangnya, demi undi dan demi kuasa, Tun Dr Mahathir tidak ragu-ragu untuk membiarkan legasi beliau dalam soal penubuhan JAKIM ini dilanyak semahu-mahunya, sekali gus menjadikan komitmen Pakatan Harapan untuk mendaulatkan Islam di Malaysia diragui. - HARAKAHDAILY 6/2/2018