TERAS gesa beri perhatian nasib pesawah

Nasional
Typography

TERAS Pengupayaan Melayu memandang serius nasib ratusan ribu pesawah padi yang kini berhadapan dengan pendapatan yang semakin terjejas. Dalam semakan kos pengeluaran terkini bagi setiap serelong sawah, pendapatan pesawah jatuh kepada RM 480 serelong untuk tiga bulan. Ia adalah berdasarkan hasil sebanyak RM 2,200 untuk serelong semusim, manakala perbelanjaan adalah RM 1,720.

Hasrat pihak kerajaan agar pendapatan pesawah dapat ditingkatkan dari RM600 kepada RM1200 sebulan dari hasil 10 tan metrik setiap hektar pada keseluruhannya tidak berlaku. Pihak kerajaan telah menggalakkan penggunaan benih terbaru hasil dari penyelidikan Mardi, akan tetapi tidak ramai pesawah yang mencapai sasaran 10 tan metrik sehektar seperti yang diuar-uarkan. Bukan sahaja faktor jangkitan penyakit padi serta bencana banjir sering menjejaskan hasil, malah kenaikan kos input pertanian juga mengekang pendapatan pesawah.

Teras memberi perhatian kepada golongan pesawah kerana mereka terlibat dalam sektor pengeluaran makanan asas negara, termasuk soal sekuriti makanan. Saiz ladang yang tidak ekonomik dan berganding pula kos input pertanian yang terus  meningkat menyebabkan sebahagian besar pesawah masih tergolong dalam kelompok di bawah garis kemiskinan.

Setelah hampir 50 tahun pembangunan sektor padi di negara ini, statusnya masih jauh dari yang diharapkan. Kepadatan infrastruktur, saiz ladang yang tidak ekonomik serta hasil tuai masih rendah terus menjadi isu yang tidak dapat ditangani dengan baik. 

Keadaan semakin buruk apabila kos pengeluaran terus meningkat yang menyebabkan pesawah terpaksa menanggung beban yang berat untuk meneruskan usaha menanam padi. Dalam dialog dengan pesawah padi di kawasan Merbok, Kedah baru-baru ini, Teras merumuskan untuk menggesa pihak kerajaan memberi perhatian kepada isu berikut: 

Kembalikan fungsi LPN

Teras Pengupayaan Melayu ( Teras ) menggesa kerajaan mengembalikan fungsi Lembaga Padi Negara (LPN ) untuk melihat kebajikan 200,000 pesawah padi di seluruh negara dibela dengan sewajarnya. Sejak lembaga ini diswastakan kepada Bernas, kebajikan dan pelbagai isu pesawah tidak diselia dengan baik kerana Bernas sebagai sebuah syarikat lebih mementingkan keuntungan untuk para pemegang sahamnya. Beras sebagai komoditi makanan asas negara yang dikeluarkan oleh pesawah perlu dijamin statusnya semada dari segi pengeluarannya mahupun dari segi bekalannya. 

Sehingga ini sejak LPN yang ditubuh pada 1971 dan diswastakan atas nama Bernas pada 1996 , jaminan terhadap pengeluar padi tidak diselia dengan baik terutama soal kebajikan pesawah itu sendiri. Apabila Bernas berfungsi hanya untuk menjadikan syarikat monopoli pemasaran beras untuk pasaran dalam negara dan juga untuk import dari luar meraih keuntungan besar, nasib pesawah terbiar. Sebab itu mengembalikan fungsi LPN dengan menambahbaik pengurusannya adalah cara terbaik untuk melihat nasib pesawah terbela.

Pantau isu pemutuan kilang padi

Teras juga mengambil perhatian terhadap isu pemantauan pemutuan padi yang tidak dikawal di kilang padi sehingga membiarkan pesawah terdedah kepada manipulasi dan penipuan. Isu pemotongan padi basah dan ketepatan timbangan padi tidak dipantau oleh pihak berkuasa kerana pesawah tidak ada kuasa untuk mengelak dari penipuan oleh pengilang padi.

Pesawah terdedah kepada penipuan jika pihak penguasa tidak memantau amalan pemutuan padi di kilang-kilang padi. Kerugian pesawah boleh mencecah jutaan ringgit apabila pengilang mengguna sistem pemutuan sendiri tanpa dipantau oleh pihak berkuasa.

Ini jelas juga berlaku kepada kualiti benih yang tidak menentu. Pesawah kini terpaksa berdepan dengan kenaikan harga benih per bag 20 kg yang kini mencecah RM55 - RM 60 berbanding sebelum ini RM 35. Sedangkan dalam masa yang sama kualiti benih juga sukar disahkan semada benar benih yang disyorkan atau sebaliknya hanya setelah 100 hari.

Cadangan pihak kerajaan untuk menubuhkan Tribunal bagi mengatasi sungutan pesawah terutama dalam pemutuan padi masih belum menjaminkan kepentingan pesawah akan terbela. Ia sangat bergantung kepada bagaimana sistem dan prosedur pembicaraan yang akan dijalankan dapat membela nasib pesawah.

Wujudkan konsortium kilang padi Bumiputera

Kini kilang padi dikuasai hampir semuanya oleh pengilang bukan Bumiputera . Sebagai contoh di lebih 50,000 pesawah yang menjadi ahli di 22 buah Pertubuhan Peladang Kawasan ( PPK) luar MADA, pesawah tidak ada pilihan untuk menghantar padi ke pengilang Bumiputera. Kini bilangan pengilang padi Bumiputera hanya tinggal 20 buah berbanding 200 sebelum ini.

Aduan Persatuan Pengilang Padi Melayu bahawa kini 10 peratus sahaja dari 45 kilang padi Melayu sedang berfungsi, manakala selainnya dalam keadaan nazak perlu diberi perhatian serius oleh pihak kerajaan.

Pihak kerajaan perlu melihat keperluan mewujudkan pengilang padi berskala besar untuk memberi peluang pesawah mempunyai pengurusan sendiri bagi memproses padi kepada beras.

Jelas bantuan RM200 tiga bulan awal

Untuk bantuan RM 200 kepada pesawah bagi tiga bulan pertama sebelum menerima hasil tuai seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri dalam Bajet 2018, sehingga kini belum jelas bagaimana ia akan disalurkan. Pertanyaan pesawah ialah apakah mekanisme dan asas pembahagian bantuan tersebut. Sementara sehingga sekarang bantuan itu belum diperolehi oleh pesawah, ia masih belum jelas mengenai kaedah ia akan disalurkan. Sehingga ini juga belum ada pernyataan yang jelas apakah pesawah di luar jelapang padi akan menerima bantuan tersebut.

Kecualikan PPK dari GST

Teras juga memberi perhatian kepada pendekatan yang dilakukan oleh pihak kerajaan yang kini mulai menilai pembayaran GST kepada urusniaga Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK). Bebanan GST akan mengalir kepada kos penanaman padi oleh pesawah bagi pelbagai input pertanian seperti baja, racun, benih, traktor, mesin tuai dan pelbagai khidmat pertanian yang diperlukan oleh pesawah.

Pengecualian GST perlu diberi kepada sektor padi kerana ini akan membebankan pesawah jika GST dikenakan kepada mereka sedangkan golongan pesawah adalah golongan terpenting dalam menjamin bekalan beras negara terjamin.

Penambahan insentif padi dan skim subsidi masih tidak dapat mengatasi kos pengeluaran yang meningkat melainkan faktor sistem penanaman padi diubah ke arah pertanian tanpa kimia serta mencari jalan meminimakan kos mekanisasi pertanian.

Menjadualkan penyelenggaraan infrastruktur

Pesawah mengadu bahawa pembinaan infrastruktur sawah dan kerja penyelenggaran seperti pembinaan dan pembersihan saliran, tidak mengikut jadual kerja pesawah. Akibatnya kerja pesawah terganggu. Bagi pesawah di luar skim jelapang padi, penyediaan dan penyelenggaraan infrastruktur saliran air sangat penting. Pihak kerajaan harus melaksanakan projek-projek dengan lancar mengikut kesesuaian jadual kerja pesawah dan tidak menunda saluran bajet kepada jabatan yang dipertanggungjawabkan. Pertimbangan untuk melaksanakan jadual projek tidak harus berdasarkan jadual urusan yang tidak berkaitan dengan kerja sawah. 

Atasi serangan penyakit dan perosak

Teras juga mengesa supaya pihak agensi yang berkaitan berusaha mencari punca kepada pelbagai penyakit padi yang sering menjejaskan hasil. Isu sawah padi diserang penyakit  bena perang, karah tangkai, hawar daun dan pelbagai penyakit lain semakin merebak secara berkala. Banyak penyelidikan dilakukan oleh agensi pertanian seperti Mardi, akan tetapi suatu analisa menyeluruh bagaimana sistem pertanian moden kini semakin mendedahkan petani kepada serangan penyakit keatas sawah mereka perlu dikenalpasti.  Penggunaan kimia yang mengakibatkan kesan sampingan kepada ekosistem ladang perlu diteliti.

Sudah sampai masanya amalan agronomi dalam penamaman padi diteliti semula kerana sistem pertanian yang berasaskan kimia jelas menunjukkan pelbagai penyakit kini timbul akibat kestabilan ekologi ladang semakin terganggu.

MOHD AZMI ABDUL HAMID
Presiden Teras Pengupayaan Melayu ( Teras ) - HARAKAHDAILY 14/2/2018