20
Sun, Oct
24 Artikel Baru

Penoreh tersepit, pendapatan tidak cukup belanja

Nasional
Typography
SETIU: Walaupun penoreh getah berkerja dua kali sehari pada pagi dan selepas Isyak sebelah malamnya, mereka masih terkial-kial untuk meneruskan kehidupan dengan keperluan yang paling asas.
 
Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Dr Azman Ibrahim berkata, ia adalah kerana harga getah terlalau rendah, berada di sekitar RM2.30 dan RM2.40 bagi satu kilogram.
 
“Dalam keadaan sekarang ini purata sebatang batang pokok getah perlu ditoreh 3 hingga 4 hari untuk dapat sekilo getah sekerap. Bermakna (untuk mendapat) sekilo getah sekerap, sebatang (pokok) getah perlu dikunjungi oleh penoreh empat hari.
 
"Untuk empat hari itu, baru boleh dapat RM2.30 dengan purata sebenar 40 sen lebih sahaja sehari,” jelasnya ketika meninjau kehidupan golongan penoreh di Kampung Kerandang, Jabi, di sini kelmarin.
 
Bermakna katanya, jika dibandingkan dengan keperluan hidup seharian, penoreh tidak mampu untuk membeli ikan Selayang yang paling murah, berharga RM10 sekilogram.
 
Bahkan kata beliau, amat menyedihkan apabila pekedai runcit memberitahu, penoreh getah hanya mampu membeli beras secara timbang kilogram, kerana tidak mempunyai wang.
 
“Habis pergi (mereka) kedai beli hanya sekilo (beras) dan ada yang terpaksa beli beras bukan setakat sekilo, ditanda pulak dalam buku hutang Buku 555.
 
“Menjelang seminggu atau dua daun akan luruh getah tidak mengeluarkan susu-susu. Dengan harga getah sekarang ini, kita jangkakan penoreh memang akan berhadapan kesempitan,” katanya.
 
Beliau berkata, bantuan kewangan yang diberikan kepada para penoreh getah, tidak dapat menyelesaikan masalah yang dialami oleh mereka.
 
“Biasanya kerajaan akan timbulkan, yang kerajaan dah bagi bantuan ‘one off’, bantuan ini bukan penyelesaian, (bantuan yang diberikan) ketika musim tengkujuh dan beberapa bantuan lagi.
 
“Ia hanya bantuan yang akan habis dalam tempoh sehari dua hari sahaja,” tegasnya.
 
Justeru itu, beliau yang juga Ahli Jawatankuasa Badan Perhubungan PAS Terengganu menggesa kerajaan meletakkan satu harga yang stabil, bagi membolehkan para penoreh hidup dengan selesa.
 
“Kita nak penyelesaian jangka panjang, yang mana kerajaan boleh menstabilkan harga getah ini pada satu harga syiling yang munasabah.
 
“Rata-rata bila kita buat tinjauan, pandangan di kalangan penoreh getah tidak mengharapkan harga RM6 atau RM7 sekilogram, (tetapi) cukup sekadar RM4 sekilogram harga getah sekerap sudah dikira harga yang sangat stabil,” jelasnya. - HARAKAHDAILY 17/2/2018