20
Thu, Jun
41 Artikel Baru

Kelantan mustahil mahu toleh ke belakang

Nasional
Typography
AKHBAR The  Star dalam satu artikelnya hari ini mengulas isu politik Kelantan. Dalam laporan satu muka itu pengarang kanannya Joceline Tan menyatakan bahawa pertempuran PRU14 di Kelantan sesungguhnya akan tertumpu pada pertembungan Umno dan PAS sahaja.
 
PBBM diketuai Tun Dr Mahathir sukar kerana Tun adalah personaliti yang sukar diterima rakyat Kelantan. Manakala PAN yang berkrisis dengan istana hanya dilihat mampu mengikis pengaruh PAS di sana sini.
 
Kesimpulannya kata Tan BN-Umno punya harapan cerah berkuasa kembali.
 
Tan tidak sentuh pencapaian dan pengiktirafan pelbagai badan dan agensi terhadap kerajaan negeri di bawah PAS. Kerajaan negeri PAS paling bersih dan penuh berintegriti dan ia sesuatu yang BN-Umno gagal tingkatkan selama ini.
 
Mungkin hakikat itu tidak disentuh dan disembunyikan kerana ia akan melarikan matlamatnya untuk menjulang Umno yang telah lebih 28 tahun tidak berkuasa di Kelantan.
 
Tan tidak sedar walau Kelantan kini punya Umno, Bersatu, PAN yang masing-masing lapar kuasa, tetapi rakyat Kelantan kenal sangat mereka dan sejarah di belakang mereka masing-masing.
 
Semuanya punya rahsia silam yang bukan rahsia lagi buat rakyat Kelantan.
 
Sebagaimana dipetik Naib Presiden PAS dan Timbalan MB Kelantan, Ustaz Dato' Mohd Amar Nik Abdullah dalam artikel berkenaan, kedua-dua Pakatan dan BN punya rekod yang terlalu tercalar.
 
Kedua-duanya kata beliau di mata rakyat Kelantan adalah umpama: "kuali dan belanga hitam".
 
Tercemar dan tercalar, tidak wajar diberi peluang kecuali menempah padah.
 
PAS kata beliau menawarkan diri sebagai perkakas 'stainless  steel' bersih dan terbukti.
 
Apapun rakyat Kelantan telah sejak 1990 mempertahankan bumi "Serambi Makkah" ini dari dikotori pihak yang tempang dan pincang.
 
Dan PRU14 ini insyallah bumi bertuah ini bakal kekal sejahtera bersama Islam kekal sebagai ikon kebangaan ummah. - HARAKAHDAILY 18/2/2018