20
Thu, Jun
40 Artikel Baru

Cabar Mat Sabu senarai kediktatoran UFN dan TGNA

Nasional
Typography
SAYA tidak akan pelik jika Presiden PAN, Mohamad Sabu, mendakwa Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, adalah diktator. PAS sekarang ini adalah musuh ketat parti yang beliau ketuai, iaitu PAN, maka sudah tentulah beliau akan cuba memperburukkan ke tahap maksima PAS dan pemimpin tertingginya.
 
Namun begitu, untuk Mohamad Sabu menyatakan bahawa bekas Presiden PAS, Datuk Fadzil Mohd Noor, dan bekas Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, juga diktator adalah satu perkara yang sukar dijangkau oleh akal fikiran biasa kerana rekod-rekod sejarah membuktikan bahawa mereka, malah Datuk Seri Abdul Hadi Awang sekalipun, bukanlah diktator dan kehebatan mereka juga bukanlah kerana mereka diktator.
 
Memberikan gambaran bahawa PAS di bawah pimpinan Datuk Fadzil Mohd Noor dan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat tidak mengamalkan perundingan, perbincangan dan musyawarah adalah satu perkara yang sangat tidak betul, apatah lagi bila ia dibuat oleh Mohamad Sabu yang merupakan seorang bekas pemimpin PAS yang pernah dinaungi dan dididik oleh kedua-dua tokoh itu sendiri. Tambahan pula, gelaran diktator kepada kedua-dua tokoh ini sangat tidak selari dengan dakwaan para pemimpin PAN sendiri sebelum ini kononnya PAN adalah pewaris kepada perjuangan kedua-dua tokoh ini.
 
Bagaimanapun, inilah yang diucapkan oleh Mohamad Sabu di dalam ucapan beliau pada majlis Ceramah Pakatan Harapan (PH) Kelantan di Pengkalan Chepa malam tadi, 16 Februari 2018, bila mana beliau menyebut:
"Sekarang saya menjadi Presiden Parti PAN. Saya tidaklah sehebat Ustaz Fadzil Mohd Noor, tidak langsung sehebat Tok Guru Nik Abdul Aziz, juga tidak sehebat Tok Guru Haji Hadi. Saya hanyalah pemimpin kecil, memimpin sebuah parti. Sebarang keputusan kami ambil secara perundingan, secara perbincangan. Kerana dalam PAN tak ada pemimpin yang boleh 'dictate', yang boleh mengatakan "ini", "buat ini", "jangan tak buat itu". Kerana kita cuba selesaikan dalam bentuk musyawarah dan keputusan terbaik kita ambil. Sebab itulah saya tidaklah menjadi ketua setahap pemimpin-pemimpin yang saya sebut tadi."
 
Adalah satu perkara yang baik untuk kita dilihat cuba bersikap merendah diri dengan menyatakan kita tidaklah sehebat pemimpin dan bekas pemimpin parti kita dahulu seperti yang dilakukan oleh Mohamad Sabu ini, malangnya adalah satu perkara yang tidak baik bila di dalam usaha kita untuk menonjolkan 'kehebatan' kita sendiri itu maka kita memperlekehkan pula pemimpin dan bekas pemimpin parti kita dahulu dengan memberikan gambaran kononnya mereka tidak mengamalkan perundingan, perbincangan dan musyawarah.
 
Berdasarkan kepada rekod-rekod sejarah, PAS di bawah pimpinan mereka memang mengamalkan perundingan, perbincangan dan musyawarah, baik pada peringkat cawangan, kawasan, negeri dan pusat, di mana kemuncak kepadanya ialah Mesyuarat Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Mesyuarat Majlis Syura Ulama PAS dan Muktamar Tahunan PAS Pusat.
 
Berpolitik itu tidak ada salahnya, tetapi janganlah di dalam usaha kita untuk berpolitik itu kita bersikap keterlaluan pula dengan menidakkan fakta-fakta sejarah malah dengan menggelarkan bekas pemimpin parti kita dahulu dengan istilah yang tidak baik.
 
Jika Mohamad Sabu adalah orang yang benar, saya mohon beliau senaraikan kejadian dalam mana Datuk Fadzil Mohd Noor dan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pernah 'dictate' pimpinan dan ahli PAS sebelum ini. - HARAKAHDAILY 17/2/2018