20
Thu, Jun
49 Artikel Baru

Perutusan Tahun Baharu Cina Muslimat PAS Selangor

Nasional
Typography
DEWAN Muslimat PAS Selangor mengucapkan Selamat menyambut Tahun Baharu Cina 2018 kepada semua masyarakat Tionghua umumnya di Malaysia dan khususnya di Negeri Selangor. Semoga kehadiran Tahun Baharu kali ini membawa kebahagiaan,  kesejahteraan dan keharmonian kepada seluruh kehidupan keluarga dan rakyat Malaysia. 
 
Amalan baik yang tetap utuh ketika menyambut Tahun Baru Cina adalah majlis 'makan besar' yang mengumpulkan ahli keluarga. Amalan baik ini  mampu menguatkan institusi keluarga dan membina masyarakat yang sejahtera. Di kala masyarakat Malaysia yang berhadapan dengan meningkatnya masalah moral, institusi keluarga yang berpecah belah dan kadar jenayah yang makin menggila, masyarakat Cina tetap tampil membawa budaya baik iaitu ‘makan besar' yang merapatkan semangat kekeluargaan. 
 
Firman Allah SWT:
"Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain)."
(Al Hujurat: 13)
 
PAS sentiasa menghormati dan mengiktiraf kehadiran dan peranan masyarakat Tionghua dalam membentuk sebuah kerajaan yang lebih adil dan makmur terutama melalui Dewan Himpunan Penyokong PAS. Sikap toleransi dan saling memahami adalah struktur yang penting bagi kita mewujudkan Malaysia yang sejahtera. Semoga kerjasama dan kesatuan yang telah lama wujud tersemat tetap teguh.
 
Perbezaan tidak perlu diperbesarkan sehingga menyumbang kepada perpecahan. Sebaliknya dijadikan obor semangat untuk saling melengkapi demi menjamin kesejahteraan negara dan mengembalikan hak rakyat yang makin diratah tanpa segan silu.
 
Dewan Muslimat PAS Negeri Selangor sentiasa mendoakan agar keharmonian dan kestabilan masyarakat majmuk akan terus kukuh dan erat ke arah mewujudkan Negara Sejahtera dan Berkebajikan. 
 
Selamat Tahun Baharu Cina 2018
Gong Xi Fa Cai
 
USTAZAH HJH WAN HASRINA WAN HASSAN
Ketua Muslimat
Dewan Muslimat PAS Negeri Selangor